Skip to main content

Jabatan Profesional Muda – JPro

EKONOMI WILAYAH SG4: SUMBER YANG BELUM DITEROKAI SEPENUHNYA

Ringkasan
• SG4 memiliki potensi ekonomi yang saling melengkapi, dengan Kedah sebagai pengeluar utama padi negara, Kelantan berpotensi memperkukuh industri halal dan pertanian, Terengganu menerajui pembangunan sumber REE, ekonomi biru dan tenaga boleh baharu, manakala Perlis berperanan sebagai pintu perdagangan strategik ke Thailand.
 
• Dengan perdagangan Malaysia–Thailand mencecah RM118 bilion pada 2025 serta potensi pembangunan industri hiliran, SG4 berpeluang memperluas pasaran, menarik pelaburan dan mewujudkan pekerjaan berkualiti di samping berpeluang membangunkan ekosistem ekonomi serantau yang lebih bersepadu, berdaya saing dan bernilai tinggi.
 
• Namun, untuk merealisasikan potensi ini memerlukan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan-negeri, sinergi antara negeri SG4, penguasaan teknologi, pembangunan infrastruktur dan dasar yang bersepadu agar kekayaan sumber dapat diterjemahkan kepada kemakmuran rakyat.
 
Pendahuluan
 

Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sering dilihat melalui lensa politik sebagai sebahagian daripada Malay Belt. Namun, perspektif sedemikian tidak seharusnya membataskan penilaian terhadap potensi strategik gabungan empat negeri yang dikenali sebagai SG4. Di sebalik kedudukan politiknya, SG4 memiliki kelebihan ekonomi yang berpotensi menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara merangkumi kelestarian keterjaminan makanan, pembangunan sumber mineral strategik, peralihan kepada tenaga bersih, pengembangan ekonomi maritim serta pengukuhan akses kepada pasaran ASEAN.

Persoalannya, bagaimana kelebihan tersebut dapat digembleng secara terancang bagi membentuk ekosistem ekonomi serantau yang berdaya saing, menjana nilai tambah dan memberikan manfaat kepada rakyat?

Cabaran SG4 pada ketika ini ialah menghubungkan sumber, industri dan pasaran melalui strategi ekonomi serantau yang mampu meningkatkan produktiviti dan pendapatan rakyat seterusnya mengembangkan kuasa ekonomi wilayah secara lebih signifikan.

Lima peluang strategik SG4

Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa pada 2025, Kedah menyumbang 3.2% kepada KDNK negara, manakala Terengganu, Kelantan dan Perlis masing-masing menyumbang sebanyak 2.3%, 1.7% dan 0.4%. Secara keseluruhan, sumbangan empat negeri ini adalah sekitar 7.6% daripada KDNK Malaysia dan ia menunjukkan masih terdapat ruang yang sangat luas untuk gabungan ini terus memperkukuh aktiviti ekonomi bernilai tambah melalui beberapa inisiatif jangka sederhana dan panjang.

Pertama, unsur nadir bumi (REE).

Statistik terkini daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) merekodkan sekitar 10.88 juta tan metrik sumber teragak REE di wilayah SG4, bersamaan dengan 67.7% daripada jumlah nasional dengan anggaran nilai sebanyak RM548.4 bilion. Bagi sumber terukur pula, SG4 merangkumi 124,542 tan metrik atau 45.3% daripada jumlah di keseluruhan negara.

Potensi ini membuka ruang kepada pembangunan industri pemprosesan dan hiliran REE yang mampu meningkatkan nilai tambah, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh asas ekonomi negeri.

Namun, sumber mineral ini sudah pasti tidak sama dengan rizab yang telah disahkan sebagai produk berdaya maju untuk perlombongan komersial.

Untuk merealisasikan potensi tersebut, SG4 memerlukan hala tuju pembangunan yang jelas, penyelarasan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta penguasaan terhadap teknologi pemprosesan.

Keupayaan ini penting kerana teknologi pengasingan REE masih tertumpu pada sebilangan kecil pemain global, khususnya China.

Dalam masa yang sama, penggunaan REE dalam teknologi canggih dan peralatan pertahanan menjadikannya aset strategik yang berkait rapat dengan keselamatan ekonomi dan geopolitik.

