Jabatan Profesional Muda – JPro

CABARAN PENDIDIK MASAKINI

PENGENALAN

Menjadi seorang guru pada masa kini bukan suatu perkara yang mudah dengan perangai dan ragam pelajar yang tidak mudah untuk diuruskan. Tugas seorang guru bukan sahaja mengajar dan mendidik pelajar, malah tugas guru turut dipenuhi dengan tugas sampingan seperti aktiviti-aktiviti di luar waktu persekolahan yang perlu diuruskan, seperti latihan rumah sukan, latihan badan beruniform, kelab, kelas tambahan, ceramah dan sebagainya.

Tidak kurang juga aktiviti yang perlu dihadiri oleh guru, seperti perlu menghadiri kursus, ataupun perlu mewakili sekolah untuk persidangan dan pelbagai lagi. Selain mengajar apa yang telah ditetapkan dalam silibus, penerapan nilai-nilai kerohanian turut perlu diterapkan oleh para guru dalam diri para pelajar kerana mereka kelak bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan. Tanpa didikan nilai-nilai murni dan berteraskan apa yang telah Allah tetapkan dalam Al Quran selari dengan firmanNya : “ Bacalah! Dengan Nama Tuhanmu…” (Surah Al-Alaq:1)

Sekiranya cara mendidik dan acuan pendidikan yang diterapkan tidak berlandaskan apa yang Allah swt anjurkan dalam Al-quran, nescaya ia akan melahirkan peribadi para pelajar yang tidak menuruti perintah dalam setiap langkah laku dan cara hidup. Ia seterusnnya mewujudkan masyarakat yang tidak seimbang dari segi pengisian rohani dan jasmani.

Oleh yang demikian, setiap tahun tanggal 16 Mei akan diadakan sambutan Hari Guru bagi meraikan para guru dan pendidik yang telah bertungkus lumus dan berkorban menabur bakti demi melihat anak bangsa berjaya. Berjayanya bagi seorang guru adalah melihat anak muridnya bukan hanya berjaya dunia, tetapi turut berjaya akhirat kerana itulah kemanisan yang tidak ternilai buat seorang guru.

SEJARAH HARI GURU

Tahukah anda, tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai Dasar Pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.

OBJEKTIF HARI GURU

Antara objektif yang telah digariskan bagi penganjuran hari guru ialah:

– Menitik beratkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
– Menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
– Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibbah di antara guru.
– Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
– Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
– Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu boleh berkesan.

KESIMPULAN

Oleh itu, pesan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyatakan “Guru yang cemerlang ialah guru yang memikul tanggungjawab untuk mengisi jiwa anak muridnya dengan nilaian roh, akal dan jasad bagi memenuhi fitrah insani demi mencapai matlamat manusia diciptakan”.

Kami mewakili Jabatan Professioanal (JPRo),Dewan Pemuda PAS mengucapkan Selamat Hari Guru buat semua guru di Malaysia ini. Jasamu akan kami kenang selamanya.

Ditulis oleh

Muhammad Akhir
Kluster Kejuruteraan
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan AJK & Ahli Kluster Kejuruteraan, JPro DPPM. Bekerja sebagai jurutera di salah sebuah syarikat pembekal alat perubatan serta aktif dalam aktiviti penulisan dan kemasyarakatan.

Artikel ini disemak oleh Kluster Pendidikan JPro DPPM
 

17 Mei 2019