Jabatan Profesional Muda – JPro

KEMERDEKAAN: BUKAN HANYA TENTANG PEMBEBASAN FIZIKAL

Bulan ini kita bakal meraikan Hari Kebangsaan yang ke-65. Apabila berbicara tentang hari kebangsaan pasti akan dikaitkan dengan kemerdekaan. Kita dibentuk dengan kepercayaan bahawa kemerdekaan adalah apabila kita bebas daripada cengkaman penjajah dan tawanan secara fizikal. Maka, kita berasa bangga menyambut hari kemerdekaan menjelang Ogos pada setiap tahun. Tiada salahnya jika kita memperingati bulan tersebut sempena pembebasan daripada penjajahan. Namun, jika kita hanya memahami kemerdekaan dan meraikan perarakan pada hari kebangsaan daripada sudut itu sahaja, kita masih belum memahami erti kemerdekaan sepenuhnya.

Islam mengajarkan merdeka bermakna manusia bebas untuk menjalankan kehidupan secara fitrah selaras dengan matlamat sebenar penciptaan. Ini juga prinsip kemerdekaan yang saya pegang. Maka, kemerdekaan adalah perjuangan sepanjang
hayat dan menuntut komitmen setiap individu.

Kemerdekaan juga sering dikaitkan dengan pembangunan negara. Dunia cenderung untuk mengukur konteks pembangunan berdasarkan pertumbuhan ekonomi, infrastruktur mega dan rakyat berpendapatan tinggi semata-mata. Hakikatnya, pembangunan perlu dilihat secara holistik merangkumi masyarakat, sosial dan aspek lain. Pembangunan manusia juga perlu ditekankan kerana inilah faktor utama untuk memajukan masyarakat yang akan membangunkan negara. Kemerdekaan yang kita perjuangkan bukan hanya untuk meletakkan pembangunan fizikal negara di kelas pertama, tetapi turut perjuangkan pembangunan manusia melalui kemajuan masyarakat.

Maka, sebagai salah seorang warganegara yang sedar akan perkara ini, saya percaya pemilihan kerjaya adalah amat penting untuk membangunkan negara bersama-sama. Dengan prinsip kemerdekaan yang dipegang, saya bebas membuat pilihan untuk memilih kerjaya yang ingin diceburi. Awal tahun 2022 telah membuka peluang kepada saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Rakan Digital di Pusat Ekonomi Digital (PEDi). Peranan ini diwujudkan untuk memberi sokongan terhadap inisiatif kerajaan melalui Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) dengan objektif membantu usahawan komuniti terutama usahawan mikro memanfaatkan perniagaan mereka menerusi platform e-dagang bagi menyokong ekonomi digital negara. Program PUPUK adalah percuma kepada usahawan.

Tugas utama saya adalah memberi latihan dan bimbingan kepada usahawan sekitar untuk memasarkan perniagaan menerusi platform e-dagang. Maka, sebelum memberi penerangan kepada usahawan, saya terlebih dahulu perlu memahami konsep, ciri dan fungsi platform tersebut. Peranan ini juga memerlukan saya untuk menjadi
penghubung antara usahawan dan agensi yang terlibat dengan perniagaan dan keusahawanan. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), SME Corp dan seumpamanya adalah beberapa agensi yang terlibat dalam Program PUPUK dan amat berdedikasi dalam melatih usahawan tempatan kita.

Kerjaya ini turut mendedahkan saya dengan ekosistem platform e-dagang antarabangsa dan tempatan yang perlu dipelajari dan dikuasai. Penguasaan dan kefahaman perlu cepat dan mantap kerana selain mempelajari perkara baru, saya juga perlu melatih dan membimbing usahawan komuniti menggunakan platform ini. Dalam dunia tanpa sempadan ini, era digital telah mendominasi dan siapa yang menguasainya akan mendahului. Mengikut pemerhatian kebanyakan yang menguasai platform digital
ini adalah negara luar dan kita masih belum merdeka daripada sudut itu. Usahawan tempatan pula ada yang lebih bergantung dengan platform e-dagang luar negara untuk memasarkan perniagaan mereka.

