Jabatan Profesional Muda – JPro

PROFESION JURU X-RAY SEKADAR MENEKAN BUTANG?

8 November merupakan tarikh yang dipilih sebagai Hari Radiografi sedunia. Tarikh ini dipilih bersempena dengan penemuan sinar-x yang pertama oleh Wilhelm Roentgen pada tahun 1895.

Mungkin ramai antara kita yang beranggapan profesion juru x-ray cukup sekadar mengulang dialog “tarik nafas… tahan” dan kemudian menekan butang dan selesai disitu.

Peranan mereka selaku “eye of medicine” sangat besar dalam membantu doktor mendiagnosis penyakit-penyakit yang dialami pesakit dengan pelbagai modaliti yang telah berkembang dari zaman berzaman.

Gelaran eye of medicine sangat tepat kepada mereka kerana setiap pemeriksaan yang dilakukan membantu memberikan diagnosis yang tepat bahkan ketika menjalankan prosedur pembedahan juga terdapat beberapa kes yang memerlukan juru x-ray turut berada di dewan bedah bersama pakar-pakar, doktor dan jururawat yang bertugas.

Selain membantu dalam memberikan diagnosis yang cepat dan tepat, mereka juga bertanggungjawab dalam memastikan dos radiasi yang diberikan adalah dalam nilai yang optimum dimana ianya bertepatan dan mencukupi untuk mendiagnosis penyakit dan dalam masa yang sama tidak membahayakan pesakit.

Sebahagian dari mereka juga turut berperanan dalam memberikan rawatan bagi sesetengah penyakit yang perlu dirawat dengan bantuan bahan radioaktif.

Mereka juga merupakan antara golongan yang berlesen untuk mengendalikan beberapa modaliti yang melibatkan radiasi antaranya mesin x-ray, ct scan, MRI, fluoroscopy, mesin x-ray mudah alih, gamma camera dan Image intensifier (II) dan beberapa mesin lain yang digunakan bagi mendiagnosis atau memberi rawatan di beberapa tempat.

Cabang dalam bidang radiografi begitu meluas belum lagi termasuk dalam bidang tugas radiologist dan beberapa jawatan lain yang turut sama memainkan peranan penting dalam bidang radiologi namun sayangnya masih ramai antara kita tidak tahu tentang skop tugas petugas-petugas radiologi.

Oleh itu, bersempena dengan hari Radiografi sedunia ini orang awam boleh menghadirkan diri ke pameran-pameran yang di jalankan oleh jabatan-jabatan radiologi di hospital-hospital kerajaan dan swasta bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan kerjaya radiografi.

Adik-adik yang masih di bangku sekolah turut dialu-alukan untuk meneliti dan mengkaji skop tugas juru x-ray dan menjadikannya sebagai salah satu daripada bidang kerjaya yang akan diceburi akan datang.
 
Oleh itu, terima kasih juru x-ray dan seluruh warga kerja radiologi yang bertungkus-lumus dalam memastikan setiap pesakit mendapatkan diagnosis yang tepat bagi mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Ditulis oleh

Falilah Khalid
Kluster Kesihatan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM

8 November 2023