Jabatan Profesional Muda – JPro

KESIHATAN SATU AMANAH. ADAKAH KITA AMBIL PEDULI??

“Pakcik, tinggi betul tekanan darah pakcik ini, BP 210/110.
Pakcik ada sakit kepala atau lemah badan?
Pernah jumpa doktor atau makan ubat darah tinggi?”
 
“Eh, pakcik sihat je, takde sakit apa-apa.
Pakcik tak pernah buat pemeriksaan kesihatan, nanti tiba-tiba Dr suruh makan ubat banyak-banyak.”
 
Pakcik tersengih-sengih, doktor memicit dahi.
 
“Makcik, tinggi bacaan gula makcik, 17 ni.
Makcik ada makan ubat kencing manis?
Ada rasa sakit perut, muntah atau cirit? Ada demam atau penat?”
 
“Oh, makcik ok, takde masalah apa-apa.
Makcik ada makan ubat darah tinggi dan kolesterol.
Doktor ada suruh makcik makan ubat kencing manis, tapi makcik sengaja tak makan.
Makcik nak cuba kawal sendiri pemakanan.”
 
“Macam mana makcik kawal pemakanan makcik?”
 
“Sebelum ni makcik makan 2 pinggan nasi, sekarang 1 pinggan sahaja, dulu 4-5 kali sehari, sekarang 2-3 kali sahaja.
Makcik rajin gak minum air susu yang dalam kotak.
Makcik makan jugak la jajan kerepek dan kuih-muih, tapi sikit-sikit ja.”
 
Makcik tersenyum bangga, doktor garu kepala.
———-
Itu antara situasi tipikal yang dihadapi semasa saringan kesihatan di mana-mana sahaja.
 
Ramai antara kita yang rasa diri masih sihat, dan rasa doktor sengaja mahu kita makan ubat yang tidak diketahui asal usulnya.
Ada yang fikir cukup sekadar dengar content kesihatan di laman sosial yang tak dapat dikenalpasti autoriti penyampainya, lantas abaikan nasihat doktor yang merawat.
 
1 dalam 5 rakyat Malaysia menghidapi penyakit kencing manis, dengan anggaran 3.9 juta orang.
 
3 dalam 10 rakyat Malaysia pula menghidap penyakit darah tinggi dengan anggaran penghidap berjumlah 6.4 juta orang.
 
Daripada jumlah tersebut, hanya separuh daripada mereka menyedari bahawa mereka menghidapi penyakit.
 
(Laporan Kajian National Health and Morbidity Survey (NHMS) Malaysia 2019)
 
Kenapa ini berlaku?
 
Bukankah kesihatan itu amanah dari ALLAH yang mencipta kita?
Bukankah al-Quran suruh kita pelihara diri dari kebinasaan?
Bukankah al-Quran suruh kita bertanya pada orang yang selayaknya?
Bukankah hadis suruh kita berubat?
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
 
إِنَّ اللهَ حَيْثُ خَلَقَ الدَّاءَ، خَلَقَ الدَّوَاءَ، فَتَدَاوَوْا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawar. Maka berubatlah kamu.”
[Riwayat Ahmad (12596)]
 
Saya kira, masyarakat masih kurang sedar betapa pentingnya pengesanan penyakit di peringkat awal, pencegahan penyakit dan komplikasi penyakit kronik seperti darah tinggi (Hypertension) dan kencing manis (Diabetes Mellitus).
 
Tahukah anda, penyakit darah tinggi yang tidak terkawal boleh menyebabkan penyumbatan salur darah dalam kepala (ischemic stroke) dan juga pendarahan dalam kepala (haemorrhagic stroke) yang mengancam nyawa serta menyebabkan kelumpuhan.
 
80.73% pesakit strok merupakan mereka yang mempunyai tekanan darah yang tidak terkawal, dan 75.11% dalam kalangan pesakit strok juga merupakan mereka yang tidak konsisten dengan rawatan ubat darah tinggi.
 
Selain itu, ia juga boleh menyebabkan serangan jantung, masalah buah pinggang dan juga kebutaan. Komplikasi pada sistem pernafasan seperti ‘pulmonary oedema’ atau paru-paru berair juga berpunca daripada tekanan darah yang tidak terkawal yang turut menyumbang kepada kenaikan kadar kemasukan ke wad di seluruh Malaysia.
 
Penyakit kencing manis yang tidak terkawal pula boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kebutaan, kerosakan saraf dan juga meningkatkan risiko serangan jantung dan strok disebabkan kecederaan pada salur darah.
 
Hampir separuh kes-kes baharu kerosakan buah pinggang yang memerlukan dialisis adalah disebabkan oleh ‘Diabetic Nephropathy’ yang disebabkan oleh penyakit kencing manis yang tidak terkawal.
 
Luka pada kaki pesakit diabetes atau Diabetic Foot Ulcer (DFU) yang disebabkan kerosakan saraf akibat kencing manis yang tidak terkawal juga antara penyumbang tertinggi kepada kes-kes potong kaki (lower limb amputation) di Malaysia.
 
Tidakkah kita terkilan sekiranya kita hanya mampu terlantar di katil akibat lumpuh kerana kita culas makan ubat darah tinggi, sedangkan sahabat seperjuangan kita sedang sibuk di lapangan dakwah, yang setiap keringatnya berganjaran pahala?
 
Tidakkah kita berasa sedih sekiranya kita tidak mampu lagi membaca al-Quran yang mulia kerana nikmat penglihatan sudah ditarik akibat kencing manis yang tidak terkawal?
 
Maka, saringan kesihatan awal amat penting agar penyakit-penyakit ini dapat dikesan dan dirawat lebih awal, supaya risiko berlakunya komplikasi-komplikasi tersebut dapat dikurangkan.
 
Sekiranya saringan kesihatan menunjukkan bahawa kita masih sihat, sekurang-kurangnya kita dapat mengambil langkah berwaspada dan lebih bersungguh-sungguh dalam menjaga kesihatan kerana pencegahan itu lebih baik daripada merawat.
 
Namun, jika saringan kesihatan menunjukkan kita telah berpenyakit ataupun berisiko tinggi menghidap penyakit, janganlah pula kita culas mematuhi nasihat doktor.
 
Pengambilan ubatan sahaja juga tidak memadai dalam membantu perawatan penyakit-penyakit ini.
Bahkan kita mesti juga perbaiki cara hidup ke arah yang lebih sihat melalui pemakanan sihat dan juga senaman secara konsisten.
Akhir kata, saya berharap agar kita lebih cakna kepada tubuh badan kita. Bertanyalah dan dapatkan rawatan daripada orang yang selayaknya dan berautoriti.
 
Ini kerana, tubuh kita adalah amanah yang mesti dijaga sebaiknya.
Tubuh kita hakikatnya bukan milik kita, tetapi milik ALLAH yang perlu kita jaga sebaiknya, agar ia dapat dimanfaatkan dalam perjalanan panjang kita untuk berjuang di jalan ALLAH s.w.t.
 
 
Rujukan:
1) Institute For Public Health 2020, National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019: Non-communicable diseases, healthcare demand, and health literacy – Key Findings
 
2) Upoyo, A.S., Setyopranoto, I. and Pangastuti, H.S. (2021) ‘The modifiable risk factors of uncontrolled hypertension in stroke: A systematic review and meta-analysis’, Stroke Research and Treatment, 2021, pp. 1–11. doi:10.1155/2021/6683256.

Ditulis oleh

Dr Nur Iman Muhammad
Kluster Kesihatan
Jabatan Profesional Muda, DPPM

14 November 2023