JPro

JANGKITAN SALMONELLA: BAGAIMANA NAK KENAL TELUR YANG TERCEMAR?

Baru-baru ini, 11 individu di Gombak telah menerima rawatan akibat jangkitan Salmonella yang dipercayai berpunca daripada telur. Kes ini sebenarnya bukanlah yang pertama. Bahkan dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini beberapa kes keracunan makanan berskala besar melibatkan telur telah dilaporkan di Malaysia.

Pada tahun 2021, seramai 57 orang di Terengganu mengalami keracunan makanan setelah makan puding buih yang mengandungi telur yang telah luput tarikhnya. Tahun 2020 pula ada kes melibatkan 14 orang di Perak mengalami keracunan makanan setelah makan telur rebus yang dibeli dari pasar malam. Dan tahun 2019, seramai 23 orang kanak-kanak di Selangor mengalami keracunan makanan setelah makan telur rebus di tadika. Sebenarnya ada banyak lagi kes yang boleh dirujuk di Malaysia. Namun, tiga kes yang disebutkan ini sudah cukup menunjukkan terdapat banyak kes keracunan makanan yang berpunca daripada telur.

Bagaimana telur boleh tercemar?

Telur boleh tercemar dengan bakteria berbahaya seperti Salmonella dan E. coli pada beberapa peringkat, dari reban ayam hingga ke meja makan kita.

Pertama, semasa di reban. Bakteria boleh dipindahkan dari najis ayam ke telur melalui kulit telur yang retak atau melalui pengendalian yang tak bersih.

Kedua, semasa pengangkutan dan penyimpanan. Suhu yang tak sesuai atau penyimpanan yang lama boleh menyebabkan bakteria pada telur membiak.

Ketiga, sebelum “end product” iaitu semasa penyediaan makanan. Telur mentah atau yang tak dimasak dengan sempurna boleh mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan penyakit.

Macam mana cara nak elak keracunan makanan dari telur?

Berdasarkan garis panduan keselamatan makanan yang dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ada beberapa perkara kita boleh buat untuk elakkan keracunan makanan yang berpunca daripada telur.

1. Semasa membeli telur, belilah daripada sumber yang dipercayai, seperti pasar raya atau kedai runcit yang mempunyai reputasi baik. Kenapa? Sebab mereka yang menjual di sini kebiasaannya dah tahu & mematuhi cara yang betul pasal telur ni.

2. Pastikan telur disimpan dalam peti sejuk pada suhu 4°C atau lebih rendah.

3. Setiap makanan mesti ada tarikh luput. Jadi, check tarikh luput pada kotak telur dan belilah yang paling segar.

4. Elakkan membeli telur yang retak. Kulit telur yang retak boleh menyebabkan bakteria masuk ke dalam telur. Kita juga boleh teliti kulit yang bersih dan halus. Elakkan telur yang ada kotoran, atau tanda kerosakan lain.

5. Kalau fasa pembelian dah betul, proses penyediaan makanan tu pun kita kena hati-hati.

6. Budaya kita di Malaysia memang sentiasa basuh tangan dengan sabun dan air panas sebelum dan selepas mengendalikan telur. Langkah ni sangat baik untuk buang bakteria dari tangan kita dan mencegah penyebarannya ke telur.

7. Selain tu, jangan basuh telur sebelum disimpan kerana ini boleh membuang lapisan pelindung semula jadi pada kulit telur. Lapisan ini membantu untuk mencegah bakteria masuk ke dalam telur.

8. Semasa memasak, masaklah telur dengan sempurna. Kuning telur dan putih telur perlu masak sepenuhnya untuk membunuh bakteria yang berbahaya. Half-boiled egg sebenarnya berisiko untuk mendapat keracunan makanan.

9. Untuk atlet atau orang yang suka ‘workout’, jangan makan telur mentah atau yang tak dimasak dengan sempurna. Telur mentah atau yang tak masak dengan sempurna boleh mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan penyakit.

10. Akhir sekali, simpan secepat mungkin telur yang telah dimasak dalam peti sejuk. Ini akan membantu untuk mencegah pertumbuhan bakteria.

Sedikit sebanyak perkongsian saya ni mungkin membantu kita semua mencegah keracunan makanan dan menjaga kesihatan diri dan keluarga. Kalau ada yang nak tambah atau betulkan point-point ni, feel free to drop a comment below. Kita sama-sama belajar dalam perbincangan.

Ditulis oleh

Zahiruddin Zaki,
Pengamal Kesihatan Persekitaran
Ahli Kluster Kesihatan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM

Penulis merupakan ahli Kluster Kesihatan, JPro dan juga Pengamal Kesihatan Persekitaran.

16 Jun 2024