Jabatan Profesional Muda – JPro

COVID-19: APAKAH KITA BERDEPAN KEHILANGAN?

Kehadirannya menggegar seantero dunia. Tanpa disangka, banyak negara lumpuh akibat penangannya. Berita kematian menjadi sisipan berita saban hari dengan angka yang semakin bertambah.

Ada anak yang kehilangan ibu ayahnya.
Ada petugas kesihatan yang berjuang mempertaruh nyawa.
Ada insan meratap hiba dek hilang mata pencarian.
Pemerintah mencari jalan mengatasi wabak penuh bahaya.
Ada ahli keluarga yang saling merindui dari kejauhan.

Sedar atau tidak, kita kini berada dalam salah satu sejarah besar dunia. Dalam situasi yang semakin menghimpit, wabak Covid-19 bertebaran merentap satu persatu apa yang kita ada, dari nikmat kesihatan, nyawa, punca pendapatan hinggalah kepada nilai keamanan.

Ya, realiti yang pasti, kita sedang melalui sebuah kehilangan!

……….

Seorang pakar psikiatri dari Swiss, Elisabeth Kubler Ross telah mengetengahkan satu model yang menerangkan tahap untuk seseorang yang berdepan dengan kehilangan dalam bukunya bertajuk “On death and dying”. Model ini dirangka hasil kajiannya terhadap pesakit-pesakit yang menghidapi penyakit yang tiada harapan sembuh serta menunggu ajal menjemput. Contoh mudah, bila seseorang didiagnos menghidapi kanser tahap akhir atau seseorang yang menerima berita kematian ahli keluarga terdekat.

Jadi dalam berdepan Covid-19 ni, apa yang kita perlu faham?

Kemarahan netizen.
Kebimbangan melampau.
Reaksi yang seolah tak mahu terima kenyataan.

Ada asas yang perlu difahami untuk kita mengawal emosi serta perlakuan reaktif terhadap sesuatu isu.

Memahami model “5 stages of grief” ini membawa kita memahami apa yang sedang dialami serta akan dialami masyarakat dalam berdepan wabak Covid-19.

1. Tahap 1: MENAFIKAN (Denial stage)

“Eh… Corona virus ni semua agenda untuk takut-takutkan kita. Sebenarnya tak ada apa pun. Relaks…”

“Ni selesema biasa. Alah, macam virus influenza, RSV tu. Tak payah risaulah!”

“Aku ni muda lagi, biasa Covid-19 kena kat orang-orang tua. So aku ni sihat je.”

Semasa tahap awal ini, kebiasaanya individu tersebut tidak dapat menerima hakikat realiti yang berlaku. Mereka menafikan situasi sebenar untuk mengelak, rasa tak yakin akibat takut dan terkejut.

2. Tahap 2: KEMARAHAN (Anger stage)

“Ni semua salah negara China. Kalau depa pi kuarantin rakyat depa awal-awal kan tak la tersebar satu dunia!!!”

“Ikutlah PKP ke tak PKP ke, aku dah bosan! Aku nak keluar lepak dengan kawan-kawan.”

“Ish yang pergi melancong waktu macam ni buat apa! Mencari penyakit betul.”

“Ha… Ingat kami ni teringin sangat ke pakai tudung brand tu, orang-orang kaya memang tak fikir nasib kita yang duduk bawah ni. Mentang-mentang dia golongan T20. Sedangkan kitalah yang beli tudung mahal-mahal sampai dia kaya tu!”

Perasan tak, kebelakangan ini, ada ketika isu kecil pun akan menjadi viral. Silap sedikit, semua akan menjadi bahan kutukan dan tempat melampiaskan marah. Pada tahap ini, hakikatnya, seseorang itu akan mudah marah untuk mengatasi perasaan takut mereka. Maka, mereka akan menjadi cepat marah, menyalahkan orang lain, mencari peluru untuk menembak sesiapa sahaja yang tersilap kata.

3. Tahap 3: MENGHARAP (Bargain stage)

“Semua ni akan berakhir dengan cepat. Kita akan sambut Raya sama-sama.”

“Boleh je nak jumpa orang asalkan semua basuh tangan dulu, kekalkan jarak selamat 1 meter.”

“Saya tau macam mana kalau orang tu sakit. Saya akan terus sihat asalkan saya kekal duduk dengan orang-orang sihat.”

Seseorang yang berada pada tahap ini sudah mula menerima kenyataan tetapi tak mahu terus berputus asa. Mereka mencari jalan dan cuba menenangkan diri dengan meyakini perkara yang tidak menyakitkan.

4. Tahap 4: PUTUS ASA, KEMURUNGAN (Despair, depression stage)

“Oh… Saya tak boleh kerja. Saya tak dapat duit. Nanti saya akan jadi miskin, tak dapat nak sara keluarga.”

“Epidemik ni memang luar biasa. Impian dan cita-cita saya musnah…”

“Saya ni dah tua, banyak risiko, saya akan mati keseorangan. Sampai masa, tak ada siapa pun dapat selamatkan saya.”

Semasa tahap ini, seseorang itu dapat menerima sepenuhnya hakikat yang sedang terjadi. Pada masa ini, mereka tak dapat menafikan takdir yang berlaku. Mereka pasrah dan dalam masa yang sama rasa putus asa menebal dalam diri.

5. Tahap 5: PENERIMAAN (Acceptance stage)

“Saya tak dapat berhentikan penyakit Covid-19 ni, tapi saya boleh buat dan bantu apa yang saya mampu. Saya boleh duduk dekat rumah macam yang diarahkan, saya kena basuh tangan selalu dan kena sentiasa postif!”

“Dunia akan berubah tapi yang pasti, semua ini akan berakhir. InshaAllah, akan ada hikmah atas apa yang berlaku.”

Pada peringkat ini, seseorang itu akan berhenti menafikan apa yang berlaku. Realiti dihadapi dengan positif dan mereka berusaha untuk berdepan matang.

……….

Ada orang yang melalui semua tahap. Ada yang melalui hanya 2 atau 3 tahap. Tempoh masa untuk berada dalam sesuatu tahap juga berbeza mengikut individu.

Memahami perkara ini akan membuatkan kita untuk lebih empati dan tidak terlalu reaktif dalam berdepan kehilangan atau berdepan orang lain yang sedang berdepan kehilangan.

Anda pula di tahap mana?

Semoga kita semua dikurniakan kekuatan serta pertolonganNya untuk menghadapi ujian ini. Sebagai hambaNya yang lemah, kepada Allah jualah kita berserah serta meminta pertolongan.

 

“(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan (musibah), mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
(Surah al-Baqarah: ayat 156)

 

Moga ada pelangi selepas hujan yang membasahi.

Ditulis oleh

Dr Nur Atikah
Kluster Kesihatan,
Jabatan Profesional Muda, JPro
Penulis merupakan pegawai perubatan yang sedang menyambung pengajian dalam kepakaran Psikiatri, juga turut bersama-sama staf kesihatan lain memerangi wabak Covid-19 terutamanya dalam aspek psikiatri serta psikologi. Penulis bercita-cita untuk bersama-sama berusaha menuju Malaysia Sejahtera.

12 April 2020