Jabatan Profesional Muda – JPro

MALAYSIA TUNTUT PENSTRUKTURAN CUKAI YANG LEBIH KOMPREHENSIF DAN SAKSAMA

Sehubungan dengan pengumuman tarikh pembentangan belanjawan 2020 oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada 11 Oktober 2019, Kerajaan perlu mempertimbangkan dengan serius untuk melakukan penstrukturan semula cukai negara. Perkara ini bagi menangani isu kurangnya hasil pendapatan yang diperoleh daripada perlaksanaan cukai SST.

Bermula 1 September 2018, kerajaan telah memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan sistem cukai sedia ada iaitu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Struktur cukai SST terdiri daripada dua sistem cukai berasingan di bawah peruntukan dua akta yang berbeza iaitu Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806) dan Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807).

Secara umumnya, cukai jualan merupakan cukai seperingkat yang dikenakan hanya sekali di peringkat bahan mentah atau barang siap kepada sama ada pengilang, pemborong atau peruncit. Di Malaysia, cukai jualan yang telah ditambah baik ini hanya dikenakan diperingkat pengilang sahaja ke atas barangan bercukai yang diimport ke, atau dikilangkan di dalam negeri. Kadar cukai jualan yang dikenakan adalah sebanyak 5% atau 10% daripada harga jualan.

Sementara itu, Cukai Perkhidmatan juga merupakan cukai seperingkat yang dikenakan ke atas perkhidmatan yang dikenakan cukai, seperti yang ditetapkan dalam Akta 807 di bawah Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018. Ia dikenakan ke atas penyediaan apa-apa perkhidmatan yang boleh dikenakan cukai di Malaysia oleh orang berdaftar pada kadar 6%. Pada masa ini, perkhidmatan yang diimport atau dieksport tidak dikenakan sebarang cukai perkhidmatan.

Pada tahun 2016 dan 2017, hasil kutipan cukai GST telah berjumlah secara purata RM43 bilion setahun. Manakala, unjuran kutipan cukai SST oleh kerajaan semasa untuk tahun 2019 hanya berjumlah RM22 bilion, menunjukkan terdapat satu “jurang fiskal” yang sangat ketara dan perlu diisi.

Hal berikut telah menyebabkan peningkatan defisit fiskal berlaku pada kadar 3.9% dan 3.7% pada 2018 dan 2019, iaitu lebih tinggi daripada sasaran kerajaan masing-masing sebanyak 3.7% dan 3.4% (3.0% pada 2017).

Sebuah inisiatif di dalam Dokuman Hijau telah mencadangkan satu pelan lengkap perlaksanaan cukai alternatif yang lebih komprehensif dan saksama. Cukai alternatif ini akan memastikan kekayaan negara dapat diagih secara adil tanpa hanya tertumpu di kalangan golongan elit sahaja. Dokumen ini dirangka bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah melalui pengagihan kekayaan semula jadi yang strategik, dan meningkatkan pendapatan boleh guna dan kuasa beli rakyat secara umum.

Di antara caranya ialah dengan memperkenalkan sistem cukai yang dinamik dan komprehensif kepada lebihan pendapatan golongan kaya, pengagihan pendapatan negara yang adil kepada golongan berpendapatan rendah, dan pemansuhan monopoli aktiviti ekonomi utama negara.

Peningkatan kekayaan dan pendapatan boleh guna di tangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang membentuk majoriti rakyat akan dapat merancakkan aktiviti ekonomi dan menyebabkan kesan pengganda merentasi spektrum ekonomi meningkat. Ia akan mendorong aktiviti komersil yang lebih pesat dalam sektor korporat, berikutan pertambahan permintaan bagi produk dan perkhidmatan sedia ada dan yang baru.

Akhirnya, beban kewangan kerajaan untuk menyediakan sokongan kewangan langsung kepada rakyat dapat dikurangkan, pendapatan negara akan menjadi lebih stabil tanpa terkesan dengan perang perdagangan global mahupun landskap geo-politik yang tidak menentu, pelaburan kewangan sosial dalam masyarakat menjadi lebih memberangsangkan serta berlakunya pertumbuhan dalam pasaran modal termasuk senarai baru dan terbitan modal seperti Sukuks, untuk menampung pengembangan korporat.

Untuk merealisasikan perkara ini, cadangan struktur cukai alternatif yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

1. Capital Tax on Shares (CTS). Cukai Modal atas Saham ini terbahagi kepada dua komponen:

a) Cukai ke atas nilai saham yang dipegang minima selama setahun, berdasarkan nilai terendah saham dalam tempoh 12 bulan terdahulu.

b) Cukai ke atas keuntungan yang dibuat sekiranya saham dilupuskan dalam tempoh kurang setahun bagi merencatkan aktiviti spekulasi.

Kadar cukai 2.5% yang dicadangkan adalah berdasarkan kadar Zakat di dalam prinsip Islam. Usaha dan penerangan menyeluruh akan dijalankan sebelum pelaksanaan dilakukan bagi memastikan arahan yang jelas dipraktikan di dalam prosedur kerja serta untuk menanagani sebarang masalah berpotensi membimbangkan para pelabur.

2. Tax on Corporate Saving (TCS). Cukai ke atas Penjimatan Korporat termasuk ke atas baki tunai, baki bank dan lain-lain kelas aset kewangan. Kadar cukai yang dicadangkan adalah 2.5% menurut Zakat, berdasarkan baki terendah atau purata dalam setahun, dan

3. Pada masa yang sama, kajian terhadap struktur cukai sedia ada akan dijalankan, di mana cukai pendapatan korporat dan peribadi dengan trend ke arah kadar yang lebih rendah dan, jika perlu pengenalan cukai baru (seperti cukai barangan mewah) yang akan dikenakan mengikut prinsip Islam. Ini bertujuan untuk mengimbangi kesan kepada pelabur kesan kepada pengenalan cukai baru seperti yang dinyatakan di atas.

Dalam melaksanakan perkara di atas, pertimbangan akan dilakukan pada perkara berkaitan pemberian pengecualian cukai jika perlu, pelepasan cukai tertentu, kredit cukai dan / atau pemberian elaun cukai tahunan.

CTS dan TCS dijangka mampu membawa pengagihan modal yang lebih efisien kepada negara. Secara khusus, TCS akan mengelakkan apa yang lazim disebut sebagai “lazy balance sheet” daripada berlaku. Di mana baki tunai yang sering tidak digunakan dan tidak dilaburkan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi akhirnya menyebabkan kesan pengganda tidak berlaku kepada ekonomi negara.

Berdasarkan penkiraan yang telah dilakukakan, TCS mampu menambah sebanyak RM12.5 bilion kepada tabung kerajaan, manakala CTS pula sebanyak RM47.5 bilion. Kedua cukai ini berpotensi menghasilkan pendapatan melebihi daripada pendapatan SST.

Namun, kajian yang telus dan teliti berkaitan landskap ekonomi negara perlu sentiasa dilakukan agar perlaksanaan pelan yang dicadangkan mampu berjalan dengan lancar. Penyelesaian yang dikedepankan ini juga direka untuk mengurangkan sebarang ketidakpastian dan mendorong ekonomi untuk berkembang dengan lebih luas.

Sebagai konklusi, pendekatan yang holistik perlu digunakan bagi memastikan pasaran Malaysia kekal berdaya saing, teguh dan menarik kepada para pelabur.

Ditulis oleh

Mazli Noor
Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan
Usahawan PAS Pusat
Penulis merupakan Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat

21 September 2019