Jabatan Profesional Muda – JPro

SALAH FAHAM HERBARIUM

Seumur hidup, tidak pernah terfikir akan berkhidmat di herbarium. Setiap kali bercerita mengenai kerjaya dengan keluarga dan rakan, pelbagai soalan menarik ditanya oleh mereka. Disini beberapa persoalan atau persepsi akan dirungkai untuk perkongsian semua.

Herbarium itu apa? Tempat memproses herba ke?

Setiap kali menjawap pertanyaan kenalan mengenai tempat kerja di herbarium, kedengaran herbarium seolah-olah satu tempat asing bagi mereka. Ramai yang berpendapat herbarium merupakan tempat memproses herba dek kerana kewujudan “herba” dipangkal perkataan. Herbarium secara umumnya boleh digambarkan sebagai perpustakaan atau muzium bagi menyimpan spesimen tumbuhan kering yang telah diawet atau dikenali sebagai spesimen herbarium.

Spesimen tumbuhan yang dikutip di lapangan (kebiasaannya di dalam hutan) akan diproses mengikut tatacara pengawetan dalam standard piawaian amalan pengurusan herbarium. Spesimen yang telah dikeringkan, akan menjalani proses pelekatan dan jahitan dan kemudiannya akan disusun secara sistematik sebelum disimpan didalam rak kabinet. Sistem pendaftaran data spesimen diwujudkan bagi memudahkan proses penyimpanan dan pencarian semula spesimen. Setiap spesimen perlu diuruskan dengan teliti kerana nilai kepentingan dan penggunaan herbarium adalah terhad bagi meminimakan kerosakan terhadap koleksi spesimen tersebut.

Seawal tahun 1635, fungsi herbarium tertumpu kepada pengumpulan tumbuhan perubatan dan yang mempunyai kepentingan ekonomi. Kemudiaannya, herbarium ditubuhkan dengan tujuan saintifik bagi penyelidikan taksonomi dan botani. Dianggarkan lebih 2,000 herbarium berdaftar seluruh dunia dimana setiap herbarium mempunyai akronim khusus. Sebagai contoh, Herbarium Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dikenali sebagai KEP, Universiti Malaya sebagai KLU dan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai UKMB. Ketiga-tiga herbarium ini merupakan herbarium utama Semenanjung Malaysia dan koleksi spesimen di KEP mencecah sehingga 300,000 koleksi, di Universiti Malaya sebanyak 40,000 koleksi, dan di Universiti Kebangsaan Malaysia sebanyak 50,000 koleksi. Koleksi yang ada di KEP, direkodkan seawal tahun 1900.

Kerja di herbarium, sudah ingat semua nama pokok yang ada di Malaysia?

Malaysia amat terkenal dengan kekayaan biodiversiti. Dianggarkan 15,000 spesies tumbuhan direkodkan di Malaysia, dan sejumlah 8,000 spesies adalah di Semenanjung Malaysia. Jumlah tersebut meningkat saban tahun kerana terdapat spesies baharu yang ditemui oleh para penyelidik dan direkodkan melalui hasil penerbitan. Skop kerja herbarium meliputi proses pengecaman tumbuhan, satu proses yang agak rumit. Kalau dah cam, tentulah kena ingat!

Setiap tumbuhan mempunyai ciri-ciri keunikan tersendiri, dan sudah tentu agak mustahil untuk mengingati dan mengecam semua tumbuhan dalam tempoh masa yang singkat. Proses pengecaman memerlukan rujukan buku, perbandingkan spesimen di herbarium dan kadang-kala bertanya kepada pakar botani. Kemahiran belajar melalui pengalaman juga penting untuk mengenal pasti setiap tumbuhan yang dikutip. Bagi kakitangan herbarium, mereka mengambil pelbagai inisiatif dalam memantapkan kemahiran pengecaman tumbuhan melalui penelitian spesimen herbarium dan apabila mendapat peluang ketika berada di lapangan.

Perkara yang merisaukan kini adalah kekurangan tenaga mahir dalam mengenali pokok-pokok dibandingkan dengan masyarakat zaman dahulu. Masalah ini menyebabkan nama tempatan sesuatu spesies, ilmu pengetahuan mengenai tumbuhan perubatan dan tumbuhan berkepentingan semakin dilupakan. Hal ini membimbangkan kerana ia akan membuatkan ilmu yang pernah diamalkan akan hilang begitu sahaja.

