Jabatan Profesional Muda – JPro

TER'CIKGU'

Itulah istilah yang diberi kepada sekumpulan guru yang tiada latar belakang bidang pendidikan. Ya, saya ter’cikgu’. Seorang ahli Matematik yang didoakan orang ramai menjadi cikgu. Ia bukanlah sesuatu yang pernah dirancang sejak di bangku sekolah. Maka ia menjadi satu cabaran untuk menjadi setaraf guru-guru cemerlang di luar sana.

Teringat kali pertama menceburi bidang pendidikan, ketika menjadi guru ganti di sebuah sekolah menengah di Banting selepas tamat belajar di peringkat Asasi di UiTM.

Sebelum mula mengajar, dah rancang dalam kepala,

“Aku nak jadi guru yang murid-murid suka.”

“Aku nak ajar best-best macam dulu cikgu-cikgu buat masa sekolah.”

“Budak-budak semuanya. Buat apa nak takut?”

Pagi hari pertama, semangat rasanya sebab ingin memulakan sebuah cabaran. Realitinya, hari pertama mengajar terus masuk Gear 6.

Kenapa?

===================

Situasi 1:

Ajar kelas Tingkatan 4 dan 5, satu kelas ada 40 orang. Itu OK lagi. Langkah masuk sebuah kelas Sains paling belakang dengan senyuman, langkah keluar dengan emosi. Rasa marah dan geram. Bila tanya kepada semua guru yang mengajar kelas itu, semua kata benda yang sama.

“Kelas C memang begitu. Masuk, ajar macam biasa je walaupun mereka selalu biadap dengan guru dan suka buat bising. Si Ahmad (bukan nama sebenar) itu ketuanya. Kalau dia tiada baru aman kelas. Dialah yang selalu pengaruh kawan-kawan untuk ikut macam dia.”

Situasi 2:

Masuk kelas Tingkatan 5, kelas terakhir, sunyi, aman damai. Itu OK lagi. Tapi dalam 20 orang, yang ada hanya separuh, itu pun hampir semuanya tidur. Minta izin ke tandas, setengah jam kemudian pun tak masuk lagi kelas. Berkerut dahi menghadapi situasi sebegini, memikirkan apa yang tidak kena dengan mereka.

Apabila saya tanya guru-guru lain yang mengajar kelas itu, masing-masing kata kebanyakan memang ada masalah keluarga. Semua jenis putus harapan untuk belajar. Datang sekolah buat syarat sahaja. Bukan hanya Melayu sahaja, tetapi ada juga Cina dan India dalam kelas itu.

Itulah namanya pengalaman. Pengalaman yang mendewasakan manusia. Balik rumah, sepanjang jalan tak henti berfikir,

“Inikah realiti anak muda sekarang?”

“Tak tahan pula rasanya nak mengajar budak-budak macam ini.”

“Nak buat apa ya dengan mereka esok?”

Sampai ke malam, sebelum tidur masih berfikir. Susah rupanya jadi cikgu. Selama ini hanya lihat ibu, abang dan kakak ipar pergi ke sekolah dan pulang ke rumah nampak seperti tiada masalah. Seolah-olah setiap hari di sekolah itu seronok sampai balik rumah pun tidak kelihatan stres. Namun di sebalik senyuman itu ada kepenatan dan kesedihan yang disorok. Cuma ia adalah pilihan untuk mereka terus positif menempuh hari-hari baru ataupun terus berputus asa.

Hari kedua dan seterusnya, saya semakin mahir untuk mengawal kelas dan merancang pembelajaran dalam kelas. Lama kelamaan, komunikasi dengan anak murid sudah tidak lagi menjadi masalah yang besar. Mereka selesa untuk menegur, berborak dan menceritakan perihal masing-masing, dari masalah belajar sehingga masalah dengan kawan, mereka suka untuk bercerita asal pandai jaga rahsia. Setelah dua bulan mengajar, kesimpulan yang diperoleh ialah menjadi guru itu memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan dalam menarik minat anak remaja, kena pandai tarik tali dengan mereka.

Tidak semua anak remaja melalui kehidupan yang normal. Ada yang jadi yatim piatu, ada yang hidup serba kekurangan, ada yang bapa kaki botol dan kaki pukul tak kurang juga ada ibu bapa yang bercerai. Stres dari rumah dibawa ke sekolah. Akhirnya di sekolah tak dapat fokus untuk belajar. Guru juga yang perlu pikul tanggungjawab untuk memastikan mereka mendapat pendidikan terbaik di sekolah dan mendapat kasih sayang secukupnya.

Apabila orang kata, jadi guru mudah dan menjadikan ia pilihan kerja setelah tidak mendapat kerja dalam bidang yang dipelajari, saya sudah lihat ramai juga guru yang tidak dapat berfungsi dengan baik kerana mereka gagal memahami peranan seorang guru itu adalah lebih daripada menjadikan anak murid pandai. Mereka sangka, jadikan anak murid dapat banyak Aitu lebih penting. Namun mereka silap.

Lima tahun menjadi guru, segala jenis kerja sudah pernah merasa, daripada membuat kertas kerja, latih pasukan bola sepak, mengendalikan eksperimen mikrooorganisma sehingga menguruskan hal ehwal murid, jadual harian dan cari dana, ia seakan-akan menggabungkan sepuluh profesion dalam satu. 24 jam kadang-kadang terasa tidak cukup kerana tanggungjawab yang banyak.

Tanggungjawab itu bukan hanya seperti yang tertakluk dalam kontrak, tetapi segalanya bergantung kepada keperluan anak murid:

1. Anak murid tak cukup makan, kami keluarkan duit sendiri supaya mereka tidak berlapar.

2. Anak murid mahu suasana selesa dalam kelas, kami cari masa luar kelas untuk gotong-royong mencantikkan kelas.

3. Anak murid ada masalah peribadi, kami tolong selesaikan dan beri motivasi supaya mereka mampu mengawal emosi untuk terus fokus belajar.

4. Anak murid sakit, kami bawa mereka ke klinik dengan kenderaan sendiri. Walaupun terpaksa tunggu berjam-jam, tetapi kerana perlu masuk sekali jumpa doktor, kita relakan. Kadang-kadang sampai 2-3 kali seminggu berulang ke klinik.

5. Anak murid tak cukup masa belajar, kami buat kelas tambahan sampai ke malam walaupun itu sahaja waktu kualiti yang guru-guru ada untuk keluarga.

Itu baru sedikit sahaja daripada apa yang guru-guru buat setiap hari. Mudah kata, kami banyak berkorban wang dan masa. Mengajar itu sudah menjadi tugas hakiki, tetapi tugas-tugas lain tetap kami lakukan kerana kami ingin anak murid kami menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat.

Hanya dengan menunjukkan contoh yang baik, anak murid akan ikut teladan gurunya. Maka, di manakah senangnya tugas guru? Hanya yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab akan terus berjaya menjadi seorang guru yang sebenar walaupun sudah ter’cikgu’.

Sanggup buat semua yang diceritakan di atas?

WELCOME TO THE CLUB!

Ditulis oleh

Alya Nadhirah binti Abdul Wahid,
Kluster Pendidikan,
Jabatan Profesional Muda, JPro
Penulis merupakan ahli Kluster Pendidikan JPro. Penulisan beliau telah berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan penulisan yang dianjurkan oleh JPro. Penulisan ini merupakan pandangan dan pengalaman peribadi penulis sendiri.
 

3 Julai 2020