Jabatan Profesional Muda – JPro

GRADUAN PERUBATAN HARAKI: TIPS ISTIQAMAH

“How long should we keep waiting?”

Keluhan seperti ini bukan sekali saya dengar dan baca, bahkan sudah juling mata mahu membaca updates dari teman- teman seperjuangan lewat group aplikasi Whatsapp dalam telefon bimbit.

Musim ini adalah waktu di mana penunggu setia panggilan Housemanship (HO) tidak jemu-jemu membuat panggilan telefon secara individu ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ada juga yang menelefon Suruhanjaya Perkhimatan Awam (SPA), tidak kurang yang sudah menapak ke kompleks kerajaan Putrajaya; bertemu muka pegawai yang bertanggungjawab terhadap kemasukan HO.
Rata- ratanya, kecewa juga yang diketemukan.

Tulisan ini saya karang khusus buat bakal graduan perubatan khususnya atau mana- mana bakal graduan yang mungkin menjalani proses kemasukan latihan siswazah yang sama seperti kami.

Cukup- cukuplah mukmin cemerlang perlu kecewa dan asyik jatuh berkali- kali dalam lubang yang sama kedalamannya dengan mukmin yang lain. Ya, benar, para junior yang mungkin sedang sibuk berhempas – pulas dalam peperiksaan akhir tidak perlu merasai tekanan perasaan yang sama seperti yang digembar- gemburkan.

Kalau Tidak Merungut, Mahu Berbuat Apa Lagi?

Sebenarnya, hal ini boleh diuruskan dengan baik di setiap peringkat. Apapun, penulisan ini saya catatkan buat pedoman pada peringkat individu, tidak berminat mahu menyentuh pengurusan peringkat berautoriti yang lain.

Anda tidak perlu ternanti-nanti dengan resah sebagaimana diceritakan di atas. Bertenang, urus serta rancanglah tempoh menunggu untuk kira- kira setahun jangka masa selepas graduasi atau selepas tamat peperiksaan akhir.

(Ambil perhatian bahawa ini adalah tempoh maksimum kebiasaan panggilan. Anda perlu bersedia sekiranya polisi KKM bertukar, entah- entah seawal dua bulan menunggu, boleh jadi anda akan dipanggil.)

Perancangan hidup yang saya maksudkan di sini mencakupi semua aspek masa hadapan. Ingat, bahawa ini sahaja masa yang anda punya untuk merancang. Anda gagal merancang sekarang, punahlah masa hadapan anda.

Masa paling optimum untuk merancang adalah sebulan selepas selesai semua urusan graduasi, tamat peperiksaan, pemindahan kargo dan barang- barang sekiranya anda belajar jauh dari tanah air. Ambil masa untuk sesuaikan diri bergelar graduan, bertenang berehat di rumah ibu bapa setelah bertahun- tahun jauh daripada mereka, bertemu sanak saudara dan sebagainya. Jangan terlalu lama, nanti tenggelam lalu binasa.

Saya teringat seorang sahabat yang selalu saya kagumi. Perancangan masa depannya sudah bermula sebelum kaki menjejak bumi Malaysia. Usai pesawat mendarat di Sepang, dia bermonolog sendirian namun jelas pada pendengaran saya; “Bismillah, touched down. Step 3 now begin.” Saya angkat kening, betul- betul tidak faham. Hanya selepas itulah, baru dia menjelaskan. Terdiam juga saya pada waktu itu. Begitu cermat beliau merangka hidupnya.

 

Bagaimana Mahu Mulakan?

Baik, mulakan dengan melakar empat pecahan utama pada kertas lakaran masa hadapan.
Yang pertama; perancangan haraki.
Yang kedua; perancangan kewangan.
Yang ketiga; perancangan persediaan kerjaya atau lebih tepat menjadi HO.

Yang keempat; hal-hal lain. Pecahan hal-hal lain ini bergantung kepada individu. Boleh jadi hal keluarga seperti perancangan ziarah saudara, taulan, guru- guru, atau tarikh nikah, tarikh bersedia melahirkan dan sebagainya.

Dalam kesemua pecahan, sentiasalah perbaharui niat dan matlamat. Jangan terpesong di awal- awal pergerakan. Minta petunjuk Allah agar dipelihara daripada tempoh tekanan dan kelalaian masa.