Justeru, pendekatan SG4 tidak seharusnya terhenti pada aktiviti perlombongan semata-mata, bahkan tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan rantaian nilai, pemindahan teknologi dan kepakaran tempatan agar kekayaan sumber dapat diterjemah kepada manfaat ekonomi yang lebih besar untuk rakyat dan negara.

Kedua, keterjaminan makanan melalui pengukuhan pengeluaran dan nilai tambah.

Pada tahun 2024, negeri Kedah menghasilkan 777,021 tan padi, manakala Kelantan, Perlis dan Terengganu masing-masing merekodkan pengeluaran sebanyak 204,619 tan, 246,440 tan dan 51,870 tan. Secara keseluruhan, keempat-empat negeri ini menghasilkan kira-kira 1.28 juta tan padi, bersamaan 62.2% daripada jumlah pengeluaran padi Malaysia.

Angka ini membuktikan bahawa SG4 mempunyai kedudukan strategik dalam menyokong bekalan makanan negara, khususnya melalui sektor penanaman padi.

Walau bagaimanapun, kekuatan pengeluaran perlu disusuli dengan komitmen untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan rantaian bekalan.

Justeru, penggunaan mekanisasi moden, teknologi pertanian pintar, sistem pengairan cekap serta penambahbaikan kemudahan penyimpanan dan pengurusan lepas tuai dapat membantu sektor ini mengurangkan kehilangan hasil serta meningkatkan pulangan kepada petani.

Pada masa yang sama, pembangunan industri hiliran seperti pemprosesan beras, penghasilan produk berasaskan pertanian dan pembungkusan makanan berpotensi memperluas peluang perusahaan tempatan serta meningkatkan nilai ekonomi daripada hasil pertanian.

Keutamaan SG4 dalam jangka masa sederhana adalah membina 3 ekosistem pertanian yang lebih produktif, berdaya tahan dan bernilai tinggi agar manfaat ekonominya dapat dinikmati oleh petani, perusahaan tempatan dan pengguna, serta pada masa yang sama, mampu memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Ketiga, perdagangan rentas sempadan.

Jumlah perdagangan Malaysia–Thailand mencecah RM118 bilion pada 2025, termasuk eksport Malaysia ke Thailand sebanyak RM64.07 bilion. Angka ini memperlihatkan potensi pasaran yang besar untuk dimanfaatkan oleh SG4.

Jika kerjasama ekonomi rentas sempadan mampu diterjemahkan melalui Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), mengapa pendekatan yang serupa tidak diteroka dengan Thailand, khususnya melalui Perlis dan Kelantan?

Cadangan Perlis–Thailand Economic Zone (PTEZ) dan Kelantan–Thailand Economic Zone (KTEZ) wajar dikaji sebagai koridor ekonomi yang mengintegrasikan perdagangan, logistik, pergudangan, pemprosesan makanan dan industri halal.

Malah, Malaysia dan Thailand sendiri telah menyatakan komitmen untuk memperkukuh hubungan antara kawasan ekonomi sempadan, termasuk Chuping Valley dan Bukit Kayu Hitam di Malaysia dengan zon ekonomi di selatan Thailand, serta Pasir Mas Halal Park dengan kawasan Narathiwat.

Potensi ini mampu diperkukuh melalui jaringan pengangkutan yang lebih bersepadu, termasuk pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan bermula pada penghujung 2026, sekali gus meningkatkan hubungan Kelantan dengan Pantai Barat Semenanjung.

Dengan perancangan sambungan logistik yang cekap, zon ekonomi sempadan berpotensi melancarkan pergerakan barangan, menarik pelaburan, membuka peluang pekerjaan dan memperluas pasaran perusahaan tempatan. Pada masa yang sama, penyelarasan kastam, perkongsian maklumat serta penguatkuasaan bersama dapat membantu membendung aktiviti penyeludupan daripada terus berleluasa dan terus memperkukuh keselamatan sempadan.

Keempat, ekonomi biru.

Pada 2024, subsektor perikanan Malaysia menyumbang RM11.8 bilion kepada KDNK negara. Bagi SG4, khususnya Terengganu dan Kelantan, potensi ekonomi biru melangkaui daripada sekadar aktiviti perikanan. Bahkan ia turut merangkumi sektor akuakultur, pemprosesan makanan laut dan rantaian sejuk.