Didedahkan dengan elemen sebegini, saya tidak lari daripada membuat perbandingan antara platform antarabangsa dan tempatan. Pendedahan ini telah memberi kesedaran bahawa Malaysia perlu berusaha lebih lagi untuk menjadi perintis dalam platform e-dagang. 65 tahun kemerdekaan kita masih belum mempunyai satu platform e-dagang yang kukuh, stabil dan dikenali di mata dunia. Walaupun terdapat inisiatif pada peringkat kementerian mahupun individu yang berhasrat mencipta
platform e-dagang tempatan tetapi kita tidak mempunyai asas yang kuat untuk menjayakannya secara serius. Sudah tiba masanya kita serius dan memberi komitmen penuh untuk mencipta platform e-dagang sendiri dan merdekakan diri daripada bergantung dengan platform luar.

Sebenarnya kerjaya ini agak mencabar kerana memfokuskan kepada pembangunan usahawan. Selain perlu berurusan dengan usahawan, saya juga perlu berurusan dengan ‘sifat’ usahawan itu sendiri. Lantaran usahawan datang daripada latar belakang yang berbeza maka sifat dan peribadi mereka juga berbeza. Penerimaan
mereka terhadap platform digital ini juga berbeza. Inilah tugas saya di sini untuk memotivasikan dan memberi keyakinan kepada usahawan bahawa mereka perlu berani mencuba perniagaan mereka menerusi platform digital.

Jika kita amati kembali, realitinya masyarakat kita masih belum merdeka daripada sikap bergantung harap kepada kerajaan untuk memperuntukkan segala-galanya secara percuma. Walaupun kerajaan telah memperuntukkan sebahagian besar dana dalam bentuk bantuan dan program tetapi akhirnya semua berbalik kepada inisiatif usahawan itu sendiri sama ada untuk memanfaatkan atau sebaliknya.

Saya percaya usahawan adalah antara profesion yang menjadi penyumbang besar terhadap ekonomi negara. Atas kepercayaan ini telah mencorakkan perjalanan kerjaya saya. Kerjaya sebagai Rakan Digital ini tidaklah menjanjikan populariti dan kekayaan. Namun, perjalanan ini mengingatkan saya bahawa pentingnya pembangunan manusia terutama pembangunan keusahawanan dalam proses untuk mengekalkan kemerdekaan negara seterusnya merealisasikan negara usahawan menjelang 2030 nanti.

Sepanjang berkhidmat banyak ruang untuk saya belajar ilmu dan kemahiran baru serta berharap latihan dan program yang dikongsikan dapat membantu usahawan membangunkan ekonomi negara. Sebagai seorang Muslim, kita perlu pasakkan apabila ingin menceburi bidang perniagaan kita bukan hanya ingin menyara hidup dan mencari sesuap nasi sahaja tetapi ingin membantu Islam memperjuangkan sistem muamalat yang berlandaskan syariah dan ingin memerdekakan daripada eksploitasi dan sistem yang dikuasai kapitalis. Saya juga selalu mengingatkan usahawan, selaku peniaga muslim kita perlu mempunyai pendirian dan prinsip yang jelas untuk memilih perniagaan yang ingin diceburi kerana usahawan adalah golongan yang akan membentuk sistem ekonomi negara. Usahawan juga akan menentukan ekosistem perniagaan yang diredai Tuhan.

Kemerdekaan negara datang dengan pengalaman dan nilai yang terlalu mahal. Sebagai sebuah negara sepatutnya angka 65 tahun ini adalah usia emas yang memerdekakan kita daripada sikap dan tabiat lama. Amat sayang apabila kita berpuas hati dengan kemerdekaan andai pemikiran, cara hidup, ekonomi dan sikap kita masih lagi belum merdeka. Islam mengajarkan merdeka adalah lebih daripada faktor fizikal.

Justeru, kemerdekaan turut melibatkan kerjaya yang kita pilih kerana elemen ini yang memberi peluang kepada kita menyumbang ke arah pembangunan negara yang diredai
Tuhan. Selagi usaha dan komitmen yang diberikan selari dengan prinsip kemerdekaan yang dipegang, tetaplah mempunyai rasa tanggungjawab untuk #teguhmembinanegara tidak kira jawatan apa pun yang kita pegang kerana pada akhirnya kita sendiri akan
dipertanggungjawabkan di akhirat kelak terhadap pekerjaan yang dilakukan.

Firman Allah :
Surah Al-Muddassir –

( كُلُّ نَفْسٍۭ بِمَا كَسَبَتْ رَھِینَةٌ ( 38

“Setiap orang bertanggung jawab atas apa yang telah dilakukannya.”

 
 

Ditulis oleh

Nur Syariha Binti Masri
Penulis merupakan pemenang tempat kedua dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

14 September 2022