Skip to main content

Jabatan Profesional Muda – JPro

Quantum: Gelombang Teknologi Baru Yang Malaysia Tidak Boleh Abaikan

Ketika dunia masih hangat memperkatakan kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan ekonomi digital, satu lagi gelombang teknologi sedang berkembang dengan pantas di peringkat global. Teknologi tersebut ialah Teknologi Kuantum (Quantum Technology).

Bagi kebanyakan rakyat, istilah quantum mungkin kedengaran terlalu saintifik dan jauh daripada kehidupan seharian. Namun hakikatnya, teknologi ini kini menjadi antara fokus utama pelaburan strategik negara-negara maju kerana potensinya untuk mengubah landskap ekonomi, keselamatan siber, pertahanan, kesihatan dan industri berteknologi tinggi.

Malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan tahun 2025 sebagai International Year of Quantum Science and Technology, bagi memperingati 100 tahun perkembangan sains kuantum dan mengiktiraf kepentingannya kepada pembangunan masa depan dunia.

Persoalan yang perlu ditanyakan ialah: apabila revolusi kuantum benar-benar berlaku, adakah Malaysia bersedia untuk menjadi pemain, atau setakat pengguna teknologi yang dibangunkan oleh negara lain?

Memahami Teknologi Kuantum

Secara mudah, teknologi kuantum dibangunkan berdasarkan fenomena fizik yang berlaku pada skala atom dan sub-atom. Berbeza dengan dunia yang kita lihat setiap hari, dunia kuantum mempunyai sifat yang unik dan sukar difahami melalui logic fizik konvensional disebabkan masih para sainstis masih kekurangan kefahaman asas kuantum dan juga limitasi teknologi.

Antara konsep utama yang menjadi asas kepada teknologi kuantum ialah superposition, iaitu keupayaan sesuatu zarah berada dalam beberapa keadaan serentak; entanglement, apabila dua zarah boleh saling berkait walaupun berada jauh di antara satu sama lain; serta quantum tunneling, yang membolehkan zarah menembusi halangan yang secara fizikalnya kelihatan mustahil.

Walaupun konsep ini terlalu saintifik untuk difahami, hasil akhirnya adalah teknologi yang mampu menawarkan kuasa pengiraan, ketepatan penderiaan dan tahap keselamatan komunikasi yang jauh lebih tinggi berbanding teknologi sedia ada.

Tiga Cabang Utama Teknologi Kuantum

Perkembangan teknologi kuantum pada hari ini tertumpu kepada tiga bidang utama.

Pertama ialah komputer kuantum (quantum computing). Jika komputer biasa menggunakan bit yang hanya boleh bernilai 0 atau 1, komputer kuantum menggunakan qubit yang boleh berada dalam kedua-dua keadaan secara serentak. Keupayaan ini membolehkan komputer kuantum menyelesaikan masalah tertentu yang terlalu kompleks untuk diselesaikan oleh superkomputer konvensional.

Antara aplikasi yang sering disebut termasuk penemuan ubat baharu, simulasi bahan canggih, pengoptimuman logistik, analisis kewangan yang melibatkan data dalam skala ribuan trillions dan besar kemungkinan kecerdasan buatan generasi seterusnya iaitu yang computer atau mesin yang boleh memahami emosi dan empati berbanding logic semata-mata.

Cabang kedua ialah komunikasi dan keselamatan kuantum. Bidang ini sebenarnya lebih hampir kepada aplikasi komersial berbanding komputer kuantum. Ia melibatkan teknologi seperti Quantum Key Distribution (QKD), Post-Quantum Cryptography (PQC) dan sistem komunikasi yang tahan terhadap ancaman komputer kuantum.

Kebimbangan utama ialah kemampuan komputer kuantum masa hadapan untuk memecahkan sistem penyulitan yang digunakan oleh bank, syarikat telekomunikasi, agensi kerajaan dan infrastruktur kritikal. Atas sebab itulah banyak negara mula bersedia untuk beralih kepada sistem keselamatan digital yang lebih kebal terhadap ancaman tersebut.

Cabang ketiga ialah penderiaan kuantum (quantum sensing). Teknologi ini menggunakan fenomena kuantum untuk menghasilkan sensor yang lebih tepat dan sensitif berbanding sensor konvensional. Potensi penggunaannya meliputi pertahanan, penerokaan sumber asli, minyak dan gas, navigasi tanpa GPS, pemantauan alam sekitar serta pertanian pintar.

