Jabatan Profesional Muda – JPro

Pengangkutan & Infrastruktur Awam Malaysia Yang Terlantar: Kegagalan Tadbir Urus, Ketempangan Federalisme dan Jalan Keluar Menurut Siyasah Syar’iyyah

Malaysia sebagai sebuah negara membangun seharusnya sudah mencapai tahap kemudahan mobiliti awam bertaraf dunia. Namun, dari 2017 hingga 2025, statistik dan realiti lapangan mendedahkan kelembapan ketara dalam pembangunan pengangkutan awam. Ketika negara-negara seperti Korea Selatan, Belanda dan China memperluas jaringan metro dan kereta api kelajuan tinggi, Malaysia masih bertelagah soal tender, keutamaan wilayah, dan pembaziran sumber akibat terabainya prinsip maqasid syariah dan fiqh siyasah dalam dasar negara.

Isu pembangunan pengangkutan awam di Malaysia terus menjadi topik perbincangan kritikal dalam kalangan rakyat, terutamanya apabila pelbagai projek mega dilancarkan saban tahun, namun kesan terhadap rakyat di kawasan luar bandar dan negeri-negeri yang kurang membangun masih minimum. Meskipun terdapat projek seperti MRT, LRT, ECRL dan sebagainya, Malaysia belum berjaya merangka sistem pengangkutan awam yang benar-benar menyeluruh, berintegrasi dan adil kepada semua wilayah.

Kegagalan ini tidak hanya bersifat teknikal tetapi berakar pada struktur tadbir urus yang tidak menyeluruh dan ketidakseimbangan pengagihan sumber yang mencerminkan kelemahan dalam keadilan wilayah dan integriti fiskal. Lebih membimbangkan, sesetengah projek lebih menampakkan kepentingan geoekonomi negara luar berbanding maslahah rakyat Malaysia sendiri.

ISU-ISU UTAMA

1. Ketempangan Akses Mobiliti dan Infrastruktur Wilayah

Terdapat ketidakseimbangan ketara dari segi liputan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam antara Lembah Klang, Wilayah Selatan dengan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang. Kawasan luar bandar sering terpinggir daripada pembangunan rel dan pengangkutan bersepadu. Sebagai contoh nyata, Laluan Timur-Barat dari Gerik ke Jeli yang menjadi nadi penghubung kritikal antara negeri Pantai Timur (Kelantan) dan Utara (Perak, Kedah) kekal dalam keadaan berisiko tinggi, berliku tajam, sempit, dan mudah terdedah kepada tanah runtuh serta kabus tebal. Kelewatan dalam menaik taraf laluan ini mencerminkan kegagalan sistemik dalam perancangan berasaskan keperluan sebenar rakyat.

Sabah dan Sarawak terus bergelut dengan kelambatan Pan Borneo Highway, meskipun ia sudah bermula sejak dua dekad lalu. Namun, kerajaan mempercepatkan projek LRT Mutiara di Pulau Pinang, projek baharu yang bukan keperluan mendesak jika hendak dibandingkan dengan infrastrukturinfrastruktur laluan utama negara.

2. Struktur Tadbir Urus yang Lemah dan Tertumpu

Tadbir urus sektor pengangkutan awam terpecah-pecah antara pelbagai entiti dan kementerian. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dahulunya bertindak sebagai penyelaras bebas telah dibubarkan dan digantikan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang terhad dari segi kuasa perundangan dan pelaksanaan. Berbanding dengan Land Transport Authority (LTA) Singapura, yang mempunyai mandat menyeluruh dalam perancangan, pelaksanaan dan pengawalseliaan sistem pengangkutan secara menyeluruh, Malaysia kekal dengan agihan kuasa yang tidak bersepadu antara Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) .

3. Kelemahan Model Pembiayaan dan Ketidaksinambungan Entiti

Projek-projek mega seperti ECRL menggunakan model pembiayaan luar yang berisiko tinggi kepada fiskal negara. Malaysia Rail Link (MRL) yang bertanggungjawab terhadap ECRL adalah entiti berasingan daripada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) , menyebabkan kurangnya sinergi dalam perancangan laluan, operasi dan penyelenggaraan. Tambahan pula, projek ini tidak mengutamakan kebolehcapai rakyat tempatan secara langsung, sebaliknya lebih menjurus kepada pelaburan geoekonomi luar khususnya China.

