Jabatan Profesional Muda – JPro

Kebergantungan Teknologi Luar: Kebocoran Ekonomi yang Kita Abaikan

Dalam dunia kejuruteraan, kita diajar bahawa struktur yang stabil mesti dibina atas keseimbangan beban dan sokongan. Apabila satu komponen kritikal berubah dan beban bertambah tetapi tiang sokongan tidak dikemaskini, maka struktur tersebut akan rosak dan runtuh, bukan secara tiba-tiba brittle failure, tetapi secara perlahan-lahan, ductile failure. Begitulah hakikat cengkaman politik kuasa Melayu Islam hari ini.

Ia tidak tumbang secara tiba-tiba, tetapi sedang melemah secara perlahan-lahan dalam keadaan kita semua leka. Dan buat masa ini, ramai dalam kalangan professional seperti jurutera, doktor, pegawai kerajaan malahan agamawan hanya meletakkan isu politik sebagai urusan “orang lain”, sedangkan struktur kuasa yang menentukan masa depan agama dan bangsa sendiri sedang mengalami structural fatigue, secara senyap-senyap.

Salah satu aspek yang paling besar namun kurang diberi perhatian ialah proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, yang dijangka berlaku tidak lama lagi. Ia bukan sekadar perubahan teknikal peta pilihan raya. Ia adalah re-engineering kuasa politik nasional. Jika tidak difahami dan ditangani secara strategik, kita yang kononnya golongan profesional, mungkin menjadi saksi kehilangan pengaruh agama dan bangsa sendiri dalam pentadbiran negara, walaupun kita semakin maju secara individu.

Sebagai contoh, kerusi-kerusi Parlimen bandar seperti Bangi, Damansara, Subang, dan Kepong, yang kini dikuasai DAP, mempunyai antara 250,000 hingga 300,000 pengundi, tiga kali ganda lebih ramai berbanding kerusi luar bandar yang sering dimenangi oleh parti dominance Melayu. Berdasarkan prinsip demokrasi, persempadanan semula yang dibenarkan oleh undang-undang dan perlembagaan , kawasan-kawasan ini wajar dipecahkan kepada 2 atau 3 kerusi Parlimen baharu. Maka, DAP berpotensi menggandakan kerusinya dari 40 kepada lebih 50 hingga 55 kerusi, menjadikannya parti tunggal terbesar di Parlimen, dengan potensi membentuk kerajaan tanpa bergantung kepada mana-mana parti Melayu.

Situasi ini akan menjadi lebih parah jika RUU URA dilaksanakan. Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memaklumkan bahawa draf akhir RUU URA telah pun diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk semakan terakhir, menandakan pelaksanaan akta ini sudah berada di ambang realiti. Beliau menjelaskan bahawa akta ini akan membuka laluan kepada pembangunan semula kawasan strata lama melalui kaedah jualan secara “en-bloc,” walaupun tidak semua pemilik bersetuju. Inilah titik genting yang perlu difahami oleh masyarakat Melayu di bandar.

Pelaksanaan Urban Renewal Act (URA) bakal membawa implikasi yang jauh lebih buruk daripada sekadar pembangunan semula fizikal bandar. Meskipun digambarkan sebagai inisiatif untuk memperbaharui kawasan usang, hakikatnya, RUU URA juga boleh menjadi alat pengubah komposisi penduduk dan undi, terutamanya di kawasan bandar yang masih mempunyai penempatan majoriti Melayu, seperti Kampung Baru, Kerinchi, Sentul, dan kawasan flat kos rendah di Lembah Klang.

Jika RUU URA dilaksanakan tanpa pelindungan yang telus dan adil, kawasan-kawasan lama yang selama ini menjadi kubu demografik Melayu akan dibangunkan semula menjadi hartanah moden bertaraf tinggi seperti kondominium mewah, dan pusat komersial. Akibatnya, harga hartanah akan melambung, dan penduduk asal yang kebanyakannya orang Melayu dari kelas menengah bawah tidak akan mampu kembali tinggal di kawasan itu selepas pembangunan siap.

