Jabatan Profesional Muda – JPro

CABARAN PERKEMBANGAN KERJAYA PASCA PANDEMIK COVID-19

Proses memilih dan meningkatkan kemahiran diri adalah suatu perjalanan yang berterusan untuk mengembangkan kerjaya dalam kehidupan seseorang individu. Ia melibatkan elemen pembelajaran, penyelesaian masalah dan kemahiran membuat keputusan agar lebih serasi dengan persekitaran kerjaya dan skop pekerjaan seseorang.
 
Walau bagaimanapun, dunia secara amnya telah terkesan dengan situasi pandemik COVID-19 yang memerlukan kepada pembawakan dan pengaplikasian cara hidup normal baharu. Secara tidak langsung, fenomena ini turut mengubah landskap dunia pekerjaan dan menuntut kepada peralihan kemahiran baharu dari para pekerja.
 
Beberapa kajian yang telah dijalankan oleh Randstad Malaysia bertajuk ‘The 2020 COVID-19 Labour Pulse Survey’ melibatkan 531 responden tempatan mendapati sebanyak 13% responden menyatakan kemahiran dan pengalaman mereka tidak lagi memenuhi dan menepati keperluan semasa kerja, manakala 15% responden menyatakan mereka telah diberhentikan kerja. Hasil kajian ini menunjukan keperluan untuk pemahiran semula “reskill” dan peningkatan kemahiran “upskill” yang bersesuaian dengan IR 4.0.
 
Pembangunan dan perkembangan modal insan yang berdaya saing serta berkemahiran tinggi menjadi elemen utama dalam memastikan pertumbuhan sosial, budaya dan ekonomi di sesebuah negara. Perkembagan modal insan yang produktif akan menatijahkan kebaikan dan keberhasilan dalam pelaksanaan tugasan yang diamanahkan. Jika kita melihat daripada perspektif Islam, modal insan adalah suatu keunggulan yang dimiliki oleh seseorang manusia. Ia memperlihatkan manusia dalam konteks yang menyeluruh dan kearah kesempurnaan diri. Sebagaimana tanggungjawab utama insan diutus adalah untuk tunduk dan patuh kepada Allah.
 
Seperti Firman Allah dalam surah al-Zariat ayat 56, yang bermaksud: 
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
 
Oleh hal yang demikian, masyarakat perlu menerima hakikat yang kita sudah hidup dalam normal baharu. Kesan daripada perubahan tersebut, pelbagai perkara yang melibatkan aktiviti kerja harian perlu berubah kepada penggunaan teknologi baharu yang memerlukan kemahiran yang berbeza dan cara kerja yang berbeza daripada sebelum situasi pandemik ini. Maka, para pekerja perlu meneruskan usaha untuk meningkatkan kemahiran diri dengan menghadiri pelbagai kelas dan siri latihan untuk kekal relevan dalam kerjaya yang diceburi.
 
Pasca COVID 19, terdapat banyak inisiatif perlaksanaan latihan secara dalam talian yang telah disediakan oleh pembekal latihan atau training provider di seluruh Malaysia. Ada pilihan program latihan yang berbayar dan juga percuma. Pelaksanaan program latihan yang pelbagai ini mampu memenuhi keperluan bagi memastikan pembangunan kerjaya tidak terganggu. Antara laman sesawang yang menawarkan program latihan adalah seperti berikut;
 
Cabaran hidup pasca COVID-19 ini sangat besar dan mampu mempengaruhi perkembangan kerjaya seseorang individu. Untuk terus kekal relevan, para pekerja perlulah mempersiapkan diri dengan kemahiran yang menjadi tuntutan industri semasa. Para pekerja juga perlulah mengambil inisiatif di luar waktu kerja untuk mempelajari kemahiran dan mendapatkan pengalaman yang boleh menjadi nilai tambah supaya lebih kompetitif.
 
 

Ditulis oleh

Ts. Agus Irawan bin Hasanudin
Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda, JPro
Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan JPro dan juga Seorang Jurutera di Sebuah Syarikat Perkhidmatan Penyelenggaraan Bangunan.

30 September 2021