Jabatan Profesional Muda – JPro

RETURN ON INTEGRITY: DEFINISI BARU ROI

1. Integriti dalam dunia sekarang tidak lagi dipandang tinggi malah dirasakan hanya dalam ruang lingkup bidang falsafah, motivasi dan seumpama dengannya. Aplikasi integriti dalam dunia bisnes dan ekonomi sekarang sangat under-developed kalau nak dibandingkan dengan aplikasi kewangan, keuntungan dan sebagainya.
 
2. Ada sebuah buku yang dikarang oleh John Blumberg yang berjudul “Return on Integrity; The New Definition of ROI and Why Leaders Need to Know It”. Buku ini menceritakan kepentingan integriti dalam segenap aspek kehidupan dan mengapa masyarakat secara umum gagal melihat kepentingannya. Antaranya adalah faktor teknologi, media massa dan kerakusan. Penulis buku ini pernah bekerja sebagai seorang akauntan bertauliah (CPA) di Arthur Andersen dan kemudiannya menukar kerjaya ke bidang pengurusan sumber manusia (HR) selama lebih kurang 14 tahun.
3. Bagi yang belum tahu, Arthur Andersen merupakan sebuah firma perakaunan yang dahulunya dalam kalangan “Big 5” di samping PWC, KPMG, Deloitte dan E&Y tetapi musnah pada tahun 2002 disebabkan skandal mengaudit beberapa syarikat yang kemudiannya bankrap. Sebab itu sekarang hanya tinggal “Big 4” bila kita melihat firma perakaunan utama di dunia.
4. Dalam kes skandal ini, Arthur Andersen disabitkan bersalah dalam kerja mengaudit sebuah syarikat tenaga bernama Enron. Enron pernah digelar sebagai “America’s Most Innovative Company” selama 6 tahun berturut-turut sebelum bankrap pada hujung tahun 2001. Enron didapati membuat penipuan dalam laporan kewangan syarikat (accounting fraud) yang diaudit oleh Arthur Andersen. Ada sebuah lagi syarikat yang terlibat dengan penyelewengan seperti ini yang bernama WorldCom, juga diaudit oleh Arthur Andersen.
 
5. Penyelewengan atau penipuan melibatkan laporan kewangan di satu masa akan terdedah juga sebab numbers don’t lie ataupun nombor tidak boleh berbohong. Hal ini kerana dalam prinsip perakaunan, kita ada prinsip catatan bergu di mana setiap urusniaga akan melibatkan sekurang-kurangnya dua catatan; satu akaun didebitkan dan satu lagi dikreditkan. Dalam realiti sesebuah bisnes contohnya, apabila sebuah syarikat merekodkan keuntungan yang tinggi, pelabur juga akan menjangkakan hasil dividen yang tinggi.
 
6. Kes ini membuktikan betapa pentingnya integriti dalam menguruskan sebuah bisnes, apatah lagi ekonomi sesebuah negara. Penyelewengan seperti manipulasi dan rasuah boleh menjatuhkan sesebuah organisasi atau negara walaupun dulunya dipandang baik atau pernah merangkul beberapa anugerah. Yang merana akhirnya adalah orang-orang di bawah, para pekerja hilang pekerjaan atau rakyat hilang sumber pendapatan.
 
7. Kesimpulannya, pentingnya untuk kita menyanjung tinggi integriti dan mendokong pemimpin-pemimpin yang berintegriti samada dalam sesebuah organisasi atau sesebuah negara. Orang yang berintegriti yang kemungkinan ada kelemahan dalam sesetengah aspek, akan menyerahkan amanah atau kekuasaan kepada mereka yang layak dan pakar untuk menguruskan. Orang yang berintegriti juga akan sentiasa berkomunikasi secara jujur supaya semua pihak yang terlibat mendapat maklumat yang benar.
RUJUKAN:
 
[1] Integrity and Its counterfeits: implications for economy, business and management (William Sun, Simon Robinson & Paweł Łukasz Polowczyk)
[2] Return on Integrity; The New Definition of ROI and Why Leaders Need to Know It (John G. Blumberg)

Ditulis oleh

Shaheer Shahidan
Ahli Kluster Ekonomi dan Kewangan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Ekonomi & Kewangan JPro, Jabatan Profesional Muda (JPro) DPPM. Beliau juga seorang Penganalisa Kewangan dan Akauntan Bertauliah di salah sebuah syarikat swasta dalam industri ‘market research’.

20 Oktober 2022