MERDEKA: JANGAN ULANGI KESILAPAN LALU, BERSATU MEMBINA PERPADUAN
Resepi kemerdekaan yang diidamkan oleh setiap rakyat untuk dikecapi adalah 3K iaitu Keamanan, Kebahagian dan Kesatuan. Indahnya bumi bertuah ini, divariasi dengan kepelbagaian budaya, etnik dan identiti kaum yang menuntut setiap pihak untuk menghormatinya.
Apabila menyebut perkataan ‘hormat’ maka ada garis sempadan yang perlu dijaga dan dipelihara bagi mengelakkan sensitiviti kaum wujud dalam negara ini.
31 Ogos 1957 genaplah sudah 62 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Namun, dalam usia kemerdekaan yang melebihi setengah dekad ini, masih terdapat sebilangan masyarakat yang dangkal akalnya, mati jiwanya, dengki hatinya melihat wujudnya perpaduan dalam negara ini.
Kerjasama Kaum Tuntut Kemerdekaan
Perpaduan negara yang hendak dicapai perlu meletakkan indikator utama yang menjadi asas keharmonian negara. Fokus utama adalah untuk menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak, terutamanya tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.
Sejarah membuktikan bagaimana fasa demi fasa hubungan kaum itu dibina bagi membentuk sebuah negara berdaulat. Kerjasama mereka diikat dengan kefahaman bahawa negara ini perlu dibebaskan ditangan penjajah.
Maka barangkali, dari awal mereka berikrar sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk sehingga tercapainya kemerdekaan dengan gabungan parti orang Melayu, Cina dan India.
Lupakah kita, bagaimana Francis Light membawa masuk imigran secara besar-besaran apabila berjaya menduduki Pulau Pinang pada bulan Ogos 1768 sehingga terbentuk masyarakat majmuk dalam negara ini?
Lupakah kita, bagaimana kuasa Eropah membawa misi serampang tiga mata iaitu Gospel, Gold dan Glory untuk membiakkan leluhur mereka di Tanah Melayu?
Barangkali kita lupa kesannya.
Tidak wujud interaksi.
Tidak wujud kesefahaman.
Tidak wujud keserasian.
Tidak wujud perpaduan.
Oleh sebab itu, menyedari akan kepincangan yang berlaku, maka bangkit rakyat bersatu menentang kejahilan yang dibawa oleh penjajah.
Masihkah kita ingat pada saat delegasi yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman menuntut kemerdekaan membuahkan hasil yang manis pada tanggal 31 Ogos 1957?
Adakah Kita Benar Merdeka?
Masihkah kita ingat pada waktu laungan ‘Merdeka’, semua rakyat tanpa mengira kaum bersama melaungkan kata keramat itu?
Terlakar indah perpaduan yang dibina. Itu dulu. Sekarang, adakah perpaduan jadi ampuh atau lumpuh?
Jangan biarkan pisang berbuah dua kali. Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 telah menjadi barah dan menggugat keharmonian perpaduan dalam negara ini. Peristiwa itu peru menjadi iktibar buat semua rakyat Malaysia.
Maknailah erti kemerdekaan yang telah kita kecapi ini. Kita telah merdeka, namun merdeka kita bukan sekadar merdeka dari cengkaman penjajah tetapi lebih dari itu.
Kita perlu merdeka dari permusuhan, merdeka jiwa dari hasad dengki dan merdeka diri dari sikap negatif. Kesatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyat perlu disatukan kembali. Jauhilah permusuhan dan perpecahan kerana Islam melarang ummatnya berpecah belah.
Allah SWT berfirman;
“Dan berpegang teguhlah kalian pada tali Allah dan jangan berpecah belah”
[Ali Imran:103]
Jabatan Profesional Muda (JPro) mengajak semua warga Malaysia untuk bersama mengeratkan kembali ikatan perpaduan. Bersatulah atas dasar-dasar Islam.
Ayuh kita kembali bersama bersatu padu dalam membina sebuah negara yang aman dan harmoni.
Ditulis oleh
30 Ogos 2019