BYD Batal projek di Tanjung Malim - Apakah impaknya kepada ekosistem tempatan?
Baru-baru ini pengarah urusan BYD Malaysia, Jacob Ma mengumumkan telah membatalkan pembinaan kilang di Tanjung Malim. Namun begitu, BYD akan terus memberi komitmen melakukan pemasangan (CKD) dengan kerjasama rakan strategik daripada syarikat tempatan yang masih belum diumumkan secara rasmi di lokasi lain.
Untuk makluman, MITI telah menetapkan syarat yang agak ketat iaitu bermula 1 Julai 2026, MITI menguatkuasakan syarat untuk EV import (CBU), di mana EV CBU mestilah mempunyai nilai CIF (Cost, Insurance & Freight) minimum RM200,000 dan kuasa motor elektrik minimum 180 kW (245 PS), yang secara tidak langsung meletakkan harga EV CBU baharu di atas RM300,000.
Namun timbul persoalannya kini, apakah impaknya kepada ekosistem rakyat tempatan khususnya di Tanjung Malim?
Syarikat KLK Land, anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong berhad, yang bertanggungjawab membina sebuah hab perindustrian bersepadu seluas 1,500 ekar di Tanjung Malim telah pun melakukan operasi pembersihan tanah yang diberi laluan ‘fast track’ oleh kerajaan negeri Perak. BYD selaku pelabur utama kepada projek tersebut kini telah pun menarik balik pelaburan dan tempat tersebut telah pun menjadi ibarat ‘padang jarak padang tekukur’.
Pelaburan syarikat tersebut amat penting dalam melonjakkan pembangunan ekonomi tempatan dan memperkukuhkan ekosistem Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Perak. Dengan pembatalan projek tersebut, agak sukar untuk menarik kembali pelabur baru yang boleh menggantikan perancangan yang sedia ada.
ADUN Slim, YB Ustaz Muhammad Zulfadli Zainal pernah menyuarakan kebimbangan di dalam sidang DUN Perak mengenai status pelaburan syarikat gergasi daripada China tersebut. Beliau juga mempersoalkan sejauh mana keberkesanan halatuju dasar pelaburan yang digerakkan oleh kerajaan negeri Perak dalam memajukan sesebuah kawasan.
Hakikatnya, sudah pasti dengan pembatalan projek tersebut akan memberi impak negatif kepada rakyat sekitar dimana akan merencatkan ekonomi tempatan. Peluang pekerjaan yang dijanjikan akan tinggal janji kosong, bahkan ada pihak pemaju yang bercadang untuk membuka kawasan komersial dan perumahan baru juga turut terbantut. Pihak yang berkenaan perlu bertanggungjawab dan menilai kembali risiko yang dialami agar kejadian sebegini tidak akan berulang lagi.
Rujukan :
1. https://careta.my/article/kilang-tanjung-malim-batal-byd-cari-lokasi-baharu
2. https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2025/09/1445399/kilang-pengeluaran-byd-pemangkin-utama-klk-techpark-di-tanjung-malim
3. https://klktechpark.com.my/
4. https://paultan.org/bm/2026/05/06/miti-umum-peraturan-baru-ev-cbu-mula-1-julai/
Ditulis oleh
Faiz Razali
Ahli Kluster Kejuruteraan JPro, DPPM
14 September 2026