 

Anak Gerakan Istiqamah

Jadi pada pecahan pertama; perancangan haraki, perkara pertama yang anda perlu lakukan ialah melapor diri di kawasan anda bakal bergerak dalam tempoh setahun ini. Pastikan sekurang- kurangnya ketua pemuda atau ketua muslimat kawasan menyedari ada seorang lagi anak muda tempatan sudah pulang ke gagang. Jangan bertangguh- tangguh. Bimbang Allah tangguhkan langsung langkah kita dengan ujian yang lebih besar.

Kemudian, pada pecahan pertama ini juga, mulalah dengan usrah. Jangan lupa bahawa usrahlah jantung gerakan. Anak gerakan yang meninggalkan usrah, lebih mudah dilekakan syaitan dengan pemikiran asing entah apa- apa. Dalam usrahlah komitmen anda dinilai. Bersua mukalah dengan penggerak tempatan. Sekiranya anda berasa kekok dengan penggerak yang rata- ratanya sudah berumur 40-an, anda boleh mulakan dengan menghubungi pemuda- pemudi sebaya, kalau- kalau ada usrah anak muda, itu bonus!

Daripada usrah, selalunya makluman program akan tiba. Anda akan mendapati program gerakan di padang sebenar begitu banyak dan rancak sekali, tidak seperti di zaman kampus yang sudah ditinggalkan. Jangan cuba-cuba ponteng dan lari. Bertenang, kalau tidak mampu menghadiri semua program, jangan pula tinggal semuanya. Dapatkan nasihat pimpinan berkenaan jenis program yang anda perlu utamakan.

Mulakan dengan menjadi peserta. Cari dan sesuaikan rentak sebaiknya. Lama- kelamaan selepas sudah biasa, anda akan mendapati bahawa untuk ditaklifkan atau diamanahkan untuk satu-satu jawatan dalam program bukan lagi hal yang sukar dan sulit. Anda mampu, dengan berbekalkan fikrah dan semangat yang betul.

Seterusnya, dalam sebilangan program, terdapat juga program yang memerlukan khidmat paramedik ataupun sukarelawan kesihatan. Jangan malu- malu mencuba. Luaskan jaringan, dapatkan bantuan daripada kawan- kawan segenerasi yang lapang atau senior yang bergelar HO sekiranya mereka sedang bercuti. Jangan lupa untuk dapatkan bantuan daripada mana- mana NGO kesihatan atau perubatan yang sangat komited membantu seperti Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan lain- lain.

Nah, langkah – langkah ini adalah yang asas. Terpulang kepada anda untuk menvariasikannya mengikut kemampuan.

 

Kayuh sambil Bertimba ke Hilir

Seterusnya bagi pecahan kedua; perancangan kewangan. Graduan perubatan kebiasaannya akan menyedari perihal usia mereka yang agak lewat memulakan kerjaya. Boleh jadi hal inilah yang menjadi faktor kebimbangan berterusan apabila tidak dipanggil-panggil dalam latihan siswazah HO.

Jangan bimbang, rancang sebaiknya pekerjaan sementara yang anda cenderung ke atasnya. Senaraikan, cari peluang pekerjaan dari mana-mana medium, kemudian pilihlah dengan baik bersesuaian dengan masa dan kemampuan anda. Jangan pula tidak memilih langsung. Anda bukan lagi anak remaja di bangku universiti yang akan disuap Ringgit Malaysia oleh biasiswa dan ibu bapa. Cukup- cukuplah, biarkan zaman itu berlalu. Ekonomi tanah air hari ini tidak memungkinkan anda bersenang-lenang.

Jenis pekerjaan dapat saya bahagikan kepada dua. Anda boleh memilih untuk mencari pekerjaan berkait dengan bidang kesihatan, supaya anda dapat mengekalkan motivasi dan ruang mengulang kaji secara sambilan. Peluang ini banyak.

Bukan sedikit klinik swasta yang mencari pembantu klinik sementara. Sekurang- kurangnya anda dapat berhadapan dengan proses dispensari ubat. Nah, ulangkajilah subjek pharmacology yang berzaman-zaman ditinggalkan itu! Jika berpeluang, dapat juga anda lakukan prosedur- prosedur mudah seperti suntikan imunisasi, pengambilan darah, pemeriksaan kesihatan asas mahupun dressing luka.

