PERDANA MENTERI INTERIM: PANDANGAN DARI SUDUT PERLEMBAGAAN MALAYSIA
“Interim” boleh didefinisikan sebagai sesuatu yang sementara dalam satu tempoh perantaraan sehingga suatu ketetapan diputuskan. Contoh yang paling dekat adalah seorang guru interim yang tidak dikira sebagai berkhidmat secara tetap. Merujuk kepada keadaan yang berlaku di Malaysia, istilah Perdana Menteri Interim tiada dalam Perlembagaan Negara, maka fungsi dan ruang lingkup kuasa Perdana Menteri Interim perlu diperhalusi dengan merujuk kepada beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkait dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA), kuasa Perdana Menteri dan pembentukan Jemaah Menteri dan keseluruhan maksud Perlembagaan itu sendiri.
Sehubungan dengan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Perdana Menteri Interim oleh YDPA sehingga perlantikan Perdana Menteri yang baru dilakukan oleh YDPA. Sebagaimana Perkara 40(2) Perlembagaaan Persekutuan dinyatakan bahawa YDPA boleh bertindak menurut budi bicaranya untuk melantik seorang Perdana Menteri dan juga berhak untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri.
Berbeza dengan istilah “Caretaker Government” di mana ianya adalah kerajaan sementara yang terbentuk setelah pembubaran Parlimen dan kuasanya adalah terhad sebagaimana Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan. “Caretaker Ministers” tidak boleh membuat keputusan-keputusan besar yang berkait dengan dasar negara, treaty, bajet dan lain-lain.
Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan, Jemaah Menteri hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh YDPA sehingga pelantikan tersebut dibatalkan oleh YDPA atas nasihat seorang Perdana Menteri. Dalam Perkara 43 juga menyebut YDPA mempunyai kuasa melantik Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri dari mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu dan atas nasihat Perdana Menteri. Baginda hendaklah melantik mana-mana ahli Parlimen untuk membentuk sebuah Jemaah Menteri.
Berdasarkan peruntukan ini, melalui pengumuman yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, YDPA telah membatalkan perlantikan Menteri-Menteri atas nasihat Perdana Menteri Interim pada 24/02/2020 selaras dengan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Tiada tempoh masa tertentu ditetapkan bagi seseorang Perdana Menteri Interim mengisi kekosongan sementara jawatan Perdana Menteri. Perdana Menteri Interim juga berhak untuk melantik mana-mana ahli kabinet mengikut pertimbangannya.
Dari sudut undang-undang Perlembagaan, perletakan jawatan oleh seorang Perdana Menteri membawa maksud perletakan jawatan seluruh anggota Kabinet, sekali gus mengukuhkan prinsip dalam Perkara 43(5) Perlembagaan, sebagaimana dinyatakan dalam penulisan Dr Muhammad Fathi Yusof. Tambahnya lagi, walaupun tiada Kabinet, pentadbiran biasa kerajaan masih tetap berjalan dan situasinya hampir sama dengan situasi pembubaran Parlimen. Ini merupakan manifestasi konsep Raja Berpelembagaan yang berjalan seiring dengan Demokrasi Berparlimen yang menjadikan sistem pentadbiran negara mampu untuk terus stabil walaupun terdapat kekosongan jawatan dalam badan utama kerajaan.
Memetik kata-kata Profesor Datuk Salleh Buang di dalam Sinar Harian, “Mengikut peruntukan perlembagaan, negara mesti mempunyai seorang ketua kerajaan iaitu Perdana Menteri. Dari segi bahasa undang-undang, interim bermaksud sementara. Dari segi Bahasa Melayu, ia bererti tidak rasmi, tetapi kalau mengikut perlembagaan, memang (perdana menteri interim) tidak ada.” Beliau turut mengulas lanjut berkenaan “Caretaker Government”, “Jika hendak cakap sebagai caretaker (kerajaan sementara), perkara ini berlainan, kerana ia bermaksud kerajaan sudah habis tempoh satu penggal.”
Secara tuntasnya, yang dimaksudkan dengan kuasa seorang Perdana Menteri Interim adalah tertakluk kepada kuasa YDPA yang memainkan peranan sebagai ketua utama negara dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen. Maka, sementara menunggu penubuhan sebuah kerajaan baru, perlantikan Perdana Menteri Interim adalah wajar bagi membantu YDPA untuk menjalankan pentadbiran negara dalam keadaan seluruh kabinet digugurkan.
Sumber:
1. Perlembagaan Persekutuan
2. Constitution Of Malaysia: Text and Commentary
Ditulis oleh
28 Februari 2020