GURU PENYEMAI SEMANGAT MERDEKA
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
(Petikan puisi Guru Oh Guru karya sasterawan Usman Awang)
Guru, satu nama tugas yang tersohor mulia. Tugas mendidik itu perlukan kesabaran yang sangat tinggi, komitmen yang sangat padu, pengorbanan yang tak terhitung.
Guru dan kemerdekaan berpisah tiada. Guru memainkan watak penting dalam memperjuangkan dan mengekalkan kemerdekaan serta kedaulatan negara melalui sistem pendidikan.
Jika ditanya, sambutan kemerdekaan di mana yang selalu diingati? Rata-rata pasti mengatakan, sekolahlah tempat di mana sambutan terus terlintas di ingatan. Manakan tidak, setiap tahun, sambutan kemerdekaan diadakan di sekolah dengan pelbagai aktiviti menarik seperti perarakan merdeka, hiasan kelas sempena merdeka, pertandingan nyanyian merdeka, pertandingan pakaian merdeka, ceramah merdeka, tayangan filem berkaitan kemerdekaan contohnya seperti yang dikenali semua peringkat umur tahun ini iaitu filem “Mat Kilau” kuiz merdeka dan pelbagai lagi aktiviti menarik.
Peribahasa Melayu mengatakan, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Semangat kemerdekaan, tahu sejarah negara, menghayati penat lelah dan pengorbanan para pejuang mempertahankan negara dan membebaskan negara dari cengkaman penjajah, WAJIBLAH dididik sejak anak-anak ini masih kecil dan diteruskan sehingga ke peringkat pengajian tertinggi dan tidak terkecuali, sehingga memasuki alam kerjaya.
Mengapa pentingnya mendidik anak-anak sejak kecil tentang kemerdekaan?
Tak kenal maka tak cinta.
“Orang yang buta sejarah adalah orang yang akan buta sepanjang hayatnya. Aabila kita mempelajari sejarah, ertinya kita sedang mempelajari hidup” (petikan kata Ustaz Zul Ramli M.Razali dari slot Tazkirah Malam Jumaat episod Hagia Sophia, Astro Oasis)
“Those who cannot learn from history are doomed to repeat it” (George Santayana)
Malaysia adalah negara pelbagai bangsa dan agama. Untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan negara, setiap generasi perlulah sentiasa diingatkan dan dipupuk dengan jiwa cintakan tanah air. Semestinya tugas ini banyak melibatkan para guru yang bertugas mendidik anak-anak di sekolah tatkala ibu bapa anak-anak ini bekerja. Waktu pelajar di sekolah di antara 5 hingga 10 jam setiap hari (pembelajaran akademik dan sesetengahnya bersambung dengan Kelas Asas Fardhu Ain/KAFA atau kelas tambahan). Anggaran 1/3 hari dari 24 jam diluangkan di sekolah bersama para guru dan rakan-rakan setiap hari persekolahan.
Peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 adalah sejarah hitam negara yang tiada siapa mahu ianya berulang kembali. Ianya menjadi iktibar pentingnya perpaduan dan penyatuan kaum. Anak-anak perlu dididik menghormati semua bangsa tanpa mengira warna kulit dan perbezaan agama dan bahasa.
“Orang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum yang hendak menumpukan taat setia dan tinggal bersama serta menumpu dan menumpahkan darah serta bekerja membanting tulang di negeri ini, tinggallah dengan baik antara satu dengan lain kerana negeri ini adalah berlainan dengan mana-mana negeri yang ada di dunia ini” (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj)
“Let us always remember that unity is our fundamental strength as a people and as a nation” (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj)
“Malaysia is a country unlike any other: Full of promise and fragility. Its history, cultural and religious diversity, make it a rich, compelling and surprising land” (Tariq Ramadan)
Guru yang ikhlas mendidik, dijanjikan ganjaran oleh Allah.
Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari R.A, Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya: “Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.”
Riwayat Muslim (1893)
Manakala dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”
Riwayat Muslim (1017)
Saidina Ali r.a berkata :
Ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga dirimu, sedangkan kamu menjaga harta, dan ilmu bertambah jika disiarkan sedangkan harta berkurangan jika dibelanjakan…Dan ulama’ itu akan tetap hidup selamanya meskipun jasadnya tidak ada, dan ajaran mereka selalu diingati dalam hati.”
(Lihat Hilyah al-Auliya’, 1/80, Tarikh Dimasyq, 14/18, Tazkirah al-Huffaz, 1/11 dan Tahzib al-Kamal, 24/220)
Buat para guru, tetaplah teguh bersabar walau berat amanah yang dipikul, walau berat cabaran mendidik anak-anak pada era teknologi pesat dan mencabar ini. Tanpa anda, sukar untuk mendidik anak-anak menjadi insan berguna, berakhlak dan berilmu.
Dari Abi Huhairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia,maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.
Muslim, Sahih Muslim bi sharh al-Imam Muhyiddin al-Nawawi, Kitab wasiyyah, jld. 11, hlm.87.
Beruntungnya guru-guru kerana mereka mendapatkan ketiga-tiga kelebihan seperti hadis Rasulullah di atas.
Erti merdeka buat masa ini bukan lagi perjuangan menumpahkan darah menentang musuh secara peperangan fizikal seperti pahlawan-pahlawan kita dahulu. Pada masa kini, cabarannya lebih luas, musuhnya juga sukar dikendalikan jika anak-anak generasi kini tidak punyai keazaman yang kukuh, jatidiri yang jelas dan keimanan yang terpasak kukuh. Bukan terbeban di bahu guru semata-mata, ibu bapa serta seluruh masyarakat turut sama berperanan dalam usaha mengekang musuh utama negara sekarang ini iaitu dadah, seks bebas, perzinaan, pembuangan bayi, ketagihan gajet yang melampau, semakin ramai anak muda yang kurang meminati ilmu dan lebih menjurus kepada kepopularan media sosial untuk menjana pendapatan lumayan dan pelbagai lagi musuh utama negara yang bakal merugikan jika tidak diperangi dan ditakluki dengan baik.
Perjuangan ini tak pernah berhenti. Siapa pun kita, apapun kerjaya kita, semua kita punyai peranan dalam mengekalkan kemerdekaan. Teruslah teguh demi negara tercinta. Carilah ilmu kerana dengan ilmu, kita punyai cara menghadapi apa jua rintangan. Jika guru sudah berusaha menjadi penyemai semangat kemerdekaan kepada anak-anak, ibu bapa haruslah berusaha menyuburkan semangat kemerdekaan itu untuk selamanya! Terima kasih cikgu!
Ditulis oleh
Nurul ‘Ainaa Binti Mohd Hafizuddin
Penulis merupakan peserta dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan dan hari Malaysia anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.
30 September 2022
Tagged teguhmembinanegara