Jabatan Profesional Muda – JPro

7 Persoalan Fiqh Ramadan dan Kesihatan

Catatan Halaqah Profesional Kluster Kesihatan (13 April 2022) : Puasa Dan Isu Kesihatan Satu Perbincangan Hukum

Ramadan bulan yang dinanti dan menjadi satu anugerah terbesar kepada umat Muhammad S.A.W.
 
Hikmah puasa di bulan Ramadan bukan sahaja menyihatkan nurani seseorang bahkan juga dapat menyihatkan jasmani seseorang.
 
Nabi S.A.W pernah bersabda “Berpuasalah nescaya kamu akan sihat”.
 
Kaedah fiqh “la darar wa la dirar” yang bermaksud tidak boleh melakukan perbuatan mudarat dan memudaratkan orang lain menjadi asas bagaimana Allah S.W.T memberikan rukhsah kepada orang yang sakit antaranya orang yang mengandung, menyusukan anak dan sakit kronik berpanjangan.
 
Tentu ada yang bertanya kenapa hukum Allah adanya rukhsah sedangkan ibadah itu merupakan satu tuntutan dan terdapat pelbagai kelebihan dari sudut pengukuhan rohani dan pengabdian kepada Allah.
 
Jawabnya terdapat satu lagi kaedah fiqh iaitu:-
 
حقوق الله مبنية على المساحمة حقوق العباد مبنية علي المضاقة 
 
Ertinya, “Hak Allah itu, dibina atas budibicara dan toleransi. Hak manusia dibina atas prinsip kesempitan.”
 
Inilah konsep yang menunjukkan kesempurnaan Islam dan rahmat Allah yang luas kepada hambanya.
Antara persoalan-persoalan fiqh Ramadan dan kesihatan:-
 
1. Perempuan yang mengandung atau menyusukan anak dibolehkan untuk berbuka namun, kalau seseorang itu berbuka kerana bimbang tentang kandungannya dia perlu qadha dan bayar fidyah.
 
2. Orang yang sakit kronik seperti kencing manis dan tidak mampu untuk berpuasa perlu membayar fidyah kerana tidak boleh qadha puasa.
 
3. Hukum mengambil inhaler ketika berpuasa terdapat dua pandangan; yang pertama batal puasa dan yang kedua tidak batal puasa.
Ulama yang berhukum tidak batal puasa mengambil sudut pandang bahawa debu inhaler terlalu sedikit masuk ke rongga makanan, kiasnya samalah seperti orang yang berkumur ketika mana berbuka dan tukang masak yang merasa sedikit makanan tidak batal puasa.
 
4. Hukum meletakkan ubat bawah lidah ketika berpuasa terdapat dua pandangan; yang pertama batal puasa dan yang kedua tidak batal puasa.
Ulama yang berhukum tidak batal puasa mengambil sudut pandang bahawa zarah yang masuk ke rongga mulut tersangat minima kiasnya seperti bauan yang masuk ke hidung seseorang.
 
5. Hukum memasukkan ubat ke dalam punggung (rectal) batal puasa.
 
6. Hukum memasukkan ubat melalui rongga selain mulut, hidung, dubur dan qubul tidak batal puasa contoh ubat suntikan melalui salur darah.
 
7. Orang yang ditidurkan, kalau ditidurkan lebih dari separuh hari batal puasa, kalau sekejap kurang dari separuh hari tidak batal sebagaimana orang yang pitam.

Ditulis oleh

Dr Akli Ahmad
Dekan Fakulti Syariah UniSHAMS

20 April 2022