Jabatan Profesional Muda – JPro

HARGA SEBUAH KEMERDEKAAN YANG PERLU DIBAYAR

Berbicara soal kemerdekaan, ia pasti memberi satu gambaran perihal keperihan dan kejerihan. Perjuangan membebaskan bumi berdaulat bukanlah mengambil masa yang singkat. Malah, ia perlu menyusuri liku-liku kepayahan yang memakan masa hampir ratusan tahun.
 
Bahkan, sudah banyak jiwa yang terkorban saat berjuang untuk kebebasan tanah air daripada belenggu penjajah sejak ketibaan Portugis sehinggalah British berundur diri daripada Tanah Melayu atau kini kita kenali sebagai Malaysia.
 
Menginjak usia kemerdekaan negara kali ke-64, kesyukuran dan kelegaan pasti dirasai oleh seluruh warganegara Malaysia di bumi bertuah ini. Laungan keramat ‘Merdeka’ yang acap kali kedengaran setiap tahun sudah pasti mengimbau dan menyingkap sebuah kisah perjuangan nenek moyang yang berhempas-pulas berjuang demi melihat anak cucu gembira pada hari ini.
 
Walau bagaimanapun, tatkala Hari Kemerdekaan disambut dengan girang, perlu kita telusuri bersama tentang bagaimana bermulanya sebuah kisah penjajahan. Ia dimulai dengan pengkhianatan dan pembelotan daripada orang tempatan yang terpampang dalam lipatan sejarah iaitu Si Kitol.
 
Watak ini menjadi dalang utama kepada kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Kesannya, berakhirlah Kesultanan Melayu Melaka dan bermulalah episod duka serta siri penjajahan yang berlangsung selama hampir 446 tahun. Bermula dengan pendudukan Portugis, Belanda, British dan Jepun, bumi bertuah ini sudah cukup lali dengan sikap penjajah pada ketika itu yang mencengkam negara dengan kerakusan serta kezaliman.
 
Segala puji bagi Tuhan, Tanah Melayu ini bumi bertuah dan berdaulat. Allah hadirkan ramai pejuang kemerdekaan yang menuntut bela atas segala tindakan serakah penjajah pada waktu itu. Kesannya, ada yang gugur syahid di medan perang, ada yang dibuang negara, ada yang dihukum bunuh dan pelbagai lagi halangan dan cabaran yang ditempuh demi sebuah kebebasan.
 
Nama-nama seperti Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau, Dato’ Bahaman dan ramai lagi tokoh kemerdekaan melalui pelbagai fasa rumit dan untuk pembebasan negara. Justeru, mengambil pengajaran atas kisah pengorbanan mengenai kemerdekaan, marilah kita sama-sama mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah kepada kita.
 
Kita hari ini menyaksikan kebebasan dan keamanan yang diperoleh adalah sebab hasil perjuangan golongan terdahulu untuk melihat negara ini bebas daripada penjajah yang menjarah. Ya. Mereka mungkin tidak sempat berada di zaman negara merdeka hampir puluhan tahun.
 
Namun, segala jasa dan penat lelah mereka jangan sesekali kita sia-siakan. Perjuangan kita masih panjang. Negara kita masih mentah. Justeru, marilah kita berganding bahu dan menggembleng tenaga menjaga keamanan serta keharmonian negara.
 
Hapuskan perpecahan dan hentikan sengketa. Jangan ada dalam kalangan kita yang cuba-cuba untuk menjadi pengkhianat seperti Si Kitol. Jika tidak, generasi akan datang pasti akan mengenali anda dengan wajah seorang pembelot dan pendusta yang menghancurkan negara ke lembah kehinaan.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-64 buat tanah air tercinta bumi Malaysia. Sayangi negaraku, Malaysia Prihatin.

Ditulis oleh

Aida Dania
Kluster Komunikasi dan Media
Jabatan Profesional Muda JPro, DPPM
Penulis merupakan pemenang saguhati dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan anjuran JPro dengan tema #IniBenderaKita.

14 September 2021