Kebergantungan Teknologi Luar: Kebocoran Ekonomi yang Kita Abaikan
Pernahkah kita terfikir, ke mana perginya berbilion ringgit setiap tahun yang dibelanjakan untuk teknologi di negara ini? Setiap kali kita membuka komputer di pejabat kerajaan, menggunakan sistem tempahan hospital, atau anak-anak kita mengakses platform e-pembelajaran, besar kemungkinan semuanya dijana oleh teknologi luar. Perisian yang dibeli daripada syarikat multinasional, dibayar dalam mata wang asing, dan dikawal dari luar sempadan. Wang ini mengalir keluar secara senyap, tetapi berterusan. Lama-kelamaan, ia menjadi kebocoran ekonomi yang besar, menekan nilai ringgit, membebankan belanjawan, dan lebih malang, menghalang negara daripada membina teknologi sendiri.
Kita terlalu biasa menjadi pengguna. Kita bangga apabila dapat menggunakan aplikasi canggih dan sistem berteknologi tinggi, tanpa menyedari bahawa kita sebenarnya tidak memiliki satu pun daripadanya. Kita sekadar membayar untuk menggunakan. Bila sistem gagal, kita tunggu vendor luar perbaiki. Bila harga lesen naik, kita terpaksa akur. Bayangkan jika seluruh sistem pengurusan negara, daripada hospital, pertahanan, hinggalah Pendidikan, bergantung pada teknologi luar yang kita tidak kawal. Bukankah itu berisiko dan merugikan?
Di sinilah peranan kerajaan menjadi sangat penting, bukan sekadar sebagai pengguna teknologi, tetapi sebagai pembentuk ekosistem. Dasar dan polisi kerajaan menentukan arah aliran wang, peluang pasaran, dan hala tuju pembangunan. Jika kerajaan benar-benar serius mahu mengurangkan kebergantungan kepada teknologi asing, maka ia mesti bermula dengan polisi yang berpihak kepada teknologi tempatan.
Memang benar, kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar yang mengutamakan teknologi tempatan, seperti dalam sektor automotif melalui inisiatif seperti Dasar Automotif Nasional (NAP) dan sokongan terhadap kenderaan elektrik tempatan. Namun, dasar-dasar ini masih tertumpu kepada industri-industri tertentu sahaja. Sudah tiba masanya dasar keutamaan teknologi tempatan diperluas ke sektor-sektor lain yang tidak kurang pentingnya, seperti perkhidmatan awam, pendidikan, kesihatan, logistik, dan keselamatan siber.
Contohnya, dalam sektor perkhidmatan kerajaan, banyak sistem pengurusan masih bergantung kepada vendor luar negara. Ini bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi, tetapi juga menimbulkan risiko keselamatan data dan ketidakupayaan untuk menyesuaikan sistem mengikut keperluan tempatan. Dengan memperkenalkan kuota minimum penggunaan sistem buatan Malaysia dalam agensi awam, kerajaan bukan sahaja menyokong industri tempatan, tetapi juga membina keupayaan jangka panjang negara dalam bidang teknologi strategik.
Selain itu, keutamaan dalam proses perolehan kerajaan perlu diberikan kepada startup dan syarikat teknologi tempatan yang berpotensi, bukan hanya kepada pemain besar yang sudah lama bertapak. Ini boleh dilakukan melalui mekanisme penilaian yang lebih inklusif, insentif fiskal, dan dana pembangunan bersyarat yang menyokong inovasi oleh rakyat Malaysia sendiri.
Apa yang ramai tidak sedar ialah kita sebenarnya mempunyai kekuatan dalam perisian. Malaysia mungkin belum jadi kuasa besar dalam bidang perkakasan termaju seperti robotik, sistem automasi atau rekabentuk cip termaju, tetapi dalam dunia perisian (software), kita tidak jauh ketinggalan. Malah, perisian tidak memerlukan kilang, mesin besar atau bahan mentah. Hanya idea, kemahiran, dan komputer. Aplikasi mudah boleh lahir dari bilik asrama, berkembang di pejabat kecil, dan menjangkau berjuta pengguna di seluruh dunia.