Masih Awal, Tetapi Semakin Hampir

Salah satu salah faham yang sering berlaku ialah menganggap teknologi kuantum sama ada sudah matang sepenuhnya atau masih berada di peringkat teori semata-mata. Hakikatnya, kedua-dua tanggapan tersebut tidak tepat.

Sesetengah segmen seperti Post-Quantum Cryptography sudah memasuki fasa penggunaan sebenar, manakala komputer kuantum berskala besar masih berada di peringkat pembangunan. Ringkasnya, teknologi kuantum pada hari ini boleh diibaratkan seperti internet pada awal 1990-an; potensinya besar, tetapi ekosistemnya masih sedang dibentuk.

Mengapa Dunia Berlumba-Lumba Melabur?

Laporan McKinsey Quantum Technology Monitor 2025 menganggarkan bahawa gabungan pasaran quantum computing, quantum communication dan quantum sensing boleh mencecah sehingga USD97 bilion menjelang tahun 2035, dan berpotensi mencapai hampir USD200 bilion menjelang tahun 2040.

Selain faktor ekonomi, kuantum juga dianggap sebagai teknologi strategik yang mempunyai implikasi besar terhadap keselamatan negara. Sama seperti AI, semikonduktor dan teknologi angkasa, penguasaan dalam bidang kuantum kini dilihat sebagai sebahagian daripada persaingan geopolitik global.

Lebih penting, negara yang gagal membangunkan keupayaan sendiri berisiko menjadi pengguna semata-mata kepada teknologi yang dibangunkan dan dikawal oleh pihak lain.

Malaysia Tidak Bermula Daripada Sifar

Malaysia sebenarnya mempunyai beberapa asas yang boleh dibangunkan.
Institusi seperti MIMOS, CyberSecurity Malaysia, NACSA, Universiti Malaya, UTM, UKM, USM dan UiTM telah terlibat dalam penyelidikan serta pembangunan teknologi berkaitan.

Malaysia juga mempunyai kelebihan dalam sektor-sektor strategik seperti semikonduktor, elektronik, pembuatan, minyak dan gas serta perladangan yang boleh menjadi platform kepada pembangunan aplikasi kuantum pada masa hadapan.

Namun begitu, beberapa kelemahan utama masih perlu diberi perhatian. Antaranya ialah ketiadaan strategi quantum kebangsaan yang khusus, kekurangan bakat dalam bidang quantum, tahap kesedaran industri yang rendah serta ekosistem komersialisasi yang masih belum matang.

Singapura Sudah Bergerak Lebih Awal

Jika mahu melihat contoh yang paling hampir, Singapura telah melancarkan National Quantum Strategy pada tahun 2024 dengan pelaburan hampir SGD 300 juta bagi tempoh lima tahun.

Pelan tersebut bukan sahaja merangkumi penyelidikan, malah membabitkan pembangunan bakat, industri, startup, pembangunan pemproses quantum dan aplikasi komersial. Singapura juga meletakkan sasaran yang jelas untuk membina tenaga kerja quantum yang mampu menyokong aspirasi ekonomi negara.

Perkembangan ini seharusnya menjadi peringatan bahawa negara-negara lain telah mula menyusun langkah untuk menguasai ekonomi kuantum masa hadapan.

Di Mana Peluang Malaysia?

Malaysia tidak perlu bersaing secara langsung dengan syarikat gergasi seperti IBM, Google atau Microsoft dalam membina komputer kuantum.
Sebaliknya, negara perlu memfokuskan kepada segmen yang lebih realistik dan mempunyai potensi pulangan ekonomi yang tinggi.

Antara peluang paling jelas ialah menjadikan Malaysia sebagai hab Quantum-Safe Cybersecurity serantau. Pada tahun 2024, NIST Amerika Syarikat telah mengeluarkan standard rasmi pertama bagi Post-Quantum Cryptography dan menggesa organisasi di seluruh dunia memulakan proses migrasi kepada sistem keselamatan yang tahan terhadap ancaman komputer kuantum.

Ini bermakna bank, syarikat telekomunikasi, agensi kerajaan dan operator infrastruktur kritikal akan memerlukan perkhidmatan audit keselamatan, migrasi sistem, latihan dan pensijilan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Selain itu, Malaysia juga berpotensi menjadi pusat pembangunan modal insan dan latihan quantum bagi rantau ASEAN. Dengan kelebihan kos yang lebih kompetitif berbanding beberapa negara jiran, universiti dan institusi latihan tempatan boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Aplikasi khusus untuk sektor strategik negara seperti perladangan, minyak dan gas, logistik, pelabuhan, keselamatan maritim dan pemantauan alam sekitar juga boleh menjadi niche yang memberikan kelebihan kompetitif kepada Malaysia.