Selari dengan RMK-13 yang mengenal pasti Terengganu dan Kelantan sebagai negeri berpotensi membangunkan hab ekonomi biru, keutamaan perlu diberikan kepada pengukuhan rantaian nilai, penggunaan teknologi dan tarikan pelaburan.

Pada masa yang sama, pemeliharaan ekosistem marin perlu dijadikan asas pembangunan bagi memastikan kekayaan laut terus menjana pendapatan dan peluang pekerjaan secara mampan.

Selain itu, SG4 turut berpotensi meneroka sumber pertumbuhan baharu melalui pelancongan marin, industri pembinaan dan pembaikan kapal serta pembangunan karbon biru. Sebagai contoh, Terengganu menerima lebih 351,000 pengunjung ke Pulau 4 Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol pada 2025 yang merangkumi 64% daripada keseluruhan pengunjung di seluruh negara, menunjukkan nilai ekonomi yang boleh dijana daripada ekosistem marin yang terpelihara.

Sehubungan itu, kerjasama antara negeri dalam menarik pelaburan, membangunkan kepakaran tempatan dan memperkukuh infrastruktur maritim wajar dipertingkatkan agar ekonomi biru tidak hanya bergantung pada hasil laut semata-mata, bahkan turut berkembang sebagai ekosistem industri yang menjana pendapatan dan pekerjaan bernilai tinggi.

Kelima, tenaga solar.

Berdasarkan Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER), Malaysia mempunyai potensi tenaga solar fotovoltaik sebanyak 269 GW, merangkumi 210 GW pemasangan di tanah, 42 GW di atas bumbung dan 17 GW solar terapung.

Potensi ini turut disokong oleh pembangunan solar di wilayah SG4 di mana data suku pertama 2024 merekodkan kapasiti projek Large Scale Solar yang beroperasi adalah sebanyak 431.63 MW di Kedah, 83.996 MW di Perlis, 30 MW di Kelantan dan 206.99 MW di Terengganu.

Antara perkembangan lain termasuk projek LSS5 berkapasiti 127.59 MW di Pasir Mas, Kelantan serta potensi solar terapung di Tasik Kenyir, Terengganu yang berkapasiti 600MW.

Ini menunjukkan bahawa SG4 mempunyai potensi besar untuk memperluas penjanaan tenaga bersih, meningkatkan pelaburan serta mengukuhkan bekalan tenaga bagi menyokong aktiviti industri.

Namun, manfaat ekonomi tenaga solar tidak seharusnya diukur berdasarkan kapasiti penjanaan semata-mata. Pembangunan industri sokongan seperti pemasangan, penyelenggaraan, penyimpanan tenaga dan latihan teknikal berpotensi mewujudkan pekerjaan berkualiti serta menarik pelaburan hijau ke dalam negeri.

Oleh itu, SG4 perlu memperkukuh perancangan infrastruktur grid, daya maju projek dan kerjasama antara kerajaan negeri dengan sektor swasta agar peralihan tenaga bersih turut meningkatkan daya saing industri dan pendapatan rakyat.

Penutup

Kesimpulannya, wilayah SG4 sebenarnya memiliki kelebihan strategik dalam pelbagai sektor termasuk berkaitan sumber mineral kritikal, keterjaminan makanan, perdagangan rentas sempadan, ekonomi biru dan tenaga boleh baharu.
Namun, kekayaan sumber sahaja tidak menjamin kemakmuran secara langsung.

Penyelarasan dasar, penguasaan teknologi, pembangunan industri hiliran dan kerjasama antara negeri menjadi kunci untuk mentransformasikan potensi tersebut kepada nilai tambah, pelaburan berkualiti dan peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi serantau serta kesejahteraan rakyat.

-‐‐–‐————————
Senarai Rujukan
-‐‐–‐————————

· Bernama. (2026, April 27). Projek solar terapung jana hasil RM10 juta setahun bagi Terengganu.
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2549949 

· Cenergi SEA. (n.d.). 45 MW solar farm. https://www.cenergi-sea.com/ourprojects/45mw-solar-farm/

· Department of Statistics Malaysia. (2026, July 1). Gross domestic product (GDP) by state, 2025. https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/gross-domestic-productgdp-by-state-2025

· Jabatan Perangkaan Malaysia. (2026). Jadual 7.3: Pengeluaran padi mengikut negeri, Malaysia, 2019–2024. https://www.dosm.gov.my/uploads/releasecontent/file_20260903105212.pdf

