Jabatan Profesional Muda – JPro

Kepentingan Tapak Asas Cerucuk Menara Bekembar PETRONAS

Berdiri pada ketinggian 452 m, menara berkembar PETRONAS adalah sebuah mercu tanda kebanggaan negara Malaysia. Bangunan ini pernah diiktiraf sebagai bangunan yang tertinggi di dunia dari tahun 1998 sehingga tahun 2004. Namun begitu, statusnya sebagai menara berkembar tertinggi di dunia masih tidak dapat ditandingi sehingga hari ini.

Berat bangunan ini di anggarkan sekitar 300,000 tan atau bersamaan dengan 42,857 ekor gajah dewasa. Bagi menampung berat tersebut, sebuah tapak asas cerucuk yang kuat adalah diperlukan. Cerucuk merupakan elemen struktur yang berbentuk tiang di mana ia berfungsi untuk mengagihkan beban yang dipikul ke lapisan yang keras melalui cerucuk geseran (skin frictional pile) atau cerucuk tanggung hujung (end bearing pile).

Kedua-dua bangunan memerlukan sebanyak 104 cerucuk yang panjangnya antara 60 sehingga 114 meter. Setelah cerucuk ditanam, sebanyak 13,200 meter bersepadu konkrit telah dituang, diratakan dan digetar pada tempatnya sehingga cerucuk ditimbus. Tapak asas cerucuk ini memakan masa selama 1 tahun untuk disiapkan.

Kerja pembinaan diteruskan lagi selama 5 tahun. Pada tahun 1998, bangunan yang memakan belanja sebanyak RM 6 billion ini akhirnya telah siap dibina. Dengan adanya pasak yang kuat, struktur menara berkembar PETRONAS yang kita sayangi mampu menyerap gegaran dan bertindak balas terhadap hentaman angin dengan baik. Ini membolehkan bangunan tersebut kekal untuk satu tempoh yang lama.

Ramai daripada kita yang terpesona dengan reka bentuk menara berkembar PETRONAS yang tersergam indah. Sayangnya tidak ramai yang mampu menghargai peranan tapak asas cerucuk yang memegang bangunan tersebut pada tempatnya. Melalui pengamatan ini, kita dapati situasi yang hampir sama berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini yang hanya memandang kepada kemahsyuran seperti harta dan pangkat sehingga mengabaikan nilai jati diri yang sepatutnya menjadi asas pembentukan sesebuah negara.

Dibebani dengan kecanggihan teknologi dan modenisasi, anak muda sekarang di lihat sudah semakin lupa akan perjuangan nenek moyang kita yang terdahulu. Mereka telah bersatu padu tanpa mengira agama, kaum dan bahasa untuk melawan penjajah lebih dari 60 tahun dahulu. Perjuangan mereka berhasil kepada sebuah kemerdekaan yang dapat kita nikmati pada hari ini. Bagaimanakah kita boleh menghadirkan semula semangat patriotisma ini dalam kalangan masyarakat dan anak muda? Satu soalan penting yang perlu kita ungkaikan.

Bersempena bulan kemerdekaan dengan tema “Malaysia Prihatin” pada tahun ini, marilah kita sama-sama memperkuat “tapak asas cerucuk” yang ada dalam masyarakat. Ia boleh ditafsirkan sebagai semangat cinta akan negara, menghayati prinsip rukun negara dan menyemai semangat muhibah dalam kalangan masyarakat majmuk. Dengan adanya “tapak asas cerucuk” yang kuat, diharapkan ia boleh menjadi pemangkin kepada keharmonian dan kemakmuran bagi negara tercinta kita, Malaysia.

 
Sumber Rujukan:
[1] Petronas Twin Towers. Design & Structures. https://www.petronastwintowers.com.my/design-and-structures/
[2] Council on Tall Buildings and Urban Habitat. Tallest Buildings. https://www.skyscrapercenter.com/buildings
[3] Guinness World Records. Tallest Twin Buildings. https://www.guinnessworldrecords.com/world-records/tallest-twin-towers
[4] Designing Buildings Wiki. Petronas Twin Towers. https://www.designingbuildings.co.uk/wiki/Petronas_Twin_Towers

Ditulis oleh

Muhamad Hafiz Hadi Bin Sumardi
AJK Kluster Kejuruteraan
Jabatan Profesional Muda DPPM (JPro)
Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan JPro dan juga seorang juruterea aset integriti di sebuah syarikat gas dan minyak.

30 Ogos 2021