Jabatan Profesional Muda – JPro

5 UJIAN BESAR DILALUI RASULULLAH SEBELUM KENABIAN

Bersempena dengan memperingati hari kelahiran manusia paling agung di muka bumi dan juga penghulu segala para nabi dan rasul, marilah kita bersama-sama merenung kembali ujian pahit getir baginda Rasullullah S.A.W sebelum diangkat menjadi nabi sekalian umat.
 
1. Kewafatan bapa sebelum baginda dilahirkan
 
Bapa baginda bernama Abdullah bin Abdul al-Mutallib. Diriwayatkan selepas beliau berkahwin dengan Aminah binti Wahab, beliau pergi ke Madinah atas urusan perniagaan. Ditakdirkan beliau meninggal dunia disana ketika berusia 25 tahun.
Ketika itu Rasulullah S.A.W masih dalam kandungan dan apabila dilahirkan dia tidak sempat melihat wajah bapanya.
 
2. Peristiwa pembelahan dada oleh malaikat Jibril
 
Kejadian berlaku sekitar usia baginda 4-5 tahun. Sewaktu baginda sedang bermain-main dengan rakan-rakannya, tiba-tiba beliau didatangi malaikat Jibril. Jibril memegang baginda lalu merebahkannya. Kemudian dada baginda dibelah dan diambil hatinya.
 
Lalu dicucikan hati tersebut dengan air zam-zam daripada sebuah talam emas. Seterusnya disembuhkan semula dadanya dan selepas kejadian tersebut muka Rasulullah S.A.W kelihatan pucat.
 
3. Kewafatan ibu baginda tanpa diduga
 
Peristiwa ini berlaku amat menyayat hati baginda. Selepas terjadinya peristiwa pembelahan dada baginda, Halimatus Saadiyah iaitu ibu susuan baginda ingin menghantar baginda pulang ke pangkuan ibu kandungnya. Ketika baru bersama ibunya Aminah, beliau teringin ke Yathrib untuk menziarahi kubur suaminya.
 
Jarak perjalanan daripada Mekah ke Yathrib adalah kira-kira 500 km. Ketika dalam perjalanan pulang, Aminah diserang penyakit dan menghembuskan nafas yang terakhir di suatu tempat bernama “Al-Abwa”. Tinggallah baginda sebagai yatim piatu bersama dengan datuknya pulang Mekkah.
 
4. Pemergian datuk baginda Abdul Mutallib
 
Datuk baginda sangat mengasihi cucunya Muhammad berbanding cucu-cucunya yang lain. Hinggakan terjadi peristiwa di suatu tempat disekitar Kaabah dihamparkan sebidang tikar khusus untuk Abdul Mutallib. Sewaktu baginda datang untuk duduk di atas tikar tersebut, bapa-bapa saudaranya menghalau baginda, namun ditegah oleh Abdul Mutalib.
 
Baginda dimuliakan oleh datuknya sendiri kerana beliau dikatakan bakal menjadi pemimpin yang hebat dimasa akan datang. Tidak lama kemudian, datuknya meninggal dunia ketika Rasulullah S.A.W berusia 8 tahun, kira-kira 2 tahun selepas pemergian ibu baginda.
 
5. Bekerja sebagai pengembala kambing dan peniaga
 
Rasulullah S.A.W diwaktu usia mudanya tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Banyak riwayat yang menyebut pekerjaan pertama beliau adalah mengembala kambing. Seterusnya setelah meningkat usia 25 tahun, baginda keluar ke negeri Syam untuk berniaga dengan menggunakan modal Khatijah r.a.
 
Disitulah baginda dipertemukan jodoh bersama Saidatina Khadijah apabila tertarik melihat keperibadian baginda yang jujur dan amanah dalam berniaga.
 
Kesimpulan
 
Banyak ulama’ meriwayatkan antara hikmah Allah mengambil nyawa dikalangan keluarga terdekat baginda adalah kerana Allah ingin mentarbiyyah baginda supaya tidak terlalu bergantung pengharapan kepada ibu, ayah mahupun datuknya.
 
Perjalanan baginda sesudah bergelar nabi sudah pasti diuji dengan ujian yang lebih berat. Justeru itu, pengharapan tentulah hanya kepada Allah semata-mata tanpa bergantung kepada makhluk.
 
Semoga dengan hikmat ujian baginda menjadi motivasi buat kita dalam perjuangan menegakkan Islam.
 
 
Rujukan:
 
Buku “Raheeq Makhtum” Sirah Lengkap Nabi Muhammad, tulisan Syeikh Sofiyurrahman Al Mubarakfuri”

Ditulis oleh

Faiz bin Razali
Jurutera Rekabentuk,
Kluster Kejuruteraan JPro
Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan JPro, Jabatan Profesional Muda (JPro) DPPM. Beliau juga seorang Jurutera Rekabentuk di salah sebuah syarikat swasta, sering berkongsi penulisan berkaitan dunia kejuruteraan dan dakwah di media sosial.

10 Oktober 2022