4. Kelemahan Tadbir Urus dan Ketelusan

Prasarana dan MRT Corp, walaupun merupakan syarikat milik penuh kerajaan (GOC), tidak bebas daripada tekanan politik, kelemahan tadbir urus dan ketelusan. Mereka tidak beroperasi di bawah satu pelan strategik nasional yang terintegrasi seperti di Singapura.

Malaysia Rail Link (MRL) sebagai pelaksana ECRL tidak berada di bawah pengurusan KTMB atau satu badan bersepadu. Keadaan ini mewujudkan ketidakselarasan dari segi operasi, tiket, penyelenggaraan dan perancangan. Berbeza dengan negara-negara maju yang mempunyai satu entiti nasional seperti JR Group di Jepun atau DB di Jerman.

5. SPAD vs APAD: Pengurangan Kuasa dan Arah Strategik

Sejak pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan digantikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), sistem kawal selia pengangkutan awam kelihatan lebih lemah. Tidak seperti Land Transport Authority (LTA) Singapura yang mengawal dasar, pelaksanaan dan integrasi sistem pengangkutan secara holistik, APAD tidak mempunyai kuasa penuh dan bebas untuk menjalankan fungsi tersebut. Ketiadaan badan penyelaras bebas telah melemahkan integrasi sistem
pengangkutan nasional.

6. Urbanisasi Tak Terkawal dan Penghijrahan ke Bandar

Ketidakseimbangan pembangunan pengangkutan luar bandar menyebabkan penghijrahan besarbesaran ke bandar seperti KL dan Pulau Pinang. Ini menyebabkan kesesakan, tekanan perumahan dan sosial di bandar serta kemunduran berterusan di luar bandar. Projek-projek utama banyak tertumpu di Lembah Klang dan Wilayah Selatan, sedangkan negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis memiliki potensi besar untuk dibangunkan melalui sistem logistik dan pengangkutan moden.
Contohnya, Kedah Aerotropolis (KXP) telah diketepikan sedangkan ia berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi di Kedah Utara dan Perlis secara signifikan.

CADANGAN PENYELESAIAN BERASASKAN FIQH SIYASAH, MAQASID SYARIAH & ANALISIS GEOEKONOMI TEMPATAN

1. Pewujudan Indeks Keadilan Infrastruktur Wilayah Nasional

Hasil & Justifikasi: Membolehkan keutamaan projek ditentukan berdasarkan data keperluan sebenar rakyat, bukan atas dasar pengaruh politik. Contohnya, jika CSR disiapkan sepenuhnya dan KXP diteruskan, ia akan mempercepatkan pengembangan ekonomi di Kelantan, Kedah dan Perlis. Ini menyeimbangkan aliran pelaburan dan pekerjaan, sekaligus mengurangkan kesesakan bandar.

Prinsip Islam: Maslahah Mursalah dan Raf‘ al-Haraj (mengangkat kesusahan rakyat).

2. Penubuhan Suruhanjaya Hisbah Infrastruktur

Hasil & Justifikasi: Badan bebas ini akan memantau tender dan perjalanan projek agar tidak berlaku penyelewengan. Ia akan bertindak seumpama National Audit Office di UK tetapi berlandaskan prinsip amanah dalam Islam. Ini penting untuk mengelak kelewatan dan pembaziran seperti dalam kes Pan Borneo dan ECRL. Ia juga mengambil pelajaran daripada pembubaran SPAD dan penubuhan APAD, yang menyebabkan kelemahan fungsi pemantauan. Suruhanjaya ini berperanan menyelaras pelaksanaan di bawah MOT, KKR dan agensi teknikal secara lebih efektif.

Prinsip Islam: Wilayah al-Hisbah dalam siyasah sebagai pelindung amanah awam.