· Jabatan Perikanan Malaysia. (2025, July 18). Sektor perikanan terus menyumbang kepadaekonomi dan sekuriti makanan negara. https://dmedia.penerangan.gov.my/upload/sm/18072025.196610870.pdf

· Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan. (2024). Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan mengenai pengurusan unsur nadir bumi (REE) di Malaysia. Parlimen Malaysia. https://www.parlimen.gov.my/cpsecure/resources/files/DR.33.2024%20-%20Pengurusan%20Unsur%20Nadir%20Bumi%20di%20Malaysia.pdf

· Kerajaan Negeri Kedah. (2025, March 23). PKNK dan SRM Utama Selambau meterai perjanjian pembangunan loji tenaga solar berskala besar. https://www.kedah.gov.my/index.php/2025/03/23/pknk-dan-srm-utama-selambaumeterai-perjanjian-pembangunan-loji-tenaga-solar-berskala-besar/

· Kementerian Kewangan Malaysia. (n.d.). Malaysia steps up eVorts to achieve US$30 billion trade target with Thailand. https://www.mof.gov.my/portal/en/news/presscitations/malaysia-steps-up-ehorts-to-achieve-us-30-billion-trade-target-with-thailand

· Kementerian Luar Negeri Malaysia. (2024, December 16). Joint press statement: The 7th annual consultation between the Prime Minister of Malaysia and the Prime Minister of Thailand.

https://www.kln.gov.my/web/guest/speeches-statements/-/asset_publisher/statement/content/joint-press-statement-the-7th-annualconsultation-between-the-prime-minister-of-malaysia-and-the-prime-minister-ofthailand-16-december-2024

· Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia. (2026). Trade performance for year 2025. https://www.miti.gov.my/miti/resources/Media%20Release/Press_Release_Trade_Performance_2025.pdf

· Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. (2026). Majlis pelancaran Projek Solar Berskala Besar (LSS5) di Pasir Mas, Kelantan. https://www.petra.gov.my/v2/latestnewsdetails?id=Majlis+Pelancaran+Projek+Solar+Berskala+Besar+%28LSS5%29+Di+Pasir+Mas%2C+Kelantan

· Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. (2026). Jawapan bertulis Dewan Rakyat,Soalan No. 170: Statistik sumber unsur nadir bumi (REE) mengikut negeri [Jawapan bertulis]. [Masukkan pautan terus kepada dokumen asal yang dirujuk.]

· Mamat, H. (n.d.). Ekonomi biru Terengganu: Daripada potensi kepada nilai ekonomi. Terengganu Darul Iman. https://www.trdi.my/ekonomi-biru-terengganu-daripadapotensi-kepada-nilai-ekonomi

· Ministry of Trade and Industry Singapore. (2025, January 8). Agreement between Singapore and Malaysia and the Johor–Singapore Special Economic Zone. Singapore Economic Development Board. https://www.edb.gov.sg/en/about-edb/media-releasespublications/agreement-between-singapore-and-malaysia-and-the-johor-singaporespecial-economic-zone.html

· Reuters. (2025, August 28). Malaysia says China is ready to provide assistance in rare earths processing. MarketScreener. https://www.marketscreener.com/news/malaysiasays-china-is-ready-to-provide-assistance-in-rare-earths-processingce7c50dfd880f224

· Reuters. (2025, October 1). China, Malaysia in talks for rare earths refinery project, sources say. Investing.com. https://www.investing.com/news/stock-marketnews/exclusivechina-malaysia-in-talks-for-rare-earths-refinery-project-sources-say4267665

· Singapore Economic Development Board. (n.d.). Johor–Singapore Special Economic Zone. https://www.edb.gov.sg/en/johor-singapore-special-economic-zone.html

· Suruhanjaya Tenaga. (2024). Large Scale Solar (LSS) progress by region: Q1 2024. https://www.st.gov.my/contents/2024/LSS%20Region/LSS%20Progress%20By%20Region%20%28Q1%202024%29.pdf

· Sustainable Energy Development Authority Malaysia. (2021). Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER): Pathway towards low carbon energy system. https://www.seda.gov.my/reportal/wp-content/uploads/2022/03/MyRER_webVer3.pdf

Ditulis oleh

Asyraf bin Salleh

Kluster Ekonomi & Kewangan (JPro), DPPM

6 November 2026