Jabatan Profesional Muda – JPro

REFLEKSI HARI BUMI DI TENGAH SITUASI PANDEMIK

Tahukah anda?

Bumi ialah planet ketiga dalam sistem Suria yang paling hampir dengan Matahari, selepas planet Utarid dan planet Zuhrah, dan satu-satunya planet dalam sistem Suria, malah dalam seluruh angkasa, yang mempunyai kondisi sesuai untuk didiami makhluk hidup.

Tahukah anda?

Bumi berada di dalam jarak yang paling tepat dengan Matahari, sejauh 150 juta kilometer, yang membolehkan Bumi menerima haba daripada Matahari dalam suhu yang optimum. Haba yang diterima sangat penting bagi mewujudkan iklim dan cuaca yang sesuai untuk didiami, tenaga cahaya yang cukup untuk proses fotosintesis bagi penghasilan oksigen dan penyerapan karbon dioksida, kitaran suhu dan pergerakan arus air laut bagi mengawal suhu muka Bumi, kitaran hujan dan kitaran tenaga alam.

Tahukah anda?

Bumi sebenarnya sudah berumur kira-kira 4 bilion tahun dahulu. Kiraan ini berdasarkan kajian pada 2001 oleh Wilde et al., yang menyatakan umur pejal Bumi boleh dikira menggunakan mineral Zircon, yang ditemui di Jack Hills, Australia, yang berumur kira-kira 4.404 bilion tahun.

Menarik bukan. Ini hanyalah sedikit fakta menarik mengenai tempat tinggal umat manusia sejak bermulanya peradaban. Nikmat yang ada di muka bumi terlalu banyak untuk disyukuri.

Bumi telah menyaksikan peradaban manusia sejak datangnya pasangan manusia pertama iaitu Adam dan Hawa. Pertambahan populasi manusia dengan berkembang biaknya anak cucu Adam dan Hawa, telah menghasilkan pelbagai bangsa dan tamadun. Ada bangsa yang menguasai sebahagian muka bumi seperti bangsa Rom dan Parsi, dan ada yang berisolasi dalam kelompok sendiri seperti suku Sentinel di Pulau Sentinel Utara, India.

Peperangan, perebutan kawasan jajahan dan kerosakan di atas muka bumi, semenjak konflik antara Habil dan Qabil, antara dua tamadun besar Rom dan Parsi, Perang Dunia pertama dan kedua, sehinggalah peperangan yang masih berlaku di Timur Tengah dan bahagian lain di dunia, telah merosakkan Bumi itu sendiri. Kerosakan lain ialah sikap acuh tak acuh masyarakat terhadap alam sekitar, berpunca daripada sifat tamak manusia menjarah tanpa henti, tanpa pengurusan yang baik, yang hanya menambah garam di luka sedia kala.

Namun, dari sudut pandang positifnya. Bumi juga dihiasi dengan keindahan senibina tamadun manusia, sehinggakan Tujuh Keajaiban Dunia dapat dicipta melalui tamadun-tamadun ini, iaitu Tembok Besar China semasa Dinasti Ming, Chichen Itza dari tamadun Maya, Bandar Petra di Jordan, Machu Picchu dari tamadun Incan di Peru, Christ the Redeemer di Brazil, Colosseum di Rom dan Taj Mahal di India oleh Maharaja Mughal, Shah Jahan.

Keindahan alam lebih cantik lagi, dengan senibina Maha Pencipta yang tiada tolok bandingnya, seperti Tujuh Keajaiban Alam, iaitu ketinggian Gunung Everest, Harbour of Rio de Janeiro, Great Barrier Reef, Air Terjun Victoria, Gunung Berapi Paricutin, Grand Canyon dan Aurora Borealis. Maka, demi tempat tinggal tercinta, Hari Bumi disambut di serata dunia bagi menyedarkan semula peri pentingnya tempat tinggal besar utama ini.

Hari Bumi mula disambut bermula 22 April 1970, selepas cadangan ini dikemukan di persidangan UNESCO pada 1969 oleh aktivis John McConnell. Sambutan Hari Bumi ini disertai oleh seluruh 193 buah negara di dunia. Objektif Hari Bumi dicadangkan, supaya kempen kemanan sejagat, dan kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar lebih dihargai dan mendapat sokongan dan kerjasama semua di peringkat global. Tanggungjawab ini semestilah dipikul bersama-sama. Jika musnah tempat tinggal bersama ini, ke mana lagi tempat halatuju untuk teruskan hidup?

Walaupun kajian dan teori sains pernah membuka mata bahawa kemungkinan ada hidupan sebelum manusia, namun, hanya manusia satu-satunya hidupan berakal yang mampu berfikir dan mengolah alam untuk kegunaanya dalam kehidupan seharian. Dengan akal, manusia dalam kelompok masyarakat, menambahbaik kehidupannya melalui urusan politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Maka, masyarakat yang bertamadun seharusnya perlu menjaga dan mentadbir Bumi dan hasil mahsulnya, dengan akal yang rasional, melebihi sifat tamak yang terpendam. Mahatma Gandhi pernah menyatakan, “Earth provides enough to satisfy every man’s needs, but not every man’s greed”.

Kesimpulannya, fakta dan kajian mengenai planet Bumi sendiri telah membuktikan bahawa, tiada tempat tinggal yang lebih baik daripada Bumi. Dari penyediaan keperluan manusia, sehinggalah hajat manusia untuk menikmati keindahan alam, maka, sangat rasional bahawa tanggungjawab menjaga kelestariannya berpaut atas bahu bersama.

Akhir kata, perhati dan fahamilah mesej yang disampaikan Allah di dalam Al-Quran, Surah As-Syams (Matahari);

[1] Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang;
[2] Demi bulan apabila ia mengiringinya;
[3] Demi siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata;
[4] Demi malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita),
[5] Demi langit beserta seluruh binaanya,
[6] Demi bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya);
[7] Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);
[8] Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa;
[9] Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
[10] Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
[11] (Ingatlah), kaum Thamud telah mendustakan (Rasulnya) dengan sebab perbuatan derhaka mereka yang melampaui batas;
[12] Ketika orang yang paling jahat di antara mereka menerima perintah dari mereka (supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat),
[13] Maka berkatalah Rasul Allah (Nabi Soleh) kepada mereka: ” (Janganlah kamu ganggu) unta betina dari Allah itu, dan (janganlah kamu menyekatnya daripada mendapat) air minumnya (supaya kamu tidak ditimpa azab)!”
[14] (Setelah Nabi Soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya).
[15] Dan Allah tidak hiraukan kesudahan (mereka) yang demikian, (kerana itu adalah balasan yang adil).

Wallahu’alam.

Ditulis oleh

Muhammad Luqman
Kluster Sains & Teknologi
jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan graduan Sains Marin, IIUM Kuantan. Beliau juga merupakan ahli kluster Sains dan Teknologi JPro, serta aktif dalam bidang dakwah dan penulisan.
 

23 April 2020