Malaysia Sudah Mengiktiraf Kuantum Sebagai Teknologi Strategik Negara

Bertentangan dengan tanggapan bahawa Malaysia masih belum melihat kuantum sebagai keutamaan, kerajaan sebenarnya telah mula memberi perhatian serius terhadap teknologi ini.

Pada 25 Februari 2025, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, telah merasmikan Pusat Kecerdasan Kuantum MIMOS (MIMOS Quantum Intelligence Centre) iaitu pusat pertama seumpamanya di Malaysia. Dalam majlis tersebut, beliau menegaskan bahawa pembangunan ekosistem kuantum merupakan sebahagian daripada usaha negara untuk memperkukuh daya saing ekonomi, inovasi dan daya tahan digital Malaysia. Kerajaan turut mengumumkan bahawa pusat tersebut akan menjadi hab utama bagi penyelidikan, pembangunan bakat, kerjasama industri dan pengkomersialan teknologi kuantum di Malaysia.

Perkembangan ini turut diterjemahkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang mengiktiraf teknologi kuantum sebagai salah satu sektor strategik negara bersama semikonduktor, aeroangkasa, tenaga bersih dan unsur nadir bumi. Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa teknologi kuantum tidak lagi dilihat sebagai bidang penyelidikan akademik semata-mata, sebaliknya sebagai pemacu ekonomi bernilai tinggi yang berpotensi menyumbang kepada daya saing negara pada masa hadapan.

Pada tahun 2026, MOSTI turut memulakan perbincangan bersama IBM Asia Pacific mengenai cadangan penubuhan National Quantum & AI Center of Excellence (NQAIC). Fokus utama inisiatif tersebut adalah pembangunan bakat tempatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), infrastruktur serta penerokaan kes penggunaan teknologi kuantum yang relevan kepada keperluan negara.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa kerajaan mula melihat kuantum bukan lagi sebagai bidang akademik semata-mata, tetapi sebagai salah satu teknologi asas yang bakal menyokong ekonomi digital negara pada masa hadapan.

Satu lagi perkembangan penting ialah kerjasama antara MIMOS dan syarikat dari Korea Selatan, SDT Inc., bagi mewujudkan sebuah hab inovasi kuantum yang dikenali sebagai Quantum Valley Malaysia. Hab ini dirancang sebagai pusat pembangunan penyelidikan, syarikat pemula (startup), rantaian bekalan dan pelaburan berkaitan teknologi kuantum.

Jika berjaya direalisasikan, Quantum Valley berpotensi menjadi platform penting dalam menarik pelaburan berteknologi tinggi ke Malaysia serta mempercepatkan proses pengkomersialan teknologi kuantum tempatan.

Pada Mesyuarat Majlis Sains Negara tahun 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa Malaysia sedang mempergiatkan penerokaan teknologi masa hadapan termasuk teknologi kuantum sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ketahanan ekonomi negara dan meningkatkan keupayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) negara. Ini menunjukkan bahawa isu kuantum kini bukan setakat agenda sebuah kementerian, tetapi telah mula dibincangkan di peringkat tertinggi kerajaan.

Walaupun komitmen awal kerajaan terhadap teknologi kuantum semakin jelas, Malaysia masih belum mempunyai satu Strategi Kuantum Kebangsaan yang menyeluruh. Strategi tersebut penting bagi memastikan pembangunan teknologi kuantum tidak berlaku secara terpisah-pisah, sebaliknya bergerak dalam satu ekosistem yang lengkap meliputi pembangunan modal insan, penyelidikan dan pembangunan, pemindahan teknologi, pengkomersialan, sokongan industri, pembiayaan, serta pembangunan pasaran yang mampu menjana impak ekonomi kepada negara.

Diantara National Strategy dari negara luar yang boleh dijadikan rujukan seperti berikut
• Singapore National Quantum Strategy
• UK National Quantum Strategy
• US National Quantum Initiative
• Australia National Quantum Strategy

Penutup

Daripada perspektif JPro DPPM, perkembangan ini harus disambut secara positif. Teknologi kuantum bukanlah isu partisan atau agenda mana-mana pihak semata-mata. Ia merupakan isu masa depan negara. Sebagaimana Islam mengangkat kepentingan ilmu, inovasi dan penguasaan teknologi untuk kemaslahatan ummah, Malaysia perlu memastikan negara tidak setakat menjadi pengguna kepada teknologi yang dicipta oleh kuasa besar dunia.