Perisian juga bersifat tanpa sempadan. Ia boleh dijual ke luar negara tanpa perlu diangkut, tanpa cukai eksport yang berat, dan tanpa risiko kos logistik yang tinggi. Itulah sebabnya syarikat seperti Zoom, Facebook, Amazon, Shopee, Tiktok, Canva, dan WhatsApp boleh bermula dari kecil dan menakluk dunia.
Malaysia juga sudah ada contoh kejayaan sendiri. Lihat saja usaha Encik. Muhamad Nasir Habizar, pengasas dan CEO JomParking, iaitu aplikasi untuk menyelesaikan satu masalah harian pengguna iaitu membayar parkir. Dengan pendekatan digital, pengguna kini boleh urus parkir dari telefon, tanpa kupon, tanpa mesin rosak, tanpa tunai. Ia bukan sahaja menjimatkan masa pengguna, malah menjimatkan kos operasi majlis perbandaran.
Selain itu, aplikasi Moovby, diasaskan oleh Encik Nik Muhammad Amin merupakan platform sewaan kereta peer-to-peer. Di Malaysia, berjuta kenderaan persendirian tidak digunakan sepanjang hari. Moovby membolehkan pemilik menyewakan kenderaan mereka kepada pengguna lain dengan mudah. Ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi baru, tetapi menyumbang kepada konsep mobiliti lestari tanpa menambah bilangan kereta atas jalan.
Namun kejayaan seperti ini tidak akan berkembang tanpa sokongan dasar yang jelas. Kerajaan perlu memainkan peranan sebagai pemangkin. Dana seperti Cradle Fund, MOSTI, dan MDEC mesti lebih agresif menyokong startup teknologi, bukan sekadar pada fasa awal, tetapi dalam fasa penskalaan. Selain itu, polisi perolehan kerajaan perlu dirombak supaya startup tidak terus dibayangi oleh pemain besar luar yang sudah selesa.
Lebih penting lagi, dasar perlu memupuk budaya kepercayaan terhadap ciptaan tempatan. Pegawai awam dan korporat perlu mula bertanya: “Adakah ini boleh dibina oleh anak tempatan?” sebelum terus memilih vendor luar. Dan rakyat pula, sebagai pengguna, boleh memainkan peranan dengan menyokong aplikasi dan platform buatan Malaysia. Setiap muat turun, setiap penggunaan, adalah undi untuk kemandirian teknologi negara.
Membangunkan teknologi sendiri bukan soal semangat nasionalisme semata-mata tetapi ia adalah satu keperluan strategik dalam menambah kekuatan ekonomi negara. Jika kita terus bergantung kepada teknologi luar, kita akan terus membayar. Tetapi jika kita membina, kita akan memiliki,dan dari situ, kita akan melangkah sebagai pencipta, bukan hanya pengguna.
Akhirnya, masa depan Malaysia bergantung kepada satu persoalan penting: adakah kita berani memberi peluang kepada rakyat kita sendiri? Jika jawapannya ya, maka setiap ringgit yang tidak lagi mengalir keluar akan menjadi asas kepada ekonomi yang lebih mampan dan berdikari.
Apabila kita berjaya menjual teknologi tempatan ke peringkat global, kita bukan sahaja membuka pasaran baharu, tetapi turut memperkukuh nilai ringgit melalui aliran masuk mata wang asing, peningkatan pendapatan eksport, dan keyakinan pelabur terhadap ekosistem inovasi negara. Ini adalah langkah strategik yang mampu mengubah kedudukan Malaysia daripada pengguna kepada pencipta teknologi.
Jadi ayuh, marilah kita tanamkan budaya mengutamakan teknologi tempatan, bukan sekadar pilihan, tetapi sebagai tanggungjawab bersama demi masa depan negara. InsyaAllah
Ditulis oleh
Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda (JPro)
23 Jun 2025