64 TAHUN SUDAHKAH KITA MERDEKA ?
Masih segar dalam ingatan kita setiap tahun kita menyambut 31 ogos sebagai hari kemerdekaan di negara kita. Setiap halaman rumah, dipejabat, dibangunan, dijalan raya bahkan di kedai-kedai dikibarkan bendera jalur gemilang.
Laungan merdeka, merdeka, merdeka !!! teriakan membangkitkan penuh semangat dan suara keramat yang keluar dari jiwa yang merdeka. Teringat kita tentang perjuangan nenek moyang dahulu kala mempertahankan tanah melayu daripada penjajah-penjajah. Semangat patriotisme juga bukan hanya sekadar semangat, tetapi ia merupakan sesuatu yang agung melibatkan soal keyakinan, kesetiaan, kewarganegaraan, keberanian, kemerdekaan, jati diri dan kedaulatan.
Antara tokoh-tokoh yang berjuang dalam memerdekakan negara Malaysia ialah Tok Janggut,Mat Kilau,Tok Kenali, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong dan sebagainya. Seperti pesan Saidina Ali, “Tidak ada kemerdekaan itu tanpa agama,dan agama tidak sebenar-benar agama melainkan dengan kekuasaan, dan kekuasaan tidak dapat dicapai melainkan dengan ilmu, dan tidak dapat ilmu, melainkan dengan ulama”.
Tema hari kemerdekaan 2021 yang dipilih oleh mantan Perdana Menteri Malaysia ke-8 iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah “Malaysia Prihatin”. Oleh itu, amat sesuai dengan tema tahun ini kita masih belum menang melawan dengan pandemik covid-19. Kerajaan sangat menghargai usaha-usaha barisan hadapan dalam menangani wabak ini dari terus merebak dan dijangkiti oleh masyarakat.
Walaupun negara kita diuji pelbagai cabaran dan onak duri dalam mendepani krisis politik dan wabak. Namun, dengan perlantikkan Perdana Menteri yang ke-9 semoga membawa kesejahteraan, keamanan dan penyatuan perpaduan ummah. Kita doakan juga semoga parti-parti politik di Malaysia berganding bahu untuk agama,bangsa dan negara.
Tanpa perpaduan, rakyat Malaysia yang berbeza bangsa, latar belakang dan agama akan mudah diprovokasi dan diadu domba oleh pihak yang mempunyai kepentingan mereka sendiri. Dengan kefahaman patriotik yang tinggi, pemeliharaan dan pemerkasaan perpaduan dapat dibentuk dengan mudah. Dengan itu, peristiwa yang dapat menggugat keamanan negara seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat kita dihindari.
Akhir kalam, saya berharap kita juga menjiwai dan menghayati makna merdeka dalam diri kita. Mungkin benar kita telah merdeka dari jajahan, sebaliknya, kita dijajah oleh pemikiran kita sendiri. Terpenjara dalam ruang ciptaan prasangka dusta. Mari kita bebaskan diri kita ini dengan menghayati erti sebenar perit mencapai kemerdekaan. Hanya dengan itu, kita akan berusaha mengekalkannya. Semoga teriakan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Kali ini penuh dengan getaran daripada jiwa yang benar-benar ingin merdeka.
Ditulis oleh
Athirah Shafiee
Penulis merupakan pemenang saguhati pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan anjuran JPro dengan tema #IniBenderaKita.
31 Ogos 2021
Tagged inibenderakita