Jabatan Profesional Muda – JPro

12 FAKTA TENTANG PEMBUKAAN SIDANG PARLIMEN 3 FEB 2025

1. Hari ini adalah kali kedua Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim bertitah di dalam Sidang Parlimen, semenjak Baginda dilantik menjadi YDPA.

2. Sejak PRU-15, sudah 3 kali YDPA menyampaikan Titah Pembukaan. Kali pertama pada 13 Februari 2023 oleh Al-Sultan Abdullah. Kali kedua pada 29 Februari 2024 oleh Sultan Ibrahim. Dan kali ketiga pada hari ini 3 Februari 2025 oleh Sultan Ibrahim.

3. Titah Tuanku YDPA hanya berlaku sekali sahaja dalam setahun, iaitu pada persidangan ketika awal tahun. Atau lebih tepatnya ketika setiap kali Mesyuarat Pertama Parlimen pada tahun berkenaan.

4. Di dalam istilah rasmi, persidangan hari ini dipanggil sebagai ‘Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Majlis Parlimen Kelima Belas’. Ia bermaksud, hari ini adalah mesyuarat kali pertama untuk tahun keempat selepas PRU-15.

5. Tahun persidangan disebut sebagai ‘penggal’. Tahun pertama selepas setiap pilihan raya umum disebut sebagai Penggal Pertama. Penggal Kedua merujuk kepada tahun kedua, dan begitulah turutan sebutan mengikut tahun seterusnya sehinggalah Parlimen dibubarkan.

6. Setiap penggal (tahun), biasanya berlangsung 3 kali mesyuarat atau persidangan. Awal tahun (Feb-Mac), pertengahan tahun (Jun/Julai-Ogos) dan hujung tahun (Okt/Nov-Dis). Tempoh sesuatu persidangan biasanya memakan masa sebulan hingga dua bulan lebih.

7. Kekerapan persidangan boleh berlaku lebih dari 3 kali setahun. Ianya tertakluk kepada kuasa YAB Perdana Menteri yang menjadi ‘Ketua Majlis’ di dalam Parlimen. Ketua Majlis diberi kuasa untuk memanggil suatu persidangan Parlimen jika ada sesuatu agenda khusus untuk dibincangkan, selain daripada urusan-urusan biasa Kerajaan yang perlu diuruskan.

8. Pembukaan Sidang Parlimen dihadiri oleh semua Ahli Parlimen, dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Semua Ahli Dewan Negara (termasuk Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negara) akan masuk dan duduk di dalam Dewan Rakyat bagi mengikuti istiadat pembukaan persidangan oleh YDPA.

9. Selain itu, Speaker-speaker DUN dan Timbalan masing-masing juga turut dijemput hadir dan duduk bersama Ahli-ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat. Turut dijemput hadir, wakil kedutaan asing dan diplomat asing yang berkaitan.

10. Di dalam masa yang sama, Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan mewakili Badan Kehakiman juga turut hadir di dalam Dewan Rakyat untuk mengikuti istiadat dan mendengar titah Tuanku YDPA.

11. Sebagai kesimpulan, hari pembukaan sidang parlimen setiap tahun adalah hari yang amat bersejarah. Hanya hari ini sahaja dapat disaksikan kesemua 4 tonggak utama sistem demokrasi berparlimen di Malaysia (YDPA, Badan Eksekutif, Badan Perundangan, dan Badan Kehakiman) dapat duduk bersama di dalam Parlimen untuk meneruskan kelangsungan proses demokrasi berparlimen sebagai sistem politik yang diamalkan di Malaysia sehingga hari ini.

12. 4 tonggak ini ibarat 4 tungku kawah. Kuat 4 tungku ini, tak terbalik kawah di atasnya, dapat memberi manfaat pada ramai orang. Sebaliknya jika patah satu tungku, sengetlah kawah, tumpahlah kuah. Jika satu tungku patah, ada lagi 3 lagi tungku boleh tanggung beban. Tetapi kalau 1 daripada 3 tungku itu pun patah, terbalik tertiaraplah kawah habis semua kuah. Semua jatuh ke tanah. Satu sen pun tak berguna.

Sumber: Facebook

Ditulis oleh

YB Tuan Afnan Hamimi Taib Azamudden
Ahli Parlimen Alor Setar

Penulis merupakan Ahli Parlimen Alor Setar dan juga Ketua Pemuda PAS Malaysia.

3 Februari 2025