Selain pembantu klinik, terdapat juga pakar perubatan yang memerlukan khimat pembantu dalam kajian/ penyelidikan mereka (Research Assistant). Anda akan mendapat peluang pendedahan kajian pakar secara langsung. Pengalaman tambahan seperti pendedahan klinikal juga mungkin boleh diperolehi. Bukankah beruntung, sudahlah dapat mencedok pengalaman daripada yang pakar, elaun turut diberikan sewajarnya.

 

Apakah Gunanya Kemenyan Disimpan Sebesar Tungku, Kalau Tidak Dibakar

Bagi yang berminat untuk mendapatkan pengalaman bekerja luar daripada skop perubatan, tidak ada salahnya. Seribu satu pengalaman akan anda perolehi lebih-lebih lagi kemahiran bersosial dalam komuniti. Bermacam- macam kelebihan yang akan anda perolehi daripada kemahiran ini terutamanya dalam aspek dakwah.

Antara bidang yang boleh anda ceburi adalah seperti pendidikan. Ramai juga sahabat yang menjadi guru sementara sekolah, guru tadika PASTI, warden sementara di asrama sekolah, guru mengaji al-Quran tetap dalam beberapa tempoh, home tutor dan sebagainya. Anda juga tahu, berkongsi ilmu itu sedeqah yang berpanjangan, buat bekalan sampai hari pengadilan.

Banyak lagi bidang kerjaya yang anda boleh ceburi. Tidak termampu saya senaraikan semua, anda tahu apa yang anda boleh lakukan untuk masa depan anda.

Walau bagaimanapun, satu hal yang perlu anda sematkan dalam nubari; walau apa jua pekerjaan sementara yang anda ceburi, jangan biarkan diri hanyut dek keletihan kerjaya.

Cari ruang dan kesempatan untuk terus menumpahkan sumbangan kepada parti. Sebagaimana sudah saya tulis dari awal, usrah sekurang- kurangnya merupakan aktiviti terakhir yang anda fikir untuk terpaksa tinggalkan sekiranya bertindih dengan jadual waktu kerja yang mungkin tidak menentu.

 

Isi Dada Bekal Berjalan

Turut berada dalam pecahan kedua ini, adalah kursus jangka masa pendek yang dianjurkan oleh kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana Syarikat Berkaitan/Milik Kerajaan (GLC) untuk para graduan dengan had umur tertentu (kebiasaannya tidak melebihi 28 tahun). Sementara masih dalam had umur, tiada salahnya mencuba.

Kursus ini percuma, malah anda dibayar elaun! Anda hanya perlu teliti dalam merancang kemudian pantas dalam bertindak untuk mendapatkan maklumat berkenaan kursus- kursus ini. Era smart phone di setiap genggaman anak muda hari ini, tiada alasan untuk anda kekal di bawah tempurung ciptaan anda sendiri.

Kursus yang ditawarkan juga sangat bermanfaat; mengikut penganjur. Ada kursus berkenaan komunikasi, persediaan temuduga, keselamatan makanan dan lain-lain. Tambahkan sebanyak mungkin nilai dalam diri anda.

Graduan perubatan khususnya perlu tahu, sijil ijazah sarjana muda perubatan, pembedahan, Obstetrik, Ginekologi atau apa-apa yang tertera dalam ijazah mungkin bernilai hari ini untuk menempatkan diri sebagai doktor pelatih, namun di masa hadapan, banyak hal yang mungkin berubah, antara contohnya lewat beberapa tahun ini; berkenaan doktor kontrak dalam sektor kerajaan. Anda perlu bersedia untuk kekal kompeten dengan pelbagai kemahiran.

 

Sesal Dahulu Pendapatan

Kita beralih kepada pecahan ketiga; perancangan persediaan kerjaya yang bermula dengan HO. Ijazah yang anda miliki ini bukan murah harganya. Ya, setiap bidang punya cabaran tersendiri, namun untuk menamatkan enam hingga tujuh tahun tempoh kursus perubatan ini, penuntutnya sendiri tahu apa yang telah dikorbankan. Apa yang saya cuba untuk sampaikan ialah; binalah sebanyak mungkin kekuatan diri sebelum menempuhi fasa HO yang serba mencabar.

Jika anda punya haluan sendiri pun selain menjadi pegawai perubatan, lebih banyak untungnya anda tamatkan dua tahun sebagai doktor pelatih dan beberapa tahun kemudian sebagai doktor yang terlatih. Tamatkan apa yang telah anda mulakan dengan cara yang baik. Jangan bermudah-mudah untuk berputus asa di tengah jalan gara-gara kurang persediaan.

Ya, bercakap memang mudah. Jadi, jangan bercakap saja. Berbuatlah sesuatu yang besar sebelum melangkah ke pintu hospital. Tempoh enam bulan hingga setahun selepas graduasi cukup untuk membiarkan semua ilmu dalam dada berkarat.

Mulakan dengan meletakkan target mingguan untuk ada ulang kaji pelajaran. Bidang perubatan adalah antara cabang ilmu yang semua teorinya perlu difahami dan diingat sepadunya untuk diaplikasikan dalam praktikal. Rata-rata kes yang akan dijumpai di hospital adalah apa yang anda pernah jumpa dalam helaian nota dan buku rujukan.

Menyedari bahawa mengulangkaji teori sahaja tidak mencukupi, anda perlulah mencari inisiatif untuk turun ke medan latihan perlahan-lahan. Terdapat banyak cara yang anda boleh fikirkan.

Terdahulu seperti yang saya tuliskan, kerjaya berkaitan perubatan seperti pembantu klinik dan pembantu kajian/ penyelidikan sedikit sebanyak membantu anda mendapatkan gambaran prosedur klinikal. Atau sekurang- kurangnya, pekerjaan ini menuntut anda untuk kekal bermotivasi untuk mengulang kaji subjek yang berkaitan yang ditemukan sewaktu bekerja.

 

Lulus Jarum, Lulus Kelindan

Anda juga boleh mencuba nasib, memohon untuk melakukan hospital attachment (shadow housemanship) daripada pentadbir hospital. Hantarlah surat permohonan dan tunggu maklum balas. Proses ini mungkin memakan masa dan ada kemungkinan untuk ditolak kerana hospital attachment atau lebih dikenali sebagai elective posting dibenarkan hanya untuk pelajar perubatan sahaja, bukanlah graduan perubatan.

Langkah lain yang kerap diambil juga adalah dengan menyertai NGO dalam aktiviti kemasyarakatan. Anda akan mahir asas pemeriksaan kesihatan jika anda komited dengan aktiviti sebegini. Aktiviti ini juga tidak terbatas dalam program anjuran NGO sahaja kerana program parti juga selalu memerlukan khidmat anda. Hal ini sudah saya jelaskan dalam awal penulisan.

Untuk menambahkan lagi pilihan anda, terdapat banyak juga kumpulan pegawai perubatan yang sentiasa bersedia melatih bakal-bakal HO sebelum terjun ke hospital. Kursus- kursus persediaan HO yang dijalankan cukup meliputi semua perkara yang anda perlu faqihi terutamanya berkenaan kemahiran clerking (mengambil sejarah pesakit), membaca electrocardiograf (ECG) dan sebagainya. Di sini jugalah tempatnya untuk anda kekal bermotivasi untuk terus membina kemahiran diri dan mengekalkan momentum sebelum menempuhi latihan HO.

 

Di Celah- celah Masa, Ada Oh Masa

Tamat ketiga-ketiga pecahan utama. Memasuki pecahan perancangan keempat, hal-hal lain ini bukanlah tidak penting, tetapi anda sendiri perlu bijak menyusun prioriti untuk menyempatkan agenda pecahan keempat ini ke dalam jadual lengkap anda (selepas selesai menyusun tiga pecahan sebelumnya).

Tambahan pula, lain orang lain pula komitmen peribadinya. Bagi yang sudah berkeluarga, masa untuk keluarga perlu dioptimum sebaiknya supaya keluarga tidak menjadi alasan dalam perjuangan.

Bagi yang belum berkeluarga, anda perlu lebih fleksibel dan kreatif dalam menyusun jadual dan perancangan anda.

Jadi, tanyalah diri anda, benarkah begitu banyak masa yang anda punyai selepas bergelar graduan? Adakah benar bermanfaat umur anda selepas bergelar graduan. 

Ditulis oleh

TEJA SHUHADA
Kluster Kesihatan,
Jabatan Profesional Muda, JPro
Penulis merupakan seorang graduan perubatan dari sebuah fakulti perubatan di Timur Tengah. Beliau mengidamkan negara sejahtera yang bertonggakkan pemuda- pemudi teguh profesionnya serta faham fungsi masing- masing.

24 Jun 2020