GST vs SST di Malaysia: Cukai Mana Sebenarnya Membebankan Anda, dan Mana Lebih Baik untuk Negara?
Dalam sistem percukaian Malaysia, dua jenis cukai tidak langsung yang pernah diperkenalkan ialah GST (Goods and Services Tax) dan SST (Sales and Service Tax). Kedua-duanya bertujuan untuk menjana pendapatan negara, namun cara pelaksanaannya memberi struktur dan implikasi yang berbeza kepada ekonomi, perniagaan & pengguna akhir, iaitu rakyat.
Cukai tidak langsung ialah cukai yang dikenakan semasa pembelian barangan atau perkhidmatan, bukan secara langsung ke atas pendapatan, dan turut dikenali sebagai cukai penggunaan (consumption tax).
GST ialah cukai nilai tambah yang dikenakan di setiap peringkat rantaian pengeluaran dan pengedaran daripada pengilang, pemborong, peruncit, hingga ke pengguna. Walaupun GST dikenakan sebanyak 6% sebagai contoh, di setiap peringkat, perniagaan boleh menuntut semula cukai input yang telah dibayar. Ini menjadikan cukai sebenar yang dikutip oleh kerajaan hanya atas nilai tambah yang dibuat oleh setiap peringkat. Jika cukai dituntut di setiap peringkat rantaian, maka cukai sebenar yang dipungut oleh kerajaan hanyalah diperingkat akhir. Tetapi, kelebihan utama GST ialah ketelusan harga, pemantauan harga yang lebih mudah, dan pengurangan manipulasi harga kerana setiap transaksi direkod dan diaudit.
Sebaliknya, SST dikenakan sekali sahaja, biasanya di peringkat pengilang (cukai jualan) atau penyedia perkhidmatan (cukai perkhidmatan). Tiada sistem tuntutan semula cukai input, dan cukai biasanya tersembunyi dalam harga akhir . Ini menyebabkan harga akhir boleh meningkat tanpa kawalan, kerana tiada pemantauan di peringkat pemborong dan peruncit. Peniaga bebas menaikkan harga, dan kerajaan sukar mengesan margin keuntungan berlebihan. Akhirnya, pengguna akhir tetap menanggung cukai, tetapi tanpa ketelusan dan kawalan yang wujud dalam sistem GST.
Secara keseluruhannya, walaupun kedua-dua sistem menyebabkan pengguna akhir menanggung cukai, GST menawarkan sistem yang lebih telus dan sistematik untuk mengawal harga di setiap peringkat. SST pula lebih mudah dari segi pelaksanaan, tetapi berisiko menyebabkan kenaikan harga yang tidak terkawal dan membebankan rakyat. Oleh itu, pemilihan sistem cukai tidak langsung yang sesuai perlu mengambil kira keseimbangan antara kecekapan kutipan cukai dan perlindungan terhadap pengguna akhir.
Secara umumnya, saya berpendirian system GST lebih sistematik untuk menambah pendapatan negara secara efisien. Namun, untuk memastikan GST tidak membebankan rakyat, ia perlu diperhalusi. Antara pendekatan terbaik yang diguna pakai di banyak negara maju ialah sistem GST secara berperingkat di mana kadar standard seperti 6% dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan umum, tetapi barangan keperluan seperti makanan asas, ubat-ubatan, dan pengangkutan awam diletakkan di bawah kategori kadar sifar atau dikecualikan. Ini membolehkan kerajaan mengutip cukai dengan berkesan tanpa menekan golongan berpendapatan rendah, sambil mengekalkan keadilan sistematik melalui kredit cukai input.
Ditulis oleh
Ahli Kluster Kejuruteraan
Jabatan Profesional Muda (JPro)
**Penafian: Segala pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pandangan keseluruhan JPro.
16 Julai 2025