Dewan Rakyat memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia. Antara peranan Dewan Rakyat adalah untuk membahas, meminda dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) sebelum dihantar ke Dewan Negara untuk diluluskan. Pada hari Isnin bersamaan 9 Disember 2024, Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 (dikenali juga sebagai Akta 588) yang bakal mengubah landskap politik di negara kita.
Daripada 222 Ahli Parlimen yang telah dipilih, seramai 122 orang tidak hadir dan hanya 100 orang yang hadir terlibat dalam proses pengundian Akta 588 ini selepas bacaan kedua dan ketiga pada hari tersebut. Seramai 59 Ahli Parlimen mengundi bersetuju dengan pindaan Akta 588 manakala 40 orang lagi tidak bersetuju. Hanya seorang Ahli Parlimen tidak mengambil bahagian.
Secara asasnya, Akta 588 yang mempunyai 282 seksyen ini dibuat dengan tujuan mewujudkan rangka kerja perlesenan dan pengawalseliaan untuk menyokong matlamat dasar kebangsaan bagi industri komunikasi dan multimedia. Akta ini bukan sahaja mewujudkan kuasa dan fungsi bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), malah mewujudkan kuasa dan tatacara bagi pentadbiran Akta.
Pindaan Akta 588 ini pula dibuat dengan tujuan untuk meminda peruntukan sedia ada bagi maksud penambahbaikan, pengenalan peruntukan baharu dan pindaan berbangkit kepada pengenalan peruntukan baharu dan pindaan kepada peruntukan sedia ada. Pindaan ini merangkumi aspek pembangunan industri, keselamatan rangkaian dan pengurusan media baharu. Secara keseluruhan, hampir 100 seksyen yang telah dipinda.
Usaha Kerajaan untuk menambah baik Akta 588 yang telah berkuatkuasa sejak 1 April 1999 ini perlu diraikan. Namun begitu, daripada 100 seksyen yang dipinda, pindaan beberapa seksyen telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan Ahli Parlimen khususnya Seksyen 211 iaitu larangan terhadap pemberian kandungan jelik dan Seksyen 233 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dll.
Pindaan Seksyen 211 memperuntukkan kuasa kepada SKMM di bawah Seksyen 51 untuk mengarahkan penyedia perkhidmatan aplikasi kandungan menggantung perkhidmatan mereka bagi tempoh yang ditetapkan sekiranya melanggar mana-mana peruntukan dalam Bab 2, melanggar mana-mana syarat lesen individu atau lesen kelas berkaitan dengan kandungan atau gagal untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Menteri atau Suruhanjaya yang berkaitan dengan kandungan.
Pindaan Seksyen 233 pula menggariskan sehingga enam (6) jenis kandungan yang boleh diambil tindakan undang-undang termasuklah (a) kandungan yang boleh menimbulkan ancaman merangkumi kandungan yang menyebabkan gangguan, ancaman berbahaya dan jahat, menggalakkan atau menghasut tindakan jenayah, atau mencetuskan kekacauan awam dan (b) kandungan jelik melampau merangkumi kandungan yang mengandungi kata-kata kesat dan tidak senonoh yang menghina ramai orang, termasuk penggunaan bahasa yang kasar (crude reference), ucapan kebencian (hate speech), dan keganasan (violence).
Selain daripada pindaan kepada Seksyen 211 dan Seksyen 233, pindaan kepada seksyen yang lain juga telah memberikan punca kuasa yang lebih besar kepada SKMM untuk bertindak dengan lebih agresif dari aspek undang-undang bagi mendepani kemudaratan dan jenayah dalam talian. Namun begitu, kita khuatir wujudnya kemungkinan penyalahgunaan kuasa oleh pihak Kerajaan untuk menahan dan menyiasat individu yang tidak sehaluan dengan mereka.
Semak dan imbang merupakan elemen penting dalam sistem demokrasi kita. Rakyat daripada pelbagai latar belakang sepatutnya diberikan hak untuk bersuara dan menyatakan pandangan kepada Kerajaan dengan terbuka tanpa risau dengan kemungkinan ditahan untuk siasatan. Contohnya, ahli politik pembangkang yang mendedahkan ketirisan kewangan Kerajaan, wartawan yang berusaha melaporkan isu semasa secara telus, pembikin filem yang meneroka isu politik tanah air dan rakyat yang hendak memberikan maklum balas tentang prestasi Kerajaan.
Walaupun pindaan Akta 588 telah diluluskan di Dewan Rakyat, kita seharusnya menggesa untuk bacaan Akta ini di Dewan Negara dihentikan terlebih dahulu untuk disemak semula oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi Dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan, berkaitan akta yang tidak selari dengan hak kebebasan bersuara seperti Seksyen 211 dan Seksyen 233.