BELANJAWAN 2027, MENILAI KEUTAMAAN, MENUNTUT KEBERHASILAN
Ringkasan
• Kerangka perbelanjaan meningkat 8.5% kepada RM510 bilion; belanja mengurus naik 11.4%, sedangkan pembangunan hanya meningkat 2.5%.
• Defisit fiskal disasar turun kepada 3.3% dan hutang kepada KDNK kepada 63.7%, namun konsolidasi mesti melindungi pertumbuhan dan perkhidmatan asas.
• Peruntukan STR dan SARA meningkat kepada RM16 bilion. Dalam hal ini, keberkesanan bantuan perlu diukur melalui kuasa beli sebenar isi rumah.
• Pengagihan pembangunan antara negeri memerlukan formula telus berasaskan keperluan, supaya jurang wilayah mengecil dan industri bernilai tinggi berkembang lebih seimbang.
• Reformasi tadbir urus perlu dibuktikan melalui pelaksanaan syor audit, ketelusan perolehan, pemantauan projek dan hasil perbelanjaan awam yang terukur.
Pendahuluan
Bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Belanjawan 2027 memperuntukkan sebanyak RM510 bilion dengan hasil Persekutuan dijangka meningkat sebanyak 4.7% kepada RM380.8 bilion. Pada masa sama, Kerajaan menyasarkan defisit fiskal menurun kepada 3.3%, manakala nisbah hutang kepada KDNK juga turun kepada 63.7%. Namun begitu, Belanjawan 2027 ini seharusnya dinilai berdasarkan keberhasilannya kepada rakyat serta keadilan dalam pembangunan negara, bukannya dari aspek angka semata-mata. Berikut adalah tujuh ulasan awal berkaitan Belanjawan 2027:
1. Disiplin fiskal perlu diterjemah kepada kualiti perbelanjaan yang lebih baik
Belanjawan 2027 memperlihatkan peningkatan keseluruhan kerangka perbelanjaan awam daripada RM470 bilion kepada RM510 bilion, iaitu kira-kira 8.5%. Namun, belanja mengurus meningkat daripada RM338.2 bilion kepada RM376.8 bilion, sekitar 11.4%, sedangkan belanja pembangunan hanya meningkat daripada RM81 bilion kepada RM83 bilion, bersamaan kira-kira 2.5%.
Perbezaan kadar pertumbuhan ini menunjukkan bahawa pertambahan perbelanjaan lebih tertumpu kepada belanja mengurus berbanding peluasan perbelanjaan pembangunan. Walaupun belanja mengurus turut membiayai perkhidmatan penting kepada rakyat, Kerajaan perlu memastikan peningkatannya menghasilkan kecekapan penyampaian yang lebih baik, dan dalam masa sama, peruntukan pembangunan kekal mencukupi untuk meningkatkan produktiviti dan kapasiti ekonomi negara.
2. Keseimbangan konsolidasi fiskal dengan keperluan pertumbuhan
Kerajaan menyasarkan defisit fiskal menurun daripada 3.6% berbanding KDNK negara pada tahun 2026 kepada 3.3% pada 2027, dengan sasaran 3.0% menjelang 2028. Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK pula diunjurkan menurun daripada 64.0% pada 2026 kepada 63.7% pada 2027.
Walaupun sasaran ini menunjukkan komitmen terhadap kemampanan fiskal, namun semakan sasaran defisit pada tahun 2026 daripada 3.5% kepada 3.6% akibat peningkatan subsidi bahan api turut memperlihatkan pendedahan kedudukan fiskal kepada kejutan luaran. Oleh itu, pencapaian sasaran 2027 bukan sahaja memerlukan kawalan perbelanjaan yang efektif, bahkan turut bergantung kepada ketahanan hasil dan keupayaan Kerajaan menguruskan risiko fiskal.
Selain itu, konsolidasi fiskal perlu dilaksanakan tanpa mengorbankan perkara utama seperti pelaburan yang produktif, penekanan kepada sektor penting seperti pendidikan dan kesihatan serta agenda perlindungan sosial. Kerajaan juga wajar memperincikan risiko yang boleh menjejaskan sasaran defisit dan hutang, termasuk perubahan harga tenaga serta pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah daripada jangkaan.