Kerja herbarium macam robot, hanya mengulangi proses yang sama setiap hari
Tidak seperti robot yang hanya melakukan perkara sama setiap hari, aktiviti di herbarium merangkumi proses pengutipan sampel di lapangan, pemprosesan, pengecaman dan penelitian ke atas spesimen hebarium. Melalui aktiviti-aktiviti ini, pengetahuan tentang ilmu biologi tumbuhan dapat ditingkatkan dengan mempelajari lebih mendalam struktur reproduktif dan vegetatif yang berbeza-beza antara setiap tumbuhan, menjadikan bekerja dalam bidang ini semakin menarik. Rekod struktur tumbuhan diinterpretasi permulaannya melalui lakaran kasar sehingga ke lukisan botani yang lebih teliti dan lengkap (rough to detailed sketches), pemerhatian menggunakan mikroskop atau permainan kamera makro diambil dari pelbagai sudut, menghasilkan imej tumbuhan yang berfokus dan ‘berseni’.

Hanya dengan sekeping kertas sahaja, herbarium membawa kita kepada eksplorasi tumbuhan, habitat, dan sejarahnya tersendiri. Setiap spesimen herbarium mempunyai “tingkap kecil” iaitu label rekod yang membawa anda ke masa lalu, seolah membayangkan anda yang mengutip spesimen pada ketika itu. Terdapat tumbuhan yang dikutip dari lokaliti yang tak pernah kita dengar kewujudannya! Apa yang menarik, perkara ini seringkali menjadi topik bualan di mana lokaliti sebenar tumbuhan tersebut, dan keterujaan untuk menjejak kembali lokaliti tersebut.

Herbarium ini hanya berfungsi sebagai tempat simpan spesimen lama sahajakah?

Herbarium merupakan hub penyelidikan, yang turut menjadi tempat menyimpan DNA tumbuhan untuk digunakan dalam kajian molekular genetik dan Bank Biji Benih. Pelbagai data penting dapat diperoleh daripada herbarium diantaranya lokaliti habitat sedia ada dan habitat yang telah berubah, rekod tumbuhan yang telah dan hampir pupus serta yang terancam, perbandingan spesies yang direkodkan mengikut tahun serta dapat melihat kesan perubahan terhadap tumbuhan terjejas dengan pemanasan global. Setiap maklumat berguna untuk melengkapkan kajian oleh ahli ekologi, zoologi, farmasi dan lain-lain kerana biodiversiti amat berkait rapat antara satu sama lain.

Perubahan masa kini membawa spesimen herbarium bukan sekadar disimpan didalam kotak. Spesimen akan diimbas dan imejnya disimpan secara digital, yang boleh diakses dan dimuat turun melalui capaian internet oleh para penyelidik daripada seluruh dunia. Ia membantu mengurangkan risiko kerosakan terhadap spesimen, mengurangkan kos lawatan ke herbarium dan mengurangkan kos pengangkutan dalam peminjaman spesimen.

Seperti yang sedia maklum, jumlah keluasan hutan di Malaysia pada dekad yang lalu semakin menurun kerana banyak diteroka bagi tujuan perladangan komersial, pembangunan infrastruktur dan lain-lain. Aktiviti pengutipan sampel tumbuhan lebih memberi tumpuan di habitat terancam. Rekod koleksi tumbuhan yang dikutip membantu dalam menyokong pembentukan polisi negara dan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment, EIA). Usaha yang dilakukan ini mampu menyelamatkan tumbuhan dikawasan terancam ini dan mengelakkan kepupusan tumbuhan tersebut. Ini membuktikan peranan herbarium dalam pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti dan memastikan kelestarian sumber semulajadi.

Akhir kata

Kerjaya di herbarium memberikan satu pengalaman yang tidak ternilai. Pelbagai ilmu dan penemuan baharu diperoleh. Kerja di herbarium tidak terhad kepada penglibatan seorang kurator sahaja, bahkan melibatkan kumpulan ahli sains botani khususnya dan kakitangan sokongan dalam menguruskan sesebuah herbarium. Bagi penggemar alam semulajadi dan hutan belantara, bekerja dalam bidang ini amat sesuai. Ini kerana untuk memupuk seseorang mencintai kerjaya dalam selok belok hutan adalah sukar. Apa yang membimbangkan di zaman serba canggih ini, teknologi telefon pintar telah mengatasi minat masyarakat terutama anak kecil daripada eksplorasi alam semulajadi, maka amatlah penting dalam menjaga khazanah semulajadi supaya tidak pupus, dan hanya meninggalkan “Herbarium” sebagai tatapan dikemudian hari. Renung-renungkan!

 

Rujukan:
1. Bridson D & Forman L. 1992. The Herbarium Handbook. Revised edition. Royal Botanic Gardens, Kew.
2. Kiew R, Chung RCK, Saw LG, Soepadmo E & Boyce PC. 2010. Flora of Peninsular Malaysia Series II: Seed Plants, Volume 1. Forest Research Institute Malaysia, Kepong.

Ditulis oleh

Aliaa Athirah Adam Malek & Rafidah Abdul Rahman
Pandangan dan isi kandungan artikel ini adalah bersifat peribadi.
 

13 Julai 2020