Jabatan Profesional Muda – JPro

GEG 'DIKUBURKAN' BERSAMA MASA HADAPAN KESIHATAN NEGARA

RUU ‘Generational Endgame’ (GEG) yang dirangka khusus untuk mewujudkan generasi sifar perokok dalam kalangan warganegara Malaysia akhirnya menemui ajal.

Kini, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam proses membentangkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 nama rasmi bagi RUU yang beperanan mengawal selia produk berkaitan tembakau.

Apa beza RUU GEG yang dibawa pada zaman Khairy Jamaluddin dengan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibawa YBM Dr Zaliha?

RUU kali ini adalah lebih kurang sama sahaja dengan cadangan RUU GEG sebelum ini. Tetapi, RUU terkini yang dibawa oleh Dr Zaliha telah menggugurkan teras paling penting GEG yang disifatkan sebagai revolusi besar untuk kesihatan negara.

Pengguguran tersebut adalah berkenaan larangan penjualan produk tembakau, bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

RUU terkini hanya berperanan menguatkuasakan larangan merokok dan menggunakan produk tembakau dikenakan kepada bagi orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun. Tidak ada lagi peruntukan khusus menghalang individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya untuk mendapatkan produk tembakau.

Kesan yang diharapkan daripada cadangan asal peruntukan GEG adalah, negara akan beransur-ansur kehilangan pengguna rokok dan rokok elektronik seperti vape apabila generasi muda negara yang lahir 2007 dan ke atas akan dilarang daripada mendapatkan sebarang produk berkaitan tembakau.

Dalam masa itu, tempoh peralihan diwujudkan bagi memberikan ruang kepada pengusaha industri tembakau beralih ke industri lain apabila jumlah pengguna produk tembakau yang ‘halal’ di sisi undang-undang semakin berkurangan.

Setelah berdolak dalih dan cubaan melengahkan pembentangan RUU GEG, segala kerisauan rakyat khususnya pengamal perubatan kesihatan telah terjawab apabila Kementerian Kesihatan Malaysia dibawah kepimpinan YBM Dr Zaliha Mustafa akhirnya mengambil keputusan menggugurkan peruntukan berkenaan perkara tersebut dalam RUU yang dibentangkan kali ini.

Jika diperhatikan lebih mendalam, terdapat 3 lagi isu lain yang patut menjadi perhatian kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin.

(1) ‘Floodgate’ berkenaan pembelian vape dalam kalangan kanak-kanak telah terjadi.

Menteri telah mengambil keputusan untuk menangguhkan pembentangan untuk bacaan GEG dalam Parlimen atas sebab menunggu kajian agar RUU lebih komprehensif dapat dibentangkan.

Akan tetapi, belum siap kajian dan kelulusan RUU baharu, YBM Menteri telah bertindak mengecualikan cecair nikotin daripada senarai Akta Racun 1952. Tindakan ini penting kononnya segala kawal selia berkenaan cecair nikotin akan diletakkan bawah RUU GEG yang lebih komprehensif. Antaranya termasuklah untuk mencukaikan cecair nikotin ini.

Gara-gara tindakan ‘gelojoh’ ini, cecair vape yang mengandungi nikotin telah dibeli secara berleluasa termasuklah oleh kanak-kanak.

Hal ini demikian kerana, sudah tiada satu pun undang-undang yang menyelia cecair nikotin yang kebiasaanya menjadi bahan utama perisa vape.

Sekarang, setelah kerosakan dibuka beberapa bulan, RUU kawalan produk tembakau ini baru hendak dibentangkan untuk dibaca buat kali kedua di Dewan Rakyat. Sementara RUU ini dibentangkan, ribuan kanak-kanak Malaysia telah terdedah dengan ancaman yang merosakkan kesihatan tubuh badan mereka.

(2) Kerajaan Tunduk Pada Industri Tembakau.

Antara perkara yang dibimbangi pengamal perubatan dan kesihatan awam adalah potensi besar industri vape dalam negara. Apabila perkara ini melibatkan wang dan hasil kepada ekonomi,maka sudah pasti kumpulan pelobi industri akan sedaya upaya memastikan rancangan kerajaan yang merugikan industri vape digagalkan.

Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) melaporkan pada Ogos 2023, nilai runcit industri ini telah meningkat sebanyak 53% bersamaan RM3.48 bilion berbanding RM2.27 bilion pada 2019. Dengan nilai yang sebegitu besar,sudah pasti lobi yang hebat disusun untuk menggagalkan GEG. Lihatlah potensi masa hadapan vape. Tidak wajar RUU GEG yang bakal mengharamkan rokok dan vape diluluskan!