3. Penilaian bantuan rakyat berdasarkan pendapatan boleh guna sebenar
Dalam meneruskan usaha untuk melindungi golongan berpendapatan rendah daripada tekanan kos sara hidup, peruntukan STR dan SARA pada 2027 meningkat kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion pada 2026.
Walau bagaimanapun, peningkatan bantuan nominal tidak semestinya menghasilkan
peningkatan kuasa beli pada kadar yang sama. Kesan sebenar boleh dilihat dan bergantung kepada perubahan harga makanan, perumahan, pengangkutan, utiliti dan kos keperluan asas lain, selain perubahan pendapatan serta tanggungan isi rumah.
Justeru, keberkesanan bantuan sosial perlu dinilai melalui perubahan pendapatan boleh guna sebenar mengikut kumpulan pendapatan dan lokasi. Dalam jangka panjang, bantuan tunai perlu dilengkapi dan selari dengan dasar peningkatan produktiviti pekerja, penciptaan pekerjaan berkualiti dan pertumbuhan gaji sebenar supaya kesejahteraan rakyat tidak bergantung secara berterusan kepada bantuan Kerajaan semata-mata.
4. Kesan sebenar pelaburan kepada produktiviti dan pekerjaan yang lebih baik
Pelaburan yang diluluskan bagi separuh pertama bagi tahun 2026 berjumlah RM218.5 bilion, meningkat sebanyak 11.7% dengan penekanan di dalam sektor bernilai tinggi seperti sektor semikonduktor, pusat data, logistik dan ekonomi digital.
Perkembangan ini memberikan petunjuk positif terhadap prospek pelaburan negara. Namun, nilai pelaburan yang diluluskan sebenarnya tidak sama dengan pelaburan yang telah direalisasikan. Begitu juga, pertumbuhan pelaburan tidak semestinya menjamin peningkatan gaji, peningkatan peluang pekerjaan mahir atau nilai tambah domestik pada kadar yang sepadan.
Dalam hal ini, Kerajaan perlu memperkukuh pelaporan prestasi pelaburan berdasarkan
kadar realisasi projek, jumlah pekerjaan berkualiti yang diwujudkan, gaji median, pemindahan teknologi, produktiviti dan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai. Dengan kata lain, kejayaan Kerajaan menarik modal perlu diukur berdasarkan sejauh mana modal tersebut meningkatkan keupayaan ekonomi domestik secara menyeluruh dan bukan hanya bergantung kepada saiz pelaburan yang diumumkan.
5. Keberkesanan pulangan pelaburan GLIC, GLC dan syarikat MKD
Belanjawan 2027 turut menyenaraikan sebanyak RM25 bilion pelaburan daripada GLIC, RM11 bilion pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion pelaburan daripada badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). Secara keseluruhan, ketiga-tiga komponen tersebut berjumlah RM50.2 bilion, sedikit berkurang berbanding RM50.8 bilion pada 2026.
Dalam komponen ini, pelaburan GLIC menurun daripada RM30 bilion kepada RM25 bilion berbanding tahun ini, sedangkan pelaburan badan berkanun dan syarikat MKD meningkat daripada RM10.8 bilion kepada RM14.2 bilion. Perubahan ini menunjukkan bahawa komposisi pelaburan turut berubah, walaupun jumlah keseluruhannya hampir setara.
Untuk menilai keberkesanan penggunaan modal awam daripada ketiga-tiga entiti ini, Kerajaan seharusnya menjelaskan perubahan strategi permodalan tersebut dan memperincikan pelaburan mengikut entiti, sektor dan status pelaksanaan. Selain itu, prestasi GLIC, GLC dan syarikat MKD hendaklah dinilai berdasarkan pulangan kewangan, produktiviti, penciptaan pekerjaan, pembangunan vendor tempatan dan manfaat kepada rakyat.
