Jabatan Profesional Muda – JPro

PERJANJIAN YANG DIMAKAN ANAI-ANAI : KISAH PEMUDA YANG MENGHENTIKAN BOIKOT MUSYRIKIN QURAISY

Kita sering mendengar kisah bagaimana Rasulullah dan umat Islam dipulaukan oleh kaum Quraisy tetapi jarang kita dengar cerita sebenar bagaimana berakhirnya boikot yang dilakukan terhadap Bani Hasyim setelah hampir tiga tahun umat Islam ditekan oleh kaum Quraisy. Kisahnya bermula apabila munculnya bisikan-bisikan menolak kekerasan terhadap Bani Hasyim.

Hisyam bin Amru ialah seorang tokoh daripada kalangan pemimpin kafir Quraisy tetapi dihatinya ada bibit-bibit simpati terhadap kesengsaraan umat Islam ekoran tindakan pemulauan yang dilakukan. Hisyam dikatakan sering membawa masuk makanan dan keperluan secara curi-curi ke perkampungan Abu Thalib terutamanya pada waktu malam. Sehinggalah pada suatu hari beliau terfikir sampai bila tindakan kejam seperti itu ke atas umat Islam akan berterusan.

Beliau kemudiannya menyuarakan perkara itu ketika bertemu dengan Zuhair bin Abi Umayyah Al-Makhzumi iaitu putera kepada Atikah binti Abdul Muttalib, “Wahai Zuhair! Kamu boleh rela had untuk memakan dan meminum sedang bapa-bapa saudara kamu, seperti kau tahulah.”

“Baiklah, apa aku boleh buat, aku seorang sahaja, demi Allah kalau ada orang lain
bersama ku, dah lama ku langgar piagam itu.”, jawab Zuhair.

“Aku ada orang kedua.”, kata Hisyam.

“Siapa orangnnya?”, tanya Zuhair.

“Aku!”, pantas dijawab oleh Hisyam.

“Kita perlu orang ketiga.”, cadang Zuhair.

Mereka berdua kemudiannya mengumpulkan lagi tiga orang iaitu Al-Mut’am bin ‘Adi, Abu Al-Bukhturi bin Hisyam dan Zama’ah bin Al-Aswad. Kelima-lima orang itu kemudian sepakat untuk bertemu di Khatm Al-Hajun bagi membincangkan bagaimana cara untuk membatalkan kesepakatan orang-orang Quraisy. Keputusan mereka ialah dengan membiarkan Zuhair bin Umayyah memulakan protes dan yang lainnya akan menyokong perkara tersebut.

Keesokan harinya selepas subuh Zuhair terus melakukan tawaf mengelilingi kaabah tujuh kali kemudian memulakan protes. Di depan khalayak ramai Hisyam melaungkan,

“Wahai penduduk Makkah, apakah kita memakan makanan dan memakai pakaian, sedang Banu Hasyim susah kelaparan, tidak dibenar berjual beli dengan mereka? Demi Allah aku tidak akan berdiam diri aku pecah dan langgar piagam yang zalim itu.”

Abu Jahal yang ketika itu berada di penjuru masjid pun berkata, “Itu adalah dusta dari mu, demi Allah kau tidak akan melanggar piagam yang kita persetujui itu.”

Mendengarkan jawapan Abu Jahal itu Zam’ah mencelah berkata, “Kami tidak setuju piagam yang amat berdusta, kerana kami tidak setuju piagam itu dituliskan cuma kamu yang beria-ia sangat seperti yang tertulis itu.”

“Memang kau benar wahai Zam’ah, sesungguhnya kami tidak rela dengan penulisannya itu dan kami tidak mengakuinya.” disokong oleh sahabatnya Al-Bukhturi.

“Kamu berdua memang benar yang lain-lain itu dusta belaka, kami adalah bebas dihadapan Allah dengan segala apa yang tertulis.”, kata al-Mut’am bin ‘Adi pula. Seperti yang disepakati, Hisyam pun turut menyokong dan bersetuju terhadap kata-kata sahabatnya.

“Perkara ini sudah diatur dalam satu malam, di mana kamu bermesyuarat bukan di tempat ini!”, tegas Abu Jahal. Maka berlakulah pertelingkahan antara kelima-lima mereka dengan Abu Jahal.

Ketika perdebatan sedang hangat berlaku hadir Abu Thalib dari satu penjuru masjid yang telah dikhabarkan kepada beliau oleh RasulNya tentang hancurnya piagam yang mereka tulis itu dimakan anai-anai. Abu Thalib menceritakan apa yang telah dikhabarkan kepada beliau dan memberi tawaran sekiranya beliau berdusta Abu Thalib akan memberi laluan untuk kaum Quraisy bertindak terhadapnya, tetapi jika beliau benar boikot terhadap Bani Hasyim harus diakhiri.

Setelah berlaku perbicaraan hangat di antara orang ramai dan Abu Jahal, akhirnya al-Mut’am bangun dan pergi mengambil lambaran piagam untuk dimusnahkannya, tiba-tiba dia mendapati anai-anai telahpun memakan lembaran itu kecuali lafaz Bismika Allahhumma dan mana-mana lafaz yang tersebut nama Allah sahaja yang tidak dimakannya. Maka dengan hancurnya lembaran piagam tersebut berakhirlah pakatan kezaliman quraisy terhadap Bani Hasyim.

Daripada kisah ini dapat kita lihat bagaimana beraninya Zuhair dalam menyatakan kebenaran dan menegakkan keadilan. Walaupun beliau tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan terhadap Bani Hasyim beliau tidak bertindak secara melulu sebaliknya beliau mengumpul kekuatan dan merancang strategi supaya pendekatan yang diambil tidak menjadi sia-sia sebaliknyamembuahkan hasil.

Anak muda terutamanya perlu mengambil pelajaran daripada kisah ini. Dalam keghairahan anak muda memperjuangkan nasib mereka dengan semangat yang berkobar-kobar, seharusnya mereka bertindak secara berstrategi sehingga sampai kepada satu tahap dimana suara-suara mereka bukan sekadar berlegar-legar dalam kelompok mereka sahaja tetapi suara mereka adalah suara yang didengari dan tidak boleh diketepikan hasil daripada penyusunan gerak kerja secara tersusun dan berstrategi.

 

[Sumber:]
1. Al-Raheeq Al-Makhtum karangan Syeikh Safy Al-Rahman Al-Mubarakfuriyy

Ditulis oleh

Syafiq Nasaruddin
Kluster Kejuruteraan
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan AJK Jabatan Profesional Muda Negeri Melaka. Beliau merupakan mahasiswa jurusan Kejuruteraan Elektronik dengan latar belakang pendidikan agama serta aktif di dalam arena dakwah dan penulisan.
 

8 November 2019