Jabatan Profesional Muda – JPro

ANAK MUDA MEMIMPIN PERPADUAN: CABARAN DAN OPTIMISME

Berulang-ulang kali kita dihidangkan kisah datuk dan nenek kita yang cukup mesra dengan jiran berbangsa lain di kampung. Ceritanya seakan terlalu asing buat ramai daripada kita kini. Makan dan main bersama adalah lazim, memberi bayang kepada kita bahawa penyakit prejudis tidak sebagaimana kita lihat kini.
 
Malah, jika ditanya kepada abang dan kakak kita yang menelusuri zaman kanak-kanak 30 ke 40 tahun lalu pun, mereka boleh menceritakan betapa berbezanya suasana hubungan antara kaum berbanding kini. Sama-sama meminati Siti Nurhaliza dan lagu Itik Gembo Gembo siulan A to Z. Orang Cina suka lagu Melayu? Seakan tidak percaya kedengarannya.
 
Namun, beromantika dengan kisah lama sahaja tatkala suasana kehidupan kita kini sudah cukup berbeza tidak akan cukup untuk membina negara harmoni sebagaimana idaman dalam fikiran kita.
 
Realitinya bagaimana mahu merungkai rumitnya simpulan masalah ini? Ramai yang bercakap tentang ketidakseragaman sistem pendidikan sebagai punca utama. Maka, semakin ramai mencadangkan agar sekolah vernakular dihapuskan, dengan harapan bahawa sistem pendidikan kebangsaan mampu mewarnai anak-anak kita pelbagai bangsa sebagai generasi yang lebih menghargai kepelbagaian dan memperkuat identiti bangsa Malaysia.
 
Setakat pergaulan dan pembacaan penulis beberapa cendekiawan yang lazim berbicara soal perpaduan , penulis tertarik dengan satu kritikan; bahawa jika sistem pendidikan bersepadu yang kita mahukan, masa yang paling tepat dilaksanakannya adalah pasca tragedi berdarah 1969. Membuat perubahan besar sebegini kini memerlukan kesungguhan politik luar biasa.
 
Kelantan dengan komposisi lebih 95% Melayu namun cukup menginspirasikan bila berbicara tentang kemajmukan. Kepetahan loghat Kelantan tanpa mengira warna kulit menghiburkan. Namun, yang lebih mengujakan adalah bagaimana pendekatan negeri pimpinan orang agama itu cukup menghormati kepercayaan rakyatnya yang pelbagai.
 
Jadi, apakah yang menyebabkan kota moden yang mendakwa lebih progresif lebih sukar mencapai keharmonian? Jika negeri yang ditadbir orang agama boleh lebih hidup aman, mengapa agama pula dipersalahkan sebagai punca kepada kacau bilau perkauman? Dari sudut yang lain pula, orang agama lazimnya dilihat tidak mesra dengan penganut agama lain, menyebabkan persepsi agama memecah-belah menjadi lebih mudah diterima sebagai realiti. Sedangkan Nabi Agung kita telah buktikan bahawa Islam boleh memimpin secara adil dalam negara yang majoritinya tidak beriman kepada Islam.
 
Anak muda Islam era milenia perlu lebih berani membina jambatan antara kaum dan agama melalui siri-siri perbincangan agar kita mampu memahami dan menghormati antara satu sama lain. Prinsip agama perlu jitu namun pendekatan perlu segar. Memperkaya bahasa ibunda pelbagai etnik terbukti ampuh membina suasana yang mendamaikan, maka wajar digalakkan. Komunikasi yang efektif pada zaman media sosial yang kerapnya memecah-belah adalah terlalu penting, maka mendambakan kreativiti dan inovasi anak muda agar dapat mendominasi ruang yang ada dengan unsur-unsur yang menginspirasikan. Mempopularkan satu berita rasisme adalah satu kesilapan besar, kerana ia akan lebih mencederakan luka perselisihan faham antara kita. Pendidikan awam seperti ini, walaupun tidak formal, berkeupayaan membina masyarakat harmoni idaman bersama.
 
Sedarlah bahawa ketidaksepaduan antara kita, tidak mungkin hanya berpunca dari satu pihak semata-mata. Tangan jika hanya sebelah, tidak akan jadi tepuknya. Sempena Hari Malaysia kali ini, sematkan dalam hati bahawa kita mahu lebih komited menjadi anak watan yang hebat semangat patriotisme mereka. Kita adalah satu keluarga yang besar, kitalah Keluarga Malaysia.

Nukilan anak bangsa,

Dr Muhammad Fairuz Azmi
Kluster Kesihatan,
Jabatan Profesional Muda, JPro, DPPM
Sungai Buloh, Selangor
Penulis merupakan pemenang saguhati pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan anjuran JPro dengan tema #IniBenderaKita.

16 September 2021