JPro

ACTIVATE CLUBHOUSE – PENGGUNAAN DATA ANALITIK DALAM INDUSTRI KEJURUTERAAN. BAGAIMANA IA MEMBANTU JURUTERA?

CATATAN ACTIVATE CLUBHOUSE – Adopting Data Analytics in Engineering Industry. How Does It Help Engineers?

Menganalisa data adalah penting bagi jurutera untuk membuat keputusan. Seiring perkembangan perisian teknologi yang berkebolehan untuk memanfaatkan data besar (Big Data), permintaan industri kepada jurutera untuk menguasai kemahiran dan teknologi tersebut semakin meningkat. Bersempena dengan itu, Kluster Kejuruteraan (KKJ) JPro telah mengadakan Activate Clubhouse untuk berbual santai perihal meingkatkan kemahiran dalam menganalisa data dan nilai tambah kepada kerja jurutera.
 
Perkara yang paling konsisten di bincangkan semasa Activate Clubhouse adalah keperluan untuk jurutera menyesuaikan diri dengan Revolusi Industri 4.0 dengan cara mempelajari kemahiran yang baharu serta menggunakan cara kerja yang lebih digital. Walaupun kemahiran tersebut dirasakan tidak padan dan lari daripada bidang pengajian, hakikatnya itulah yang perlu jurutera buat untuk memenuhi keperluan pekerjaan.
 
Peserta Active Clubhouse juga secara umumnya bersetuju kemahiran menganalisa data adalah penting. Namun, apabila mendengar terma asing seperti SQL server, Snowflake dan Python language, membuatkan seseorang itu menjadi takut untuk belajar. Cara yang lebih berkesan untuk belajar adalah dengan melihat kelompangan cara kerja sedia ada yang boleh ditambah baik melalui kemahiran menganalisa data. Pendekatan ini membuatkan kita lebih fokus kepada penyelesaian masalah dan lebih selektif terhadap bahagian analisa data yang perlu dikuasai.
 
Di antara pengalaman kerja yang telah di kongsikan oleh peserta Activate Clubhouse:
 
1. Menggunakan Power Bi untuk menvisualisasikan data langsung seperti Rate of Penetration (ROP) untuk memahami prestasi semasa sesebuah pelantar minyak.
 
2. Membantu syarikat untuk menjadi lebih kompetitif dengan memanfaatkan perisian sumber terbuka seperti Node-RED, Grafana dan KNIME.
 
3. Menggunakan Python untuk mengautomasi proses penghasilan laporan prestasi bulanan syarikat daripada pengumpulan data, permbersihan data, visualisasi data sehingga penghantaran emel.
 
4. Mengoptimumkan skop pemeriksaan dan penyelenggaraan di kilang penapisan minyak dan gas dengan memahami kondisi sebuah peralatan melalui vizualisasi data ketebalan menggunakan JMP.
 
Melihat kepada banyaknya nilai tambah yang boleh diberikan kepada operasi kerja, jurutera seharusnya mengambil peluang ini untuk menjadi mahir dalam teknologi menganalisa data. Manfaatkanlah program seperti Peneraju Teknologi Data Star, Data Automation and Analytics for Industry 4.0 anjuran Selangor Human Resources Development Centre dan Google analytics academy untuk terus maju dalam industri dan kerjaya yang diceburi.

Ditulis oleh

Muhamad Hafiz Hadi Bin Sumardi,
Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda, JPro
Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan JPro dan juga merupakan seorang jurutera aset integriti di sebuah syarikat gas dan minyak

17 Mac 2022