Jabatan Profesional Muda – JPro

5 SYARAT KELAYAKAN MENJADI ASEAN CHARTERED PROFESSIONAL ENGINEER.

Di Malaysia, Ingenieur atau “Ir” adalah pengiktirafan yang diberikan kepada jurutera profesional oleh Board of Engineers Malaysia (BEM). Di negara lain seperti India, status jurutera profesional dipanggil sebagai Chartered Engineer yang dikawal selia oleh Indian Institution of Engineers (IIE). Bagi negara ASEAN pula, terdapat status khas untuk jurutera profesional yang dikenali sebagai ASEAN Chartered Professional Engineer (ACPE).
 
ACPE adalah sebuah pengiktirafan yang diberikan oleh ASEAN Chartered Professional Engineering Coordinating Committee (ACPECC) [1]. Ia diberikan khusus kepada jurutera profesional yang berwarganegara ASEAN. Dengan mempunyai ACPE, kredibiliti seorang jurutera profesional akan diakui di seluruh negara ASEAN.
 
Bagaimana hendak mengetahui kita sudah layak memohon ACPE? Berikut adalah 5 kelayakan yang perlu ada untuk memohon sebagai ACPE [2]:
 
1. Telah menamatkan pengajian ijazah dalam bidang kejuruteraan dan ijazah tersebut diiktiraf oleh Engineering Accreditation Council Malaysia [3]
 
2. Masih berdaftar sebagai jurutera profesional di bawah BEM [4]
 
3. Mempunyai pengalaman bekerja sebagai jurutera tidak kurang tujuh tahun selepas menamatkan pengajian ijazah dan sekurang kurangnya dua tahun pengalaman mengendalikan tugasan kejuruteraan yang telah ditetapkan
 
4. Mematuhi polisi Continuing Profesional Development (CPD) yang telah di tetapkan oleh BEM [5]
 
5. Diakui oleh BEM mempunyai rekod yang baik dalam hal teknikal, profesional atau etika, dalam atau luar negara, dalam amalan kejuruteraan
 
Individu yang telah memenuhi kelayakan di atas boleh membuat permohonan kepada Monitoring Committee, ASEAN Chartered Professional Engineer Register [2]. Permohonan yang telah berjaya akan dipanggil untuk sesi temuduga dan penilaian. Jika berjaya, gelaran sebagai ASEAN Chartered Professional Engineer boleh diguna pakai. Untuk mengekalkan gelaran tersebut, permohonan untuk pembaharuan sijil ACPE perlu di buat setiap tahun.
 
Setakat Ogos 2020, BEM mencatatkan sebanyak 14,793 jurutera profesional di Malaysia. Negara kita masih memerlukan lebih ramai jurutera profesional dan ini membuka peluang kepada jurutera siswazah untuk menjadi lebih kompetitif. Oleh itu, seiring dengan permintaan industri yang semakin meningkat, jurutera siswazah boleh mensasarkan untuk menjadi jurutera profesional dengan memperoleh status seperti Ir, Chartered Engineer, ACPE dan lain-lain.
 
Gelaran bukanlah untuk kebanggaan. Tetapi pengiktirafan membolehkan kita mendapat kepercayaan bagi menyumbang lebih banyak khidmat kepakaran untuk manfaat masyarakat.
 
“Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain.”
Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim
 
Rujukan dan pautan:
 
[1] Board of Engineers Malaysia. ASEAN Chartered Professional Engineer (ACPE). http://bem.org.my/asean-chartered-professional-engineer
[2] Borang permohonan ACPE. Application for a Professional Engineer to be Registered as ASEAN Chartered Professional Engineer (ACPE). http://www.bem.org.my/…/2de47d4d-596a-4da2-937b…
[3] Engineering Accreditation Council Malaysia. List of Accredited Engineering Programme (Malaysia). http://www.eac.org.my/web/list_accredited.html
[4] Board of Engineers Malaysia. Route to become a Professional Engineer. http://bem.org.my/professional-engineer
[5] Board of Engineers Malaysia. Continuing Professional Development (CPD). http://www.bem.org.my/cpd
[6] Makluman cara permohonan ACPE. Board of Engineers Malaysia. Assessment Statement for ASEAN Chartered Professional Engineer. http://acpecc.net/…/05.%20Malaysia%20ACPE%20Assessmet…

Ditulis oleh

Muhamad Hafiz Hadi Bin Sumardi,
Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan JPro dan juga seorang jurutera aset integriti di sebuah syarikat gas dan minyak.

14 Ogos 2021