Jabatan Profesional Muda – JPro

GALAKAN BERPUASA DALAM BULAN MUHARRAM

Galakan Berpuasa Dalam Bulan Muharram
 
Daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
 
أَفْضَلُ الصيَامِّ بعَْدَ شَهْرِّ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّه الْمُحَرمُ وَإِّن أَفْضَلَ الصلاَةِّ بعَْدَ الْمَفْرُوضَةِّ صَلاةٌ مِّنَ الليْلِّ
 
Maksudnya: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail).
 
Riwayat Abu Daud (2429)
 
Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan ? Maka jawab baginda S.A.W:
 
إِّنْ كُنْتَ صَائِّمًا بعَْدَ شَهْرِّ رَمَضَانَ فَصُمِّ الْمُحَهرمَ فَإِّنههُ شَهْرُ اللَّه
 
Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.
 
Riwayat al-Tirmizi (741)
 
Galakan Berpuasa Hari ‘Asyura
 
Terdapat galakan khusus yang menceritakan berkenaan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram iaitu hari ‘asyura. Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat berikut:
 
Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
 
صِّيَامُ يوَْمِّ عَاشُورَاءَ إِّ نّى أَحْتَسِّبُ عَلَى اللَِّّه أَنْ يُكَفِّرَ السنَةَ التِِّي قَبْلَهُ
 
Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.
 
Riwayat Ibn Majah (1738)
 
Begitu juga sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma yang berkata;
 
قَدِّمَ النبُِِّّي صلى الله عليه وسلم الْمَدِّينَةَ، فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يوَْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ ” مَا هَذَا “. قَالُوا هَذَا يوَْمٌ صَالِّحٌ، هَذَا يوَْمٌ نََجّٙى اللَُّه بَنِِّي إِّسْرَائِّيلَ مِّنْ عَدُوِّهِّمْ، فَصَامَهُ مُوسَى. قَالَ ” فَأَنََا أَحَقُّ بُِِّموسَى مِّنْكُمْ “.
فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِّصِّيَامِّهِ
 
Maksudnya: Rasulullah S.A.W datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini ?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.
 
Riwayat al-Bukhari (2004)
 
Kedua-dua hadis di atas jelas menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Asyura adalah diperintahkan kepada umat Muhammad S.A.W dan hukumnya adalah sunat.
 
Galakan berpuasa bersamaan pada sebelum atau selepas 10 Muharam
 
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:
صُومُوا يوَْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِّفُوا فِّيهِّ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يوَْمًا، أَوْ بعَْدَهُ يوَْمًا
 
Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.
 
Riwayat Ahmad (2154)
 
Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma, kata Nabi S.A.W:
 
لَئِنْ بَقِيت الى قابل لاءٙصومٙنّٙ التاسع
 
Maksudnya: Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram).
 
Riwayat Muslim (1134)
 
Kesimpulannya, walaupun kita digalakkan berpuasa pada 10 Muharram, kita juga dianjurkan untuk berpuasa sehari sebelum atau sehari selepasnya jika sekiranya kita mampu untuk melaksanakan puasa tersebut. Ini supaya kita tidak sama dengan golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram sahaja. Tetapi jika kita hanya mampu berpuasa sehari Sahaja maka berpuasalah pada hari Asyura iaitu pada 10 Muharam.

Ditulis oleh

Ahli Kluster Pengajian Islam,
Jabatan Profesional Muda, DPPM

14 Julai 2024