KENAPA EKONOMI MELAYU MASIH MUNDUR WALAUPUN MENDAPAT LAMBAKAN INISIATIF DAN BANTUAN KERAJAAN?
1. Mengikut data dari Jabatan Statistik Malaysia, selama 10 tahun berturut-turut, kadar pendapatan isi rumah kasar pertengahan bagi kaum Melayu adalah yang paling rendah diikuti India dan Cina (bacaan 2007-2016). Dalam bahasa mudahnya, Melayu paling rendah pendapatannya.
Penting atau tidak data ini? Ya penting. Sebab ia paradoks bilamana kaum majoriti menduduki tangga paling rendah pendapatan.
Penting atau tidak membincangkan aspek ekonomi di Malaysia dari sudut pandang segregasi kaum? Ya penting. Sebab sekiranya pengagihan kekayaan tidak seimbang dalam sesuatu negara, dalam jangka waktu yang panjang ia mampu menimbulkan ketegangan kaum (racial tension).
2. Berbalik kepada persoalan di atas tentang mengapa kaum Melayu-Bumiputera masih menduduki tangga paling rendah dari konteks pendapatan isi rumah walaupun pelbagai inisiatif, dasar dan polisi diwujudkan kerajaan terang-terangan membantu mereka?
Dalam pengajian polisi, langkah ini dikenali sebagai diskriminasi positif (positive discrimination) bertujuan untuk mengimbangi semula kesenjangan (gaps) dan ketidaksamaan (inequality) dalam kalangan etnik dan bangsa, dilaksanakan termasuklah di US untuk membantu red indian, di Afrika Selatan membantu kaum kulit hitam dan lain-lain seperti di Nepal, India dan Fiji.
Terma ‘positive discrimination’ juga diertikan dengan polisi yang direka khusus untuk menyebelahi individu atau golongan tertentu yang sebelum ini telah ‘didiskriminasi’. Dalam konteks Malaysia, polisi khusus untuk ‘membantu’ Melayu disebabkan dasar pecah perintah penjajah yang meletakkan Melayu di perkampungan dan terlibat dengan sektor yang kurang produktif seperti penanaman padi, nelayan, penanaman pokok kelapa, menoreh getah.
Ini bukan bermakna Melayu malas dengan kerja 24 jam memerah keringat tapi hasilnya cuma sedikit berbanding kaum Cina yang diletakkan di kawasan bandar dan terlibat dengan sektor perkhidmatan yang tinggi produktivitinya.
3. Menurut Dr Mohamed Khalid 2012, dalam bukunya Color of Inequality menjelaskan salah satu ketidakmampuan usahawan Melayu bersaing adalah disebabkan rantaian ekonomi tertutup (closed circle of economy) telah dikuasai sepenuhnya oleh kaum cina.
Sebagai contoh mudah, polisi kerajaan memperuntukkan hanya usahawan melayu yang akan diberikan tender untuk mencetak buku latihan sekolah rendah. Bayangkan, ratusan sekolah rendah di sekitar PJ dan KL sebagai contoh, dan ratusan ribu cetakan buku ini diberikan kepada usahawan Melayu. Namun, disebabkan kapasiti dan kapital yang tidak mencukupi, akhirnya tender ini di sub-kontrak kan kepada usahawan bukan Melayu.
Kapasiti dan kapital yang dimaksudkan seperti mesin, dakwat, bahan asas percetakan, dll semuanya didapati daripada usahawan bukan Melayu. Beginilah contoh bagaimana rantaian ekonomi yang sudah tertutup tadi. Juga di sinilah menunjukkan bagaimana polisi ini gagal mencapai objektifnya yang sebenar disebabkan keadaan rantaian ekonomi tertutup yang hanya dikuasai oleh kaum tertentu sahaja.
4. Juga secara anekdotnya, tidak sedikit kita mendengar keluhan usahawan dan peniaga Melayu yang ditekan dengan harga yang lebih tinggi daripada pembekal termasuklah ‘credit term’ yang agak ketat. Keadaan ini jugalah yang berpunca daripada ‘closed circle of economy’ yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja. ‘Closed circle of economy’ yang telah disebutkan oleh Dr. Mohamed Khalid, lama 2012 dahulu kini telah memperlihat reaksi dan manifestasi kaum Melayu yang menatijahkan kempen #BMF (Buy Muslim First).
5. Sebagai akhirnya, semua pihak perlu jujur. Beberapa entiti cuba mengambil kesempatan terhadap lubang kecurigaan yang akhirnya merencatkan usaha integrasi nasional. Kerajaan kali ini tampak gagal mengurus perbezaan yang wujud dari aspek ekonomi kaum baik dari segi kenyataan media, menongkah persepsi sehinggalah keberkesanan pengaplikasian polisi yang akhirnya menyemarakkan lagi rasa tegang pada masyarakat kebanyakkannya.
Saya tinggalkan dengan satu persoalan, apakah agenda-agenda nasional baik dari segi ekonomi, politik dan sosial mampu mengintegrasikan semua kaum ke dalam kerangka nasional? Jawapan ada di tangan anda.
Rujukan dan bacaan tambahan:
1. Modernization, Democracy, Equity and Identity by Edmund Terence Gomez.
2. National Model of Integration and The Crisis of Multiculturalism: A Critical Comparative Perspective, 2014 by Rogier van Reekum et all.
3. Horizontal and Vertical Inequality : Some Interconnection and Indicators, 2004 by D. Dayaraj and S. Subramanian.
4. Malaysia: 30 Years of Poverty Reduction, Growth and Racial Harmony, 2004 by EPU, Prime Minister Dept.
5. The Color of Inequality 2012, by Mohamed Khalid
6. The New Economic Policy in Malaysia : Affirmative Action, Ethnic Inequalities and Social Justice, 2017 editor by Edmund Terence Gomez and Johan Saravanmuthu
Ditulis oleh
18 September 2019