Mantan menteri Kesihatan Malaysia sendiri,Khairy Jamaluddin telah mendakwa terdapat usaha melobi oleh industri tembakau dalam isu ini. Sebagai bekas menteri yang menjadi pelopor pada usaha ini, dakwaan Khairy Jamaluddin sudah tentu ada kesahihannya.

Sebab itu pada zaman Khairy Jamaluddin juga, usaha membentangkan GEG ini juga mendapat tentangan daripada industri tembakau.Namun atas azam politik yang kuat serta tidak tunduk pada desakan kapitalis, RUU ini tetap diteruskan pada pemerintahan lepas.

(3) Komunikasi Yang Mengecewakan.

Menteri KKM membayangkan bahawa RUU GEG yang dibawa kerajaan sebelum ini perlu disemak dan ditambah baik dengan RUU yang lebih ‘baik’ dan ‘komprehensif’.

Alasan penangguhan ini seolah-olah mengecilkan peranan ribuan petugas kesihatan baik yang terlibat di lapangan mahupun ahli akademik yang terlibat secara aktif dalam merangka usaha GEG ini.

Usaha melengkapkan deraf RUU ini telah melalui proses yang begitu teliti dan panjang. Pemegang taruh yang berkaitan juga telah dilibatkan bagi mewujudkan suasana seimbang.

Berbulan lamanya pembentangan ini ditangguhkan kononnya atas ‘kajian’. Walhal pelobi industri tembakau sedang giat menjalankan kerja mereka.

Akhirnya, alasan nombor satu yang menjadi penyebab teras GEG digugurkan adalah mendapat nasihat Peguam Negara, bahawa peruntukan di bawah RUU GEG yang asal adalah bercanggah dengan Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan kerana ia mewujudkan layanan undang-undang tidak sama rata antara seseorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan individu yang dilahirkan pada dan selepas tarikh sama.

Sesungguhnya alasan ini adalah tidak cukup kuat jika hendak dibandingkan dengan beban kesihatan awam yang bakal ditanggung negara serta implikasi negatif yang dibawa oleh bahan tembakau terhadap kesihatan tubuh badan manusia.

Bahkan alasan yang dijadikan sandaran utama YBM Menteri juga bertentangan dengan hasil rumusan Jawatankuasa Pilihan Khas berkenaan RUU GEG pada 2022 yang telah merumuskan bahawa RUU GEG ini tidak bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak samarata dan juga Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berkenaan kebebasan diri.

Bagaimana mungkin jawapan yang berbeza berkenaan tafsiran undang-undang terhadap RUU GEG boleh dihasilkan? Ini adalah satu lagi perkara yang tidak dijelaskan dengan baik oleh pihak YB Menteri.

Ternyata RUU GEG ini bukanlah gagal untuk dibentangkan. Namun hakikatnya telah ‘digagalkan’ untuk dibentang selaras dengan kehendak asal ia dirangka.

Ya kita bersyukur akhirnya terdapat kawalan terhadap rokok elektronik dan vape. Namun kita tidak boleh menafikan, negara telah terlepas ruang besar untuk menyelamatkan generasi muda negara ini daripada asap rokok dan vape yang nyata merosakkan kesihatan.

Baik usahawan kapitalis industri vape, mahupun politikus yang lemah. Semua mempunyai saham besar dalam menggagalkan usaha murni ini.

Akhirnya yang menanggung akibat adalah sistem kesihatan negara dan juga negara kita sendiri apabila gejala rokok kekal berada pada takuk lama tanpa sebarang pembasmian serius.

Rujukan:

1. https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2023/11/1182656/peruntukan-berkaitan-geg-digugurkan-daripada-ruu-berkaitan-produk

2. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/11/1035070/kj-dakwa-ruu-geg-gagal-akibat-industri-tembakau-vape-kuat-melobi

3. https://www.bharian.com.my/amp/bisnes/lain-lain/2023/08/1142012/nilai-runcit-industri-vape-malaysia-meningkat-kepada-rm348-bilion

4.https://papisma.org/index/2023/11/28/controversial-decision-sparks-outcry-malaysias-generational-end-game-geg-dropped-from-control-of-smoking-products-for-public-health-bill-2023/

5. PENYATA JAWATANKUASA PILIHAN KHAS JAWATANKUASA PILIHAN KHAS MENIMBANG RANG UNDANG-UNDANG KAWALAN PRODUK TEMBAKAU DAN MEROKOK 2022.

Ditulis oleh

Uthman Che Aziz
Kluster Kesihatan
Jabatan Profesional Muda, DPPM

3 Disember 2023