Islam meletakkan ilmu sebagai asas kepada pembinaan tamadun. Allah SWT berfirman:

“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
(Surah Al-Mujadalah: 11)

Sejarah membuktikan bahawa kemunculan tamadun Islam sebagai kuasa dunia suatu ketika dahulu bukan hanya didorong oleh kekuatan politik dan ketenteraan, tetapi juga melalui penguasaan ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai bidang termasuk matematik, astronomi, perubatan, kejuruteraan dan pelayaran.

Hari ini, dunia sedang memasuki era teknologi mendalam (deep technology) yang dipacu oleh kecerdasan buatan, semikonduktor, bioteknologi dan teknologi kuantum. Persaingan masa depan bukan lagi setakat mengenai pemilikan sumber asli atau tenaga buruh murah, tetapi mengenai keupayaan sesebuah negara membangunkan ilmu, teknologi, harta intelek dan inovasi yang mampu menjana nilai ekonomi yang tinggi.

Dalam konteks ini, usaha membangunkan keupayaan negara dalam teknologi kuantum bukanlah satu pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik bagi memastikan Malaysia tidak terus bergantung kepada teknologi yang dibangunkan oleh negara lain.

Pada masa yang sama, teknologi kuantum juga merupakan sebahagian daripada usaha memahami dan meneroka sunnatullah yang terkandung dalam alam ciptaan Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.”
(Surah Ali Imran: 190)

Kajian terhadap atom, zarah subatomik dan fenomena kuantum sebenarnya merupakan sebahagian daripada usaha manusia memahami kebesaran ciptaan Allah melalui ilmu pengetahuan yang diberikan-Nya. Atas sebab itu, pembangunan sains dan teknologi tidak bercanggah dengan Islam, malah menjadi salah satu instrumen untuk memanfaatkan akal dan ilmu demi kemaslahatan manusia.


______________


Selain itu, negara yang menguasai teknologi strategik akan mempunyai kelebihan dari segi daya saing ekonomi, ketahanan keselamatan dan pengaruh geopolitik. Sebaliknya, negara yang gagal membina keupayaan teknologi sendiri berisiko menjadi pengguna dan pembeli kepada teknologi yang dikuasai pihak lain.

Rasulullah SAW bersabda:

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah.”
(Riwayat Muslim)

Kekuatan yang dimaksudkan pada hari ini bukan sahaja merangkumi aspek fizikal, tetapi juga kekuatan ilmu, teknologi, ekonomi dan inovasi. Justeru, pembangunan teknologi strategik seperti teknologi kuantum perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kekuatan negara, melindungi kepentingan rakyat dan memastikan Malaysia mampu bersaing dalam ekonomi global yang semakin berasaskan pengetahuan.

Atas asas itulah JPro DPPM berpandangan bahawa pembangunan teknologi kuantum wajar diberikan perhatian yang lebih serius sebagai sebahagian daripada agenda strategik negara bagi dekad akan datang. Malaysia sebenarnya telah menunjukkan komitmen yang positif melalui pelbagai inisiatif awal seperti penubuhan MIMOS Quantum Intelligence Centre, pembangunan Quantum Valley Malaysia, pelaksanaan kerangka keselamatan siber berasaskan Post-Quantum Cryptography (PQC), serta pengiktirafan teknologi kuantum sebagai antara teknologi strategik negara dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Namun, cabaran pada hari ini bukan lagi kekurangan inisiatif, sebaliknya bagaimana untuk menyelaras dan mengintegrasikan pelbagai usaha tersebut ke dalam sebuah ekosistem nasional yang lebih tersusun, menyeluruh dan berimpak tinggi. Pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan teknologi, pengkomersialan, pembiayaan, pembangunan industri serta penciptaan pasaran perlu bergerak dalam satu kerangka yang saling melengkapi bagi memastikan pelaburan yang dilaksanakan mampu diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan peningkatan daya saing negara.

Justeru, sudah tiba masanya Malaysia melangkah ke fasa seterusnya dengan membangunkan sebuah Strategi Kuantum Kebangsaan yang komprehensif serta mempunyai sasaran yang jelas sehingga tahun 2035 atau 2040. Strategi tersebut bukan sekadar menjadi dokumen dasar, tetapi perlu berperanan sebagai pelan tindakan nasional yang menyelaraskan pembangunan modal insan, penyelidikan, industri, peraturan, pelaburan dan pengkomersialan teknologi kuantum. Dengan adanya hala tuju yang jelas, Malaysia bukan sahaja mampu menjadi pengguna teknologi kuantum, malah berpotensi muncul sebagai hab pembangunan bakat, keselamatan siber kuantum dan aplikasi teknologi kuantum bagi rantau ASEAN.

Prepared by

Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda (JPro)

26 November 2026