Jabatan Profesional Muda – JPro

IMPAK KASA TERHADAP PELESTARIAN ALAM SEKITAR DI MALAYSIA

Sedarkah kita, makanan yang kita makan, kenderaan yang kita naiki dan tempat tinggal yang kita diami, semuanya adalah sedikit daripada banyak manfaat yang kita peroleh dari alam sekitar. Ia telah menjadi sumber utama bagi memastikan kelangsungan hidup manusia dalam membekalkan tenaga yang dapat digunakan untuk tujuan pembangunan dan pembinaan peradaban. Zaman berganti zaman, pencemaran demi pencemaran dapat kita lihat. Bumi kini tidak lagi sehijau dan langitnya tidak lagi sebiru dahulu.
 
Sebelum COVID-19 melanda seluruh dunia, China sebagai sebuah negara yang pesat membangun telah menyumbang sebanyak 27% penghasilan gas rumah hijau pada tahun 2019. Penghasilan gas rumah hijau oleh China adalah lebih banyak berbanding keseluruhan gas rumah hijau yang dikeluarkan oleh negara-negara maju yang lain. Sebuah laporan menyatakan bahawa, indeks kualiti negara China mengandungi konsentrasi PM 2.5 µg/m3 yang 3 kali ganda lebih tinggi daripada yang disarankan oleh WHO. Selepas COVID-19, indeks kualiti udara menjadi lebih baik. Setiap negara sudah semakin peka akan peranan untuk menjaga alam sekitar.
 
Di Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) adalah sebuah kementerian yang dibentuk khas untuk menjaga kelestarian alam sekitar. KASA di bentuk pada tahun 2020 dan di pimpin oleh Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Misi KASA ialah untuk memastikan pelestarian alam sekitar dan air yang mampan melalui penggubalan dasar, pematuhan perundangan, aktiviti mitigasi, adaptasi dan pendidikan, selaras dengan piawaian serta amalan antarabangsa. Sejak daripada penubuhan kementerian ini, banyak usaha baik yang telah di buat antaranya seperti Pelan Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia (2020-2030), penubuhan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS), Wakaf Air dan lain-lain.
 
Pelan Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia (2020-2030) ialah satu usaha ke arah Malaysia Lestari 2030. Pada dasarnya 30 inisiatif dibangunkan berteraskan 4 tunjang utama; pengukuhan governan, pertumbuhan hijau, kolaborasi strategik dan keterangkuman sosial; meliputi atmosfera (udara), hidrosfera (air), litosfera (darat) dan biosfera (makhluk hidup). Antara sasaran yang hendak di capai pada tahun 2030 ialah kenaikan 25% jumlah sungai bersih daripada 357 batang sungai bersih yang kita ada pada tahun 2020, peningkatan kualiti udara dengan purata kepekatan tahunan PM 2.5 µg/m3 kurang daripada 25 µg/m3, dan menambah baik pengurusan risiko banjir dengan meningkatkan bilangan penduduk yang dilindungi kepada 3.0 juta.
 
UCJAS pula ialah satu pasukan petugas khas cegah jenayah alam sekitar yang ditubuhkan bagi menangani isu pencemaran secara menyeluruh dan proaktif. Pasukan ini berperanan untuk menjalankan operasi penguatkuasaan yang sebelum ini sukar untuk dibuat. Contohnya seperti dalam menangani isu pembuangan sisa kimia secara haram di Sungai Kim Kim yang memberi kesan kepada lebih daripada 6,000 orang penduduk setempat dan pelajar sekolah. Usaha ini juga selari dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Biokeselamatam (JBK) melalui penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada.
 
Wakaf Air pula ditubuhkan dengan tujuan mengumpul dana wakaf bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil bernilai di bawah RM 50,000. Antara projek tersebut ialah sistem pengepaman sumber air dari perigi, pembelian alat-alat ganti, penyelenggaraan bersifat “sekali beri” (one-off), dana bantuan operasi pencegahan serta pemulihan sistem bekalan air luar bandar dan penyediaan sumber air alternatif yang melibatkan kos penyelengaraan yang rendah dan selamat digunakan. Menurut Yayasan Waqaf Malaysia, sehingga 30 Jun 2021, sejumlah RM167,211.00 telah dibelanjakan bagi tujuan pembiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil.
 
Terdapat banyak lagi inisiatif yang telah diusahakan oleh KASA di bawah kepimpinan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti perjanjian penstrukturan semula industri bekalan air negeri Pahang, Kedah dan Perlis, program denai sungai kebangsaan, penganjuran virtual IGEM 2020 dan lain-lain. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan pasukan atas usaha yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan.
 
Tambah baik yang boleh dilakukan untuk pertimbangan kerajaan yang akan datang adalah untuk melaksanakan lebih banyak dasar teknologi hijau dalam perancangan bandar dan memajukan industri tenaga boleh diperbaharui di negara kita. Manakala, segala usaha baik yang telah dilaksanakan oleh KASA pada kali ini diharap dapat diteruskan. Sebagai penutup, semua inisiatif yang dibuat oleh kerajaan haruslah disambut baik oleh masyarakat kerana tanggungjawab menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama.
 
 
Sumber Rujukan
 
[1] BBC News. Report: China emissions exceed all developed nations combined. https://www.bbc.com/news/world-asia-57018837
[2] Portal Rasmi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Profil Kementerian. https://www.kasa.gov.my/ms/info/visimisi
[3] Portal Rasmi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia (2020-2030). https://www.kasa.gov.my/…/pelan-kelestarian-alam…
[4] Portal Rasmi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Penubuhan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS) – Kerjasama Strategik Antara Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN). https://www.kasa.gov.my/ms/comm/pr/ucjas
[5] Yayasan Waqaf Malaysia. Maklumat Tabung Wakaf Tunai Khad Perkhidmatan Air (Wakaf Air). https://www.ywm.gov.my/wakaf-air
[6] Yayasan Waqaf Malaysia. (July 2021). 5 Projek, RM167,211.00 Telah Diagihkan di bawah Tabung Wakaf Air YWM – Kementerian Alam Sekitar dan Air. https://www.facebook.com/YayasanWa…/posts/5966925033348121

Ditulis oleh

Muhamad Hafiz Hadi Bin Sumardi

Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda, JPro

Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan JPro dan juga seorang juruterea aset integriti di sebuah syarikat gas dan minyak.

20 September 2021