Jabatan Profesional Muda – JPro

KOS SARA HIDUP: DULU JANJI RAKYAT DIDAHULUKAN, KINI POKET RAKYAT DIKETEPIKAN?

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, ramai rakyat Malaysia mula merasa peritnya hidup, bukan kerana suka merungut, tapi kerana realiti harga barang yang semakin menggila. Kalau dulu boleh bawa RM50 ke pasar dan balik dengan dua beg plastik penuh, kini RM50 pun macam cukup-cukup beli lauk masak sendiri untuk satu hari.

Zaman kempen dulu, kerajaan Madani membawa harapan. Janji mereka bukan kecil, kononnya ingin menurunkan kos sara hidup, menstabilkan harga barang, dan menghapuskan “orang tengah” yang menindas. Malangnya, selepas beberapa tahun memegang tampuk kuasa, harga barang bukan saja tak turun, malah banyak yang melambung naik.

Beras? Harga beras bagi kampit 10kg dahulu bermula RM28, sekarang lepas beli untuk kampit 5kg sahaja.

Tepung gandum? Dulu RM1.35 bagi paket 1 kg, kini hampir RM4. Ironinya, dalam “Malaysia Madani”, saiz dan bilangan kuih pun makin kecil, mungkin nak bagi rakyat sihat.

Diesel? Naik mendadak ke RM3.35/liter. Yang guna lori, van sekolah, nelayan – semua mula mengira balik kos harian. Semuanya memberi kesan harga rantaian. Takkan Menteri Kewangan tak tahu pasal ni?

Rakyat bukan tak faham kesan ekonomi global, inflasi pasca-COVID, dan konflik luar negara. Tapi yang rakyat pelik, kenapa masa jadi pembangkang dulu, semua masalah ini macam ada solusi dalam poket baju saja? Dulu acap kali keluar video, mesti janji itu dan ini. Sekarang? Bila tengok Bil TNB, …”Bil dah dah jadi warna merah”.

Rakyat tak minta semua barang jadi murah. Tapi rakyat mahu kejujuran dalam pentadbiran, dasar yang berkesan, dan paling penting, perhatian terhadap kesusahan rakyat marhean.

Kami tahu bukan mudah mentadbir negara. Tapi kalau sudah tahu sukar, kenapa dulu janji bukan main sedap bunyinya?

Kerajaan Madani sepatutnya tak cepat selesa dengan rating dan hasil undian syok sendiri. Rakyat sekarang semakin celik, mereka tak tengok sangat berita di TV, tapi tengok kepada réaliti.

Kritikan ini bukan untuk menjatuhkan, tapi supaya kerajaan sedar bahawa slogan tatakelola, ketimbang, wewenang tidak menurunkan harga barang. Kalau benar ingin membantu rakyat, jangan sekadar sasar subsidi, sasar juga keikhlasan dalam menunaikan janji.

Kerana bila rakyat mula berkata,
”Dulu kata nak turunkan harga, sekarang harga naik semua” ….jadi mungkin betul tanggapan rakyat, MADANI tu singkatan Mahal Dah Ni.


Ditulis oleh

Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda (JPro)

19 Jun 2025