6. Keadilan pengagihan pembangunan wilayah mengikut neraca sebenar
Kerajaan menegaskan di dalam Belanjawan 2027 bahawa keserataan bermaksud setiap negeri menerima peruntukan berdasarkan keperluan masing-masing. Namun, tiada perincian formula atau indikator yang digunakan untuk menentukan keutamaan pembangunan antara negeri. Dalam masa yang sama, Kerajaan mengumumkan kadar interim Pemberian Khas berjumlah RM1.5 bilion serta rundingan untuk memuktamadkan
formula tahunan yang adil dan mampan bagi Sabah dan Sarawak.
Ketidaksamaan pembahagian pembangunan terutama dari aspek kualiti pelaburan yang
diperuntukkan dilihat masih berterusan di dalam Belanjawan 2027. Negeri-negeri maju menerima projek pemangkin berteknologi tinggi, transit canggih dan hab industri baharu manakala negeri membangun masih tertumpu kepada projek utiliti asas, mitigasi banjir dan pelancongan.
Sebagai contoh yang lebih jelas, Belanjawan 2027 mengumumkan pembangunan Pulau Pinang sebagai pusat kewangan teknologi, Perak sebagai hab maritim dan automotif serta Selangor sebagai tumpuan pembangunan pusat data. Sebaliknya, pembangunan Terengganu lebih menonjolkan sektor ekopelancongan, walaupun negeri tersebut mempunyai potensi dalam sektor minyak dan gas, industri maritim, logistik serta tenaga.
Perbezaan keutamaan ini menimbulkan persoalan mengenai hala tuju pembangunan ekonomi Pantai Timur, khususnya Terengganu yang mempunyai kekuatan dalam sektor minyak dan gas, industri petrokimia serta maritim. Walaupun mempunyai aset strategik seperti Pelabuhan Kemaman, kawasan perindustrian Kerteh dan potensi jaringan ECRL, Belanjawan 2027 tidak memperincikan inisiatif baharu untuk mengintegrasikan kekuatan
tersebut sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi di wilayah ini.
Justeru, dalam hal ini, Kerajaan sewajarnya mengimbangi agihan pelaburan industri tinggi ke negeri-negeri membangun. Dana pelaburan strategik wajar diperluas ke negerinegeri ini bagi menarik industri bernilai tinggi sekaligus menyediakan pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengurangkan migrasi belia ke Pantai Barat.
7. Reformasi tadbir urus dibuktikan melalui pelaksanaan yang boleh diukur
Kerajaan sekali lagi menekankan disiplin fiskal, reformasi perolehan, peluasan skop audit dan usaha memperkukuh akauntabiliti pengurusan wang awam. Langkah ini sememangnya penting untuk meningkatkan keyakinan awam terhadap institusi serta mengurangkan risiko ketirisan dan pembaziran.
Namun, penggubalan undang-undang dan pengumuman reformasi hanya merupakan
asas kepada perubahan. Keberkesanan sebenar bergantung pada tahap pematuhan, ketelusan perolehan, tindakan terhadap penemuan audit, penyelesaian kelemahan projek serta keupayaan agensi menghasilkan outcome yang ditetapkan.
Dalam memastikan reformasi yang lebih berkesan, Kerajaan perlu menyediakan indikator prestasi yang membolehkan Parlimen menilai kemajuan reformasi, termasuk kadar pelaksanaan syor audit, penjimatan perolehan, tahap persaingan tender, status projek lewat atau terbengkalai dan pencapaian outcome program. Manakala akauntabiliti fiskal perlu dibuktikan melalui perubahan yang boleh disahkan, bukan
semata-mata kewujudan kerangka perundangan.
Penutup
Secara keseluruhannya, Belanjawan 2027 perlu dinilai bukan sekadar berdasarkan saiz peruntukan, sasaran pertumbuhan atau penurunan defisit fiskal. Namun ukuran sebenar adalah sejauh mana ia mampu membawa perubahan bermakna kepada kehidupan
rakyat dan struktur ekonomi negara secara keseluruhan. Negara tidak boleh terus menggapai langit dengan membiarkan akarnya di bumi semakin merapuh. Kemajuan yang hanya gah pada angka tetapi tidak dirasai oleh rakyat bukanlah kejayaan yang boleh dibangga-banggakan.
Infografik











Ditulis oleh
Asyraf bin Salleh
Kluster Ekonomi & Kewangan (JPro), DPPM
13 Oktober 2026