3. Dasar Nasional Mobiliti Rakyat B40 dan Luar Bandar

Hasil & Justifikasi: Pengangkutan awam murah dan sistematik di kawasan luar bandar akan mengurangkan penghijrahan besar-besaran ke bandar. Ini dapat mengurangkan kesesakan di bandar dan meningkatkan keseimbangan sosial. Jika Kelantan dan Terengganu diberi sistem bas dan rel ringan tempatan, ekonomi tempatan akan lebih hidup. Peningkatan kualiti jalan seperti Laluan Gerik–Jeli juga akan mengurangkan kemalangan maut dan mempercepatkan logistik antara negeri.

Prinsip Islam: Hifz al-Nafs dan Hifz al-Mal (menjaga nyawa dan harta).

4. Pemerkasaan GLC dengan Tadbir Urus Beretika dan Cekap

Hasil & Justifikasi: GOC/GLC seperti Prasarana dan MRT Corp perlu bebas dari tekanan politik dan patuh syariah dalam kontrak serta operasi. Walaupun ia merupakan syarikat GOC (government-owned companies), ketelusan dalam pengambilan keputusan dan keutamaan rakyat harus diutamakan.

Penyelarasan MRL dengan KTMB penting untuk menyatukan rangkaian rel negara. Tanpa sinergi,
pelaburan infrastruktur besar menjadi sia-sia.

Prinsip Islam: Wilayah al-Istikhlaf (khalifah menjaga amanah masyarakat dengan telus).

5. Benchmark dengan Negara Maju & Pengembangan Ekonomi di “Northern Malay Heartland”

Hasil & Justifikasi: Pelaksanaan sistem rel dan jalan raya di luar bandar seperti Korea Selatan dan Turki menunjukkan bahawa infrastruktur yang adil akan melonjakkan potensi ekonomi wilayah. Malaysia boleh mencontohi UAE dalam membangunkan logistik pertanian moden di pantai timur dan utara.

Negeri seperti Kedah, Kelantan dan Pahang memiliki tanah subur untuk pertanian pintar jika logistik dihubungkan dengan baik. Ini akan membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada zon metropolitan.

Prinsip Islam: Tanfīdh al-Maslahah (pelaksanaan maslahat secara strategik).

Reformasi Sedia Ada dan Keperluan Penambahbaikan

Kerajaan Madani telah menggerakkan beberapa reformasi awal seperti menambah peruntukan kepada sektor pengangkutan dan memperkemas kelulusan projek berimpak tinggi. Namun tanpa pelaksanaan mekanisme pengawasan bebas dan penunjuk prestasi berasaskan keperluan rakyat, pembaharuan ini masih bersifat permukaan.

Isu struktur seperti pemisahan entiti MRL dan KTMB, ketiadaan indeks keadilan wilayah, serta penggantian SPAD kepada APAD yang mengecilkan kuasa kawal selia masih belum diselesaikan. Oleh itu, reformasi yang lebih mendalam seperti pewujudan indeks keadilan wilayah dan suruhanjaya bebas adalah keperluan mendesak.

KESIMPULAN: REFORMASI SISTEM PENGANGKUTAN UNTUK KEADILAN RAKYAT

Malaysia sedang berada di persimpangan penting antara pembangunan terancang dan pembangunan bersifat elit. Rakyat luar bandar, terutama di negeri seperti Kelantan, Kedah, Perlis dan Pahang, tidak harus terus menjadi mangsa kelewatan pembangunan infrastruktur. Dengan melaksanakan pendekatan berasaskan fiqh siyasah, maqasid syariah dan prinsip keadilan geopolitik, Malaysia mampu melonjak sebagai negara maju yang benar-benar menyantuni semua wilayahnya. Artikel ini bukan sekadar analisis ilmiah, tetapi satu seruan kepada rakyat, ahli akademik dan pembuat dasar untuk memperjuangkan sistem pengangkutan yang lebih adil dan lestari.

Nota Penulis: Artikel ini ditulis berdasarkan semakan data dasar awam, laporan pembangunan pengangkutan, dan pemerhatian terhadap trend semasa antara 2017 hingga 2025. Ia bertujuan mencetuskan perbincangan dasar yang lebih kritikal dan berwawasan

Ditulis oleh

MUHAMMAD LUTFI SAYYID HUSSAIN
Sub-Kluster Kejuruteraan, Lebuhraya dan Pengangkutan

**Penafian: Segala pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pandangan keseluruhan JPro.

16 Julai 2025