Jabatan Profesional Muda – JPro

SISWA BERJIWA MERDEKA

Tanggal tiga puluh satu bulan lapan lima puluh tujuh. Rangkap lagu yang sering berkumandang tatkala menjelangnya tarikh keramat kemerdekaan negara Malaysia. Masuk 65 tahun negara kita bebas merdeka. Rakyat hidup teguh bersama membangunkan negara yang dicintai, bumi bertuah Malaysia. Semangat keluarga Malaysia yang disuburkan kian menyerlah dan menampakkan setiap daripada rakyat memainkan peranan dalam mengekalkan jalinan ukhuwah dan hidup bersama sebagai satu keluarga walaupun berbeza latar belakang, agama mahupun budaya. Keharmonian dan kemajuan yang dikecapi ini sudah pasti natijah daripada usaha setiap ahli keluarga Malaysia yang datangnya daripada pelbagai bidang dan kepakaran.

Apabila berbicara soal kemerdekaan, pasti tidak lekang daripada bercakap mengenai perjuangan pemimpin terdahulu menentang penjajahan termasuklah pahlawan terkenal Mat Kilau, Rentap, juga Tunku Abdul Rahman yang berusaha mendapatkan kemerdekaan secara rundingan. Keberanian dan semangat juang mereka untuk membebaskan negara daripada cengkaman pihak musuh wajar dicontohi dan dihargai generasi kini. Mahatma Gandhi ada berkata, “Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya”. Masa terus berjalan dari hari ke hari. Kemajuan dan kemodenan semakin dilihat di negara kita. Pembinaan bangunan pencakar langit seperti Menara PNB 118, sistem jaringan pengangkutan berteknologi terkini seperti Mass Rapid Transit (MRT) dan banyak lagi bukti pembangunan yang telah kita kecapi. Seiring dengan perkembangan teknologi alaf baharu, Malaysia sudah pasti tidak mahu ketinggalan dan turut sama menyahut seruan untuk sama-sama berdiri sama gah dengan negara-negara maju yang lain.

Sebagai seorang ahli keluarga Malaysia, saya baru sahaja menamatkan portfolio sebagai seorang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda dan menjadi seorang graduan di sebuah institut pengajian tinggi tempatan. Sudah pasti ramai yang berhasrat untuk menamatkan pelajaran setidaknya di peringkat ini. Seorang pelajar bukan hanya belajar, malah, mengkaji, menilai dan menyumbangkan dirinya kepada masyarakat. Zaman belajarlah merupakan zaman yang paling berharga buat seseorang individu. Menimba ilmu bukan satu perkara yang mudah malah memerlukan kepada usaha dan semangat jihad yang jitu. Pelajar tugasnya belajar dan terus belajar bagi melengkapkan diri dengan ilmu yang berfaedah bukan hanya untuk kepentingan diri tetapi juga untuk manfaat negara. Setiap mahasiswa mempunyai hala tuju yang hendak dicapai daripada proses pembelajaran tersebut dan sudah pasti kebanyakan daripada kita belajar untuk mencapai cita-cita yang kita impikan selama ini.

Mahasiswa merupakan entiti yang sangat penting dalam sebuah negara. Ibu bapa wajib memberikan pendidikan yang selayaknya buat anak-anak. Islam juga mengajar kita untuk mencari ilmu dan pengetahuan duniawi dan ukhrawi. Allah berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 11 tentang tingginya darjat orang beriman dan mencari ilmu pengetahuan. Begitu juga dengan agama-agama lain. Dalam memaknai erti kemerdekaan, sudah pasti golongan mahasiswa memainkan peranan yang sangat penting untuk membina negara Malaysia. Sebagai seorang siswa, di situlah bermulanya titik tolak melangkah ke satu alam pembentukan identiti yang bakal membangunkan negara dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang berguna. Mahasiswa di institusi pengajian tinggi menggalas amanah yang besar untuk menimba ilmu pengetahuan dalam bidang masing-masing. Sesungguhnya ilmu itu luas dan memerlukan kepada tuntutan daripada para pelajarnya. Di peringkat inilah, mahasiswa perlu membuat keputusan yang terbaik dalam memilih jurusan yang sesuai dengan minatnya dan menentukan jalan hidup menuju masa hadapan yang penuh pancaroba. Tidak cukup dengan itu, para siswa perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengalaman yang pelbagai bagi menempuh zaman pekerjaan kelak dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Mendokong aspirasi Keluarga Malaysia gagasan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, seorang siswa seperti saya besar jasanya kepada pembangunan negara. Kemakmuran, kemewahan dan kejayaan yang kita nikmati ini ialah hasil usaha dan titik peluh para pemimpin, pakar-pakar dan para pekerja yang asalnya juga merupakan seorang mahasiswa. Disebabkan itu betapa signifikannya untuk saya katakan bahawa kerjaya sebagai seorang mahasiswa mempunyai peranan yang besar bagi seseorang itu memulakan prospek kerjayanya. Sebagai contoh, seorang graduan dalam bidang kedoktoran bakal menjadi seorang doktor yang membantu orang ramai daripada segi kesihatan dan kesejahteraan hidup. Begitu juga dengan seorang arkitek yang dahulunya merupakan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda pengkhususan reka bentuk dan seni lukis, akhirnya kini menjadi pelopor dalam projek bangunan pencakar langit. Akauntan, guru, hakim, peguam, ustaz. Mereka semua merupakan hasil didikan yang lahir daripada usaha menimba ilmu pengetahuan. Sudah pasti mereka yang tiada ilmu tidak dapat membangunkan negara dengan baik sebagaimana mereka yang berpengetahuan dalam bidang masing-masing. Walaupun terdapat juga segelintir daripada mahasiswa yang tidak bekerja dalam bidang yang sama, namun, mereka masih mempunyai nilai keilmuan melalui subjek-subjek wajib universiti seperti Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Hubungan Etnik dan Kaedah Kajian. Sudah pasti ilmu ini sedikit sebanyak mampu memberikan panduan bagi menjalani kehidupan bekerjaya.

Para siswa seperti saya kini juga dilengkapi dengan kemahiran dan pengalaman melalui kursus kokurikulum dan program-program universiti. Semua pelajar universiti perlu mengambil beberapa jam kredit subjek kokurikulum yang kebiasaannya meliputi kemahiran asas seperti pertolