Jabatan Profesional Muda – JPro

AKU PERWIRA KEMERDEKAAN (GURU)

Suasana  sungguh ceria. Setiap sudut bangunan berkibaran Si Jalur Gemilang yang memiliki empat warna ceria. Merah, putih, kuning dan biru menangkap setiap pandangan penghuni di permis tempat aku bekerja. Kehadirannya menceriakan alam semesta..

            “Indahnya pemandangan ini,” getus hatiku.

            Sedar tidak sedar sudah 33 tahun aku berhadapan dengan suasana sebegini. Namun belum ada sekelumitpun rasa jemu aku dengan suasana ini. Malahan aku dan warga sekolah seakan-akan menanti  ketibaannya dengan penuh rasa cinta.

            “…di sini lahirnya sebuah cinta

            …yang murni abadi sejati

            ……………………………….

            ……………………………….

            Aku

            Bukanlah seorang pewira

            ………………………………

            Akulah penyambung warisan,” itulah suara harmoni murid-muridku.

Lirik ini dialunkan oleh murid ku dengan beria-ia. Mereka menyambung lirik yang dikumandangkan melalui pembesar suara pada waktu rehat. Tidak menjadi halangan kerana bulan Ogos telah digazetkan sebagai bulan kemerdekaan.

            Banyak ruang disediakan oleh majikan aku untuk memberi peluang warga penghuninya meraikan sambutan kemerdekaan yang ke-65. Aku melihat satu susuk tubuh begitu asyik menampal dan menggantung gegantung berkaitan KEMERDEKAAN. Dengan usianya, dapat aku bayangkan bertapa letihnya dia. Tetapi dek kerana semangat kemerdekaannya, keletihannya diletakkan ke tepi dan semangatnya dilayan dahulu.

            Pada hari itu aku melangkah ke kelas seperti biasa. Tetapi semangatku amat berbeza apabila melalui bilik muzik yang sedang mengumandang lagu patriotik dendangan penyanyi terkenal iaitu allahyarham Sudirman‘. Cikgu muzik yang selalu kusapa dengan panggilan Abang Haziq kerana dia anak kelahiran bumi kenyalang yang terkenal dengan panggilan nama abang begitu asyik mengajar anak didiknya melantunkan suara agar apa yang dinyanyikan itu terkesan kepada pendengar.

            Beliau sedang melatih sekumpulan pelajar yang mengambil bahagian nyayian  koir bagi sambutan meraikan kemerdekaan Malaysia peringkat sekolah. Mataku terarah ke kain gegantung yang dipasang oleh tukang kebun sekolah tadi. Tahun ini agak berlainan. Pihak sekolah memilih gambar tokoh-tokoh yang terlibat dalam  rundingan bagi menggenggam kemerdekaan. Siapa sangka kita sudah merdeka selama 65 tahun. Tema tahun ini ‘Teguh Bersama’ sangat padat maknanya.

            Berkaca-kaca mataku menahan rasa sebak. Kemerdekaan ini benar-benar membahagiakan rakyat Malaysia kerana dapat hidup dalam acuan tersendiri.

            “Bagaimanakah aku ingin memerdekakan anak-anak didikku,” aku mengomel

            sendirian.

 

            “Dapatkah mereka mempertahankan kemerdekaan ini?” aku bersuara

            perlahan.

            Bukan apa, mereka terpaksa hidup dalam situasi yang penuh pancaroba. Dikejar pelbagai cabaran demi sebuah kehidupan. Silap langkah mereka akan terjerumus dalam kepayahan.

            Kehadiran aku disambutan dengan salam oleh anak-anak merdeka. Aku berharap kegembiraan menyambut merdeka ini bukan satu pesta untuk mereka tetapi memahamkan mereka bahawa kemerdekaan negara ini patut didaulatkan. Aku terus bersuara untuk membalas salam mereka. Murid-muridku baru sahaja pulang dari kantin sekolah.

            “Syukur kamu semua sudah makan. Mari kita baca doa selepas makan,”

           kataku.

            Bergema situasi di dalam kelas dengan bacaan doa. Selepas itu, aku meminta murid-muridku  bangun dan beratur berdua-dua. Ikut aku melawat sekeliling sekolah  yang sungguh ceria . aku berpesan agar mereka tidak lupa membawa buku catatan dan alat tulis. Kami singgah di setiap kain gegantung. Aku meminta mereka membaca apa sahaja yang mereka lihat dan mencatatnya.

             “Ini gambar siapa?” soalku sambil tanganku memegang kain gegantung yang turut

              Disapa tiupan angin lembut.

            “Tidak tahu cikgu. Tapi saya selalu tengok kat televisyen. Dia laung Merdeka!

              Merdeka! Merdeka! Sayapun ikutlah,”kata Aiman dengan penuh semangat.

Aku tersenyum ke arah Aiman yang aku anggap  masih tercari-cari ikon hidupnya.

            “Ini gambar Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Beliau adalah antara tokoh-tokoh   yang terlibat dalam rundingan bagi mencapai kemerdekaan negara. Besar jasa Tunku.             Mari kita membaca doa agar beliau sentiasa dirahmati Allah,” terangku lagi.

            Anak-anak merdeka ini mengangkat dan menadah tangan memanjatkan doa. Aku bangga kerana anak-anak muridku ini masih kukuh kasih sayang terhadap negara. Apa sahaja yang pihak sekolah rancangkan untuk mereka sempena menyambut kemerdekaan ini diambil peduli. Beramai-ramai mereka mengibarkan bendera. Beramai-ramai mereka menyertai aktiviti lain seperti mewarna, berpakaian melambang warna Jalur Gemilang dan melakukan perarakan mini.

            Aku sedar besar peranan aku untuk menanam dan memupuk rasa kecintaan terhadap negara. Aku menceritakan apa yang dimahukan oleh Rukun Negara.

            “Cikgu, semua orang kena hafal Rukun Negarakan,”Iman bersuara dengan wajah

              mulusnya.

            “Sebaik-baiknya begitulah Iman. Apabila kita hafal kita akan dapat merasakannya

             sepenuh jiwa,” Jelas aku lagi.

 

            “Cikgu, poster TEGUH BERSAMA saya sudah siap. Sudah boleh hantar…kan,”             Faheem mencelah.

            “Cikgu doakan saya menang, ya,” kata Faheem lagi sambil tersenggeh.

            “Faheem, awak faham ke apa itu TEGUH BERSAMA,” tanya Danial dengan wajah

            kelatnya.

            Wajah Faheem berubah. Dia seakan-akan ingin menerangkan apa yang dia faham tentang TEGUH BERSAMA tetapi tidak sampai. Aku terus membantu Faheem dengan menyatakan maksud TEGUH BERSAMA itu boleh digunakan dalam banyak hal. Tetapi bagi sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini cogan kata ini membawa maksud kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara kolektif serta mampan.

            Sekali lagi aku terkesima dengan kata-kataku sendiri. Kekuatan yang harus dimiliki oleh murid-muridku adalah menjadi tanggungjawabku. Bagaimana? Sekali lagi aku terkesima. Tanggungjawabku ini telah melumpuhkan imaginasiku. Aku melangut ke langit mencari jawapan. Aku bagaikan dilambung perasaan sendiri. Dapat aku rasakan di wajahku terpancar rasa bersalah.

            Aku memandang ke arah tugu mini di sudut dataran perhimpunan. Tertitip bait demi bait kata-kata     keramat yang akan disuarakan oleh setiap warga sekolah bagi memulakan perhimpunan.

            NEGARAKU

            TANAH TUMPUHNYA DARAHKU

            RAKYAT HIDUP

            BERSATU DAN MAJU

            RAHMAT BAHAGIA

            TUHAN KURNIAKAN

            RAJA KITA

            SELAMAT BERTAHTA      

            Aku sudah bertemu penawar bagi membendung rasa bersalah. Bait-bait ini ibarat butir kemala yang sentiasa bercahaya menerangi setiap warganegara. Aku seakan-akan sudah menjumpai siapa aku sebenarnya. Akulah perwira yang akan melahirkan beribu-ribu perwira lain melalui pendidikan, tauladan, pengajaran, tunjukcara dan apa sahaja tingkahlaku dan tindakan yang bermakna.

            Jiwaku membara dan memastikan modus operandiku yang muncul secara tiba-tiba itu berjalan seperti yang dirancang. Aku mahukan semua muridku memperoleh ilmu yang tulen dan bernilai bagi mendepani seantero pancaroba. Mereka menangkis segala rintangan dan hambatan yang tidak disangka-sangka dengan minda. Mencetuskan situasi positif dalam kalangan pelbagai kaum demi sebuah perpaduan, Menempuh cabaran di pentas dunia dengan kebijaksana akal dan budi bicara. Bagaimana? Ya. ini jawapannya.

            Aku akan mendidik mereka untuk berubah baik, sentiasa mendukung heraki tertinggi, Menatang amanah dalam menggalas perjuangan, mengutamakan sikap keperibadian mulia dalam menegakkan kembali kedaulatan dan seterusnya  menegakkan maruah bangsa di persada dunia. Akhirnya TEGUH BERSAMA meneladani Rasulullah SAW bagi menegakkan yang makruf sahaja. Ini bukan kerja sia-sia yang menggila. Aku sanggup menjadi lilin membakar diri sepanjang hayat demi sebuah kemerdekaaan.

Ditulis oleh

Aminah Binti Bujang
Penulis merupakan pemenang saguhati dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

14 September 2022