Jabatan Profesional Muda – JPro

PENGALAMAN INDUSTRI PETROLEUM GEOSAINS: CARI ATAU GALI?

Petroleum Geosains (PGs) adalah salah satu kursus pengajian yang ditawarkan di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) yang berdurasi empat (4) tahun sebelum bergelar seorang graduan. Satu bidang pembelajaran yang menarik yang merangkumi teori dan kerja lapangan ke sungai, bukit dan hutan. Bidang ini sangat sesuai kepada mereka yang suka akan keindahan alam, meneroka dan mengambil iktibar di sebalik setiap struktur tanah bumi. Pandangan yang akan diutarakan di sini adalah berdasarkan pengalaman lapan (8) bulan praktikal di salah sebuah syarikat minyak termuka di Malaysia.

1. Apa itu Petroleum? Bagaimana ia terbentuk? Petroleum terbentuk berjuta-juta tahun dahulu yang terdiri daripada hidupan laut yang telah mati. Apabila hidupan laut mati maka bangkai mereka tenggelam ke dasar laut kemudian ditimbus oleh sedimen, lapisan pasir yang memendap. Seterusnya pereputan separa akan berlaku dalam keadaan kekurangan oksigen dengan bantuan bakteria. Akhirnya, penguraian di bawah suhu dan tekanan yang tinggi akan menghasilkan petroleum dan gas asli.

2. Apa pula Petroleum Geosains? Ia adalah satu bidang untuk mengkaji bahagian bumi yang berpotensi menyimpan hasil minyak di celahan batuan yang berpori. Bidang yang ditawarkan ini sedikit berbeza dengan bidang Geologi Umum kerana Petroleum Geosains memberi satu kelebihan untuk belajar sedikit mendalam kepada proses pencarian minyak.

3. Secara umum, bila disebut sahaja perkataan petroleum, ada sahaja yang terus mendefinisikan sebagai proses penggalian minyak. Ya, tidak dinafikan bahawa memang betul bidang ini mengeluarkan minyak tapi sebenarnya Geosaintis ini lebih menumpukan kepada proses pencarian minyak.

4. Apa yang dikatakan dengan proses pencarian minyak? Ia adalah satu tempoh masa yang diambil oleh para Petroleum Geosains untuk mengkaji kawasan berpotensi petroleum terkumpul tertumpu kepada bentuk struktur muka bumi, sejarah pembentukan struktur, penilaian kandungan potensi hidrokarbon (minyak/gas) yang terperangkap dan juga aspek kebederaan yang membenarkan petroleum terkumpul termasuklah jenis bebatuan asal, bebatuan reservoir, adanya perpindahan hidrokarbon dari bebatuan asal ke bebatuan reservoir, dan jebakan yang membenarkan hasil petroleum ini terperangkap di antara dua lapisan batuan yang tidak telap.

5. Proses penggalian pula yang mana ramai menganggap kerja seorang Petroleum Geosaintis itu bukanlah salah tetapi kurang tepat dengan kerja sebenar. Tidak dinafikan skop kerja penggalian memang memerlukan seorang Geosaintis namun tugas Geosaintis lebih besar sumbangannya semasa proses pencarian. Seorang Jurutera Petroleum (Petroleum Engineering) adalah orang fokal semasa penggalian.

6. Maka merujuk kembali kepada soalan tema: Cari atau Gali?, bidang tugas Petroleum Geosaintis lebih tepat kepada proses pencari hidrokarbon.

7. Suka untuk saya berkongsi pengalaman sebagai seorang Geologis Operasi (Operation Geologist, OPG) semasa latihan industri. Skop kerja yang ditugaskan adalah untuk menilai keadaan target bebatuan yang dianggap mempunyai petroleum terkumpul sepertimana keputusan hasil kajian awal yang telah dibuat di tempat target telaga tersebut. Sekiranya telaga tersebut mempunyai nilai komersial, maka terbuktilah kawasan itu menyimpan sejarah dan mempunyai aspek-aspek bebatuan potensi petroleum terkumpul yang bersesuaian sepertimana yang dinilai semasa peringkat kajian awal. Kajian awal adalah kajian sasaran yang dibuat sebelum telaga digali.