Situasi ini bukan hanya soal kehilangan tempat tinggal, tetapi juga merupakan satu bentuk pemindahan kuasa undi secara sistematik. Apabila kawasan yang dulunya dimonopoli oleh pengundi Melayu digantikan oleh golongan berpendapatan tinggi, yang kebanyakannya bukan Melayu dan lebih cenderung menyokong parti seperti DAP, maka komposisi pengundi berubah secara mendadak.

Dalam konteks persempadanan semula, RUU URA menjadi pelengkap kepada usaha “persempedanan” yang boleh diguna sama ada untuk mempertahankan status quo politik atau menyusun semula kekuatan parti. Jika sempadan baru dibentuk berdasarkan komposisi penduduk pasca-URA, undi kawasan tersebut akan berpihak kepada parti tertentu secara politik, khususnya DAP yang sudah lama mendominasi bandar-bandar utama.

Ringkasnya, RUU URA bukan sekadar akta pembangunan. Ia adalah alat pengubah struktur politik bandar, dan jika tidak diperhalusi dengan ketelusan dan keseimbangan etnik, ia akan menjadi pencetus penghapusan kuasa politik Melayu bandar yang berlaku bukan secara paksa, tetapi melalui taktikal undang-undang untuk tujuan politik kotor jangka masa panjang.

Sebagai golongan profesional yang hidup di bandar, kita tidak harus memandang isu ini secara sempit. Ya, kita nikmati gaji yang baik, rumah yang selesa, dan akses pendidikan yang luas. Tapi semua itu wujud kerana sistem dasar sedia ada masih mengekalkan pelbagai inisiatif Bumiputera dan keistimewaan Melayu didalam perlembagaan. Jika kuasa legislatif berubah tangan, dasar-dasar seperti biasiswa Mara, kouta universiti, geran perniagaan, dan pemilikan hartanah Bumiputera berpotensi dirasionalisasikan atas nama meritokrasi dan kesamarataan yang secara tidak langsung akan menghapuskan kelebihan orang melayu secara sistematik.

Sebagai jurutera, kita faham betapa pentingnya redesign atau optimization mesti berlandaskan prinsip objektif untuk kebaikan menyeluruh. Tapi dalam politik, persempadanan semula boleh dijadikan alat untuk memecah kekuatan lawan demi kepentingan kiasu yang negatif. Ini bukan teori. Ia telah berlaku sebelum ini dan akan berlaku lagi.

Jadi, kita perlu memberi tekanan agar proses itu dilaksanakan secara telus dan seimbang berdasarkan keperluan sosial yang sebenar, bukan hanya tertumpu kepada nisbah penduduk dengan sempadan parlimen secara literal.

Golongan profesional Melayu tidak boleh kekal bisu. Kita mungkin tidak lagi bergantung kepada bantuan kerajaan, tetapi generasi akan datang masih perlukan sistem sokongan untuk naik ke tahap kita. Kita mungkin tinggal di kota dan rasa “safe”, tetapi tanpa kuasa dalam Parlimen, suara kita akan menjadi minoriti dalam negara sendiri.

Jadi, kita perlu tampil bukan sekadar sebagai pengundi, tetapi sebagai penentu naratif dan penjaga sempadan kuasa bangsa sendiri. Kita mesti celik politik, bukan partisan, tetapi berprinsip. Kita mesti bercakap dalam mesyuarat alumni, dalam forum profesional, dalam ruang kerja, memberi penerangan kepada sanak-saudara dan generasi-generasi muda, tentang pentingnya celik politik dan penyatuan arah politik Melayu Islam. Kita perlu sedar bahawa kuasa politik Melayu Islam tidak semestinya dirampas secara total, tetapi ia boleh hilang jika kita masing-masing tidak cakna dan tidak mengambil kisah hal-hal teknikal seperti ini.

Oleh itu, Kluster Kejuruteraan khususnya, mewakil golongan profesional Melayu Islam, menyeru semua profesional di luar sana agar terus menyokong dan menjadi tiang kestabilan politik agama dan bangsa. Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi?

Ke kota belajar jadi jurutera,
Pulang gagah bangga bergaya.
Kalau si-cerdik semua diam sahaja,
Cucu cicit hilang hak istimewa.

Ditulis oleh

Ts. Dr. Khairul Anuar
Kluster Kejuruteraan.

10 Julai 2025