Jabatan Profesional Muda – JPro

Endgame di Malaysia: Peranan Inspektor Kesihatan Sangat Diperlukan

Pernah dengar tentang “Endgame”?
 
Rata-rata di antara kita pasti berasa sedih apabila mendengar perkataan “Endgame”. Eh, tentulah ada juga yang tidak rasa apa-apa kerana bukan semua orang minat Marvel Cinematic Universe (MCU). Hal ini menjadi perdebatan di media sosial diantara peminat MCU dan peminat DC Comics Universe (DCU).
 
Tetapi “Endgame” yang saya nak cerita ini langsung tiada kaitan dengan MCU mahupun DCU. Ini “Endgame” yang bakal berlaku di Malaysia!
 
Generational End Game (GEG) ialah satu peringkat yang mana kita tidak akan nampak lagi mana-mana orang yang merokok di Malaysia. Kenapa namanya “generational”?
 
Kerana Kementerian Kesihatan Malaysia menyasarkan penghentian aktiviti merokok ini secara menyeluruh bermula pada satu generasi yang baharu.
 
Persoalannya, siapakah yang tergolong di dalam “generasi” bertuah itu dan siapa pula yang akan memantau generasi ini?
 
Sesiapa yang lahir bermula 1 Januari 2007, merekalah generasi pemula yang akan menghentikan budaya merokok di Malaysia. Istilah merokok ini juga merangkumi ‘vaping’.
 
Kenapa saya katakan GEG ini bertuah dan usaha ini sangat baik dan berkesan?
 
Kerana sehingga kini, mana-mana orang belum dewasa (bawah 18 tahun) jika didapati merokok, mengunyah, membeli atau mempunyai dalam milikannya apa-apa hasil tembakau boleh didenda sehingga tidak melebihi RM1000.
 
Tetapi itu hanyalah “denda” di mahkamah. Jika di tempat kejadian, biasanya mereka ini akan ditawarkan kompaun atas kesalahan tersebut. Mesti nak tahu berapakah nilai kompaun itu kan?
 
Cuma RM50 sahaja biasanya. Apalah sangat nilai sebanyak itu.
 
Hakikatnya, remaja sekarang ini jauh berbeza daripada remaja dahulu kerana ramai remaja bawah umur sekarang sudah mula vaping yang dibeli dengan harga puluhan hingga ratusan ringgit Malaysia. Jadi, setakat RM50 itu tidak mampu mengawal aktiviti merokok dikalangan remaja pun.
 
Lalu, apa bezanya dengan usaha baru Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang telah dibentangkan di Parlimen pada 27 Julai 2022 oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin?
 
Tujuan utama RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 adalah untuk mengawal penggunaan kesemua jenis produk merokok termasuk “rokok elektronik (vape), cerut, shisha dan lain-lain.
 
Mampukah Malaysia mengawal populasi yang lebih dari 13.8 peratus rakyat ini?
Sebenarnya semua hal kesalahan berkaitan rokok atau hasil tembakau sentiasa dikawal oleh satu golongan penguat kuasa kesihatan yang dipanggil Pegawai Kesihatan Persekitaran atau lebih terkenal dengan panggilan “Inspektor Kesihatan”.
 
Secara peribadi, saya rasa agak sukar untuk Malaysia melaksanakan GEG ni kerana pelbagai cabaran yang perlu dihadapi.
 
Jika Malaysia serius mahu mencapai Sustainable Development Goals (SDG) yang dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO), saya cadangkan agar Malaysia menambah lagi perjawatan “Inspektor Kesihatan” di seluruh agensi yang berkaitan.
 
Menurut kajian Global Health Workforce Labor Market Projections for 2030 yang dibuat oleh Jenny X. Liu dan pasukannya, WHO menganggarkan 4.46 orang Inspektor Kesihatan (IK) bagi setiap 1000 populasi.
 
Jadi berapa ramai IK yang diperlukan di Malaysia?
 
Malaysia mempunyai 32.7 juta penduduk pada tahun 2022, maka negara kita sepatutnya mempunyai 145,515 orang IK untuk memberikan mutu perkhidmatan kesihatan yang optimum.
 
Namun realitinya di Malaysia, jumlah Inspektor Kesihatan yang sedang berkhidmat adalah tidak melebihi 10 ribu orang. Di sini timbul persolan, adakah Malaysia benar-benar serius ingin melaksanakan GEG?
 
Apa pendapat anda semua?
 
Adakah wajar GEG ini dilaksanakan sedangkan buat masa ini, tidak cukup pun jumlah individu yang akan menguatkuasakan RUU itu nanti.
 

Ditulis oleh

Zahiruddin Zaki,
Kluster Kesihatan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Kesihatan, JPro dan juga pengamal kesihatan persekitaran.

28 September 2022