8. Tugas Geologi Operasi (OPG) digandingkan dengan Wellsite Geologist (WSG) yang mana dihantar ke pelantar minyak untuk berada secara langsung memeriksa dan memantau keputusan telaga minyak. Tugas tersebut termasuklah melaporkan jenis bebatuan dan membuat uji kaji pemeriksaan jenis dan kualiti hidrokarbon terkumpul. Apa bezanya antara Operation Geologist dan Wellsite Geologist? Jawapannya adalah tempat operasi. Operation Geologist ditugaskan di pejabat manakala Wellsite Geologist dihantar ke pelantar minyak.

9. Maka untuk menjawab persepsi antara cari atau gali bagi seorang Petroleum Geosaintis adalah, tugas Petroleum Geosaintis lebih kepada penelitian dan terlibat secara langsung semasa proses pencarian petroleum terkumpul, mencari dalam erti kata membuat kajian awal atau meneliti dalam aspek yang telah disebut untuk merungkai kandungan isi bumi.

10. Bagaimana kajian awal dilakukan? Kajian awal dilakukan menggunakan teknik interpretasi data imej yang terhasil daripada kiraan pantulan masa-kedalaman untuk merungkai struktur tempat berpotensi. Kajian awal akan ditimbang tara dan dibandingkan dengan kajian data selepas tempat tersebut digali untuk terus meneroka lokasi berpotensi hasil minyak. Kajian awal yang dilakukan oleh barisan hadapan Petroluem Geosaintis biasanya menyambil masa selama enam (6) bulan sehingga 1 tahun untuk menginterpretasi data seismik (imej) sedia ada sebelum membuat keputusan untuk proses penggalian minyak.

11. Hasil dapatan kajian oleh Petroleum Geosaintis akan menyumbang kepada penemuan telaga minyak yang baru. Penemuan telaga minyak baru mesti dimulakan di peringkat hasil kajian awal oleh para Petroleum Geosaintis. Telaga minyak di Malaysia yang lebih tertumpu kepada laut dalam di perairan Sabah manakala sepertimana yang kita dikhabarkan penemuan minyak di perairan Mexico pula dari pecahan batuan granit. Sangat menarik, bukan?

12. Tugas seorang Geosantis ini sangat membuka mata kepada saya untuk lebih mengenali keajaiban alam yang tersimpan di dalam perut bumi. Kajian sejarah pembentukan sesebuah struktur memberi peluang kepada saya untuk lebih mengenali sifat Allah yang Ar-Rahman. Pergerakan bumi dan isinya yang terimpan dan tidak jelas dari pandangan kasar mata manusia yang mana direkodkan berlaku jutaan tahun dahulu terus memberi peluang pekerjaan dan sumber pendapatan bumi kepada semua penduduknya.

13. Secara umum, Geologi atau lebih spefisik Geosains bukanlah bidang yang tertumpu kepada proses pencarian minyak sahaja namun lebih menarik daripada itu. Kepakaran seseorang dalam bidang Geologi juga sangat diperlukan untuk membina jalan raya, contohnya menguji potensi ketahanan mendapan tanah dan juga jenis bebatuan yang sesuai bagi menjamin keselamatan jalan raya. Bagi pencinta haiwan pula, Geologi dapat mengenalpasti dan merungkai asal usul habitat walau seekor kerang.

Ditulis oleh

Ain Natasha Mohd Nasir
Penulis merupakan seorang graduan bidang kejuruteraan daripada sebuah universiti tempatan yang terkemuka. Pandangan dan isi kandungan artikel ini adalah bersifat peribadi.
 

2 Julai 2020