MEMAKNAI KEMERDEKAAN: DARI KACA MATA SANG AKADEMIA
Pada tahun 2022 ini, Malaysia telah menyambut Hari Kemerdekaannya buat kali yang ke-65 bertemakan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”. Dalam pada kita meraikan hari yang penuh bersejarah ini, ada sesuatu yang jauh lagi penting untuk dilakukan iaitu mengisi dan memaknai kemerdekaan ini supaya kebebasan yang dikecapi dapat dipertahankan demi kesejahteraan generasi hari ini dan akan datang. Walaupun secara zahirnya sudah berdekad lamanya kita merdeka, namun hakikatnya penjajajan itu masih lagi wujud di minda-minda anak watan kita. Serangan idealogi bangsa asing makin menular dalam kalangan masyarakat tempatan dan tentulah yang paling ketara dapat dilihat pada golongan belia remaja. Ini bukan soal mereka ingat atau tidak fakta atau kronologi kemerdekaan, tahu atau tidak siapakah yang menjajah dan siapa pula tokoh yang menjadi penentangnya. Semua itu pasti diajar di sekolah-sekolah, bahkan di dada-dada akhbar dan media-media juga turut dipaparkan bagi membangkitkan semangat patrioritik dalam diri rakyat Malaysia termasuklah golongan muda ini.
Namun, persoalan yang jauh lebih utama, bagaimanakah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ini perlu untuk menjiwai makna sebuah kemerdekaan. Mudah kata, apa yang sepatutnya perlu dilaksanakan untuk mereka benar-benar menterjemahkan semangat patriotik itu dalam kehidupan. Mungkin mereka boleh sahaja melaungkan “Merdeka” dengan penuh semangat di Dataran Merdeka menjelang tepat jam 12.00 pagi pada 31 Ogos setiap tahun tanpa gagal tetapi sayang seribu kali sayang apabila dilihat cara berpakaian, budaya kehidupan, corak pemikiran bahkan gaya pertuturan masih lagi mengikut-ikut lagak sang penjajah, Sememangnya benar, segala yang baik walaupun datangnya daripada penjajah sudah tentu boleh dijadikan ikutan seperti budaya profesionalisme, “tech savvy” dan gaya kepimpinan yang serba boleh. Walaubagaimanapun, yang dirisaukan apabila anak-anak muda kini lebih cenderung mengambil idealogi mereka yang bertentangan dengan budaya ketimuran dan prinsip agama seperti budaya hedonisme, materialisme, kapitalisme, liberalisme dan juga sekularisme.
Sememangnya secara fizikal kita sudah pun mencapai kemerdekaan, tetapi realitinya mentaliti dan gaya hidup masih lagi dijajah dan ini merupakan satu bentuk penjajahan baharu yang halus berpunca daripada kepesatan teknologi pada masa ini. Menurut Dr. Haslina Muhamad, seorang pensyarah di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, generasi muda terutamanya memang banyak menghabiskan masa dengan gajet dan juga internet dan hal ini kemungkinan besar boleh menyebabkan minda mereka mudah dijajah anasir luar yang berleluasa di media sosial sehingga akhirnya mencorakkan gaya hidup dan cara pemikiran yang sonsang dalam kalangan mereka (Azmi, 2021). Daripada senario ini, dapat difahami bahawa senjata ampuh untuk melawan segala serangan pemikiran dan ideologi ini tidak lain tidak bukan ialah ilmu, dan hal inilah yang menuntut sebuah perjuangan besar dalam kalangan ahli akademik dan cendekiawan untuk menyuburkan kegersangan jiwa generasi pascamerdeka ini dengan siraman ilmu yang membenihkan pohon keperibadian yang unggul.
Mari kita telusuri peranan golongan akademia ini dalam mengisi kemerdekaan. Kebanyakan mereka ini menjawat profesyen sebagai seorang pensyarah dan tentunya mereka lebih dekat dengan golongan mahasiswa. Selain daripada menjalankan tanggunjawab untuk menyampaikan silibus pembelajaran mengikut “course outline” yang ditetapkan, seorang pensyarah perlu mengambil peluang ini untuk menekankan kepentingan membaca dalam kalangan mahasiswa. Saranan ini selari dengan tuntutan agama Islam yang menjadikan perintah membaca sebagai wahyu terawal diturunkan menerusi ayat pertama surah al-‘Alaq berbunyi “Iqra’” yang membawa maksud bacalah. Sesungguhnya, ilmu pengetahuan mampu menjadi cahaya penyuluh untuk membimbing manusia keluar daripada kejahilan ke arah kehidupan yang lebih bertamadun dan berwawasan (Hassan, 2018). Selaku mahasiswa, amalan membaca ini sememangnya perlu dijadikan rutin kehidupan. Daripada membacalah, akan mula minat mereka untuk memahami, mendalami dan mengkaji sesuatu ilmu tersebut sehinggalah mereka dapat menguasai banyak perkara yang pada akhirnya boleh dimanfaatkan kepada ummah sejagat. Sudah tentu semua ini memerlukan proses yang panjang tetapi pokok pangkalnya, perlu bermula dengan membaca.
Seterusnya, para pensyarah juga perlulah mengintegrasikan setiap subjek atau topik pembelajaran dengan ajaran agama terutamanya dalam kalangan mahasiswa Islam. Untuk menghasilkan graduan yang berintelektual tinggi mungkin bukan satu isu yang besar tetapi untuk memastikan jiwa mereka diisi dengan keimanan yang teguh merupakan cabaran utama yang perlu dihadapi dalam era millenia ini. Dengan elemen spiritual inilah diharapkan mahasiswa ini akan menjadi orang yang berintegriti tinggi, teguh pendirian dan amanah dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan atau menggalas tanggungjawab yang dilaksanakan. Pembentukan spiritual yang dibuat perlulah berpandukan tiga elemen utama iaitu pemantapan iman, taqwa dan kesedaran akan balasan pada hari akhirat (Sudi, Sham dan Yama, 2018). Ketiga-tiga elemen ini perlulah dipasakkan teguh ke dalam diri supaya seseorang mampu menjauhi perbuatan keji, mungkar dan maksiat serta seterusnya terdorong untuk sentiasa melakukan kebaikan dan perbuatan terpuji. Hal ini tentunya dapat mengurangkan atau membanteras isu rasuah dan jenayah kolar putih yang berleluasa dalam kalangan mereka yang berautoriti atau individu yang berprofil tinggi. Oleh itu, pentingnya peranan ahli akademik dalam membahaskan atau memasukkan perpektif agama semasa sesi perbincangan dalam bilik kuliah, bahkan wajar untuk mahasiswa ini diuji dengan penilaian yang menjurus ke arah pemantapan nilai spiritual dalam diri. Sebagai contoh, membuat soalan-soalan peperiksaan yang menguji kefahaman tentang penerapan unsur agama dalam sesuatu topik, meminta pelajar menghafal apa-apa surah atau hadis yang berkaitan atau membaca artikel yang mengupas tentang sesuatu isu dan kemudiannya membuat ulasan tentangnya dari sudut pandangan Islam.
Sekiranya ahli akademik khususnya pensyarah menjalankan kedua-dua inisiatif ini, sudah tentu akan lahirlah mahasiwa yang bukan sahaja tajam pemikirannya, bahkan mulia peribadinya dan hebat jiwanya. Berbekalkan semua ini, segala anasir yang ditakuti boleh menggugah prinsip dan jati diri anak-anak muda ini pastinya dapat ditangkas dengan lebih mudah. Tuntasnya, penjajajan minda yang berlaku pada masa ini menuntut untuk budaya ilmu diangkat dan tanggungjawab ini sudah tentunya terletak berat di atas pundak para cendekiawan dan ahli akademik pascamerdeka yang hebat.
Rujukan:
1) Azmi, M. S. (2021, August 30). Minda Orang Muda ‘dijajah’ Budaya Asing. Kosmo Digital. Retrieved September 2, 2022, from https://www.kosmo.com.my/…/minda-orang-muda-dijajah…/
2) Hassan, N. (2018, January 18). Hikmah Kalam Iqra’ Dalam Wahyu pertama. The Patriots. Retrieved September 2, 2022, from https://www.thepatriots.asia/hikmah-kalam-iqra-dalam…/
3) Sudi, S., Sham, F. M., & Yama, P. (2018). Pembentukan Spiritual menurut Islam sebagai Solusi dalam Menangani Permasalahan Sosial: Spiritual Development according to Islam as a Solution in Dealing with Social Problems. The Sultan Alauddin Sulaiman Shah Journal (JSASS), 5(2), 269-278.
Ditulis oleh
Amalina Binti Borhan
Penulis merupakan peserta dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan dan hari Malaysia anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.
14 Ogos 2022
Tagged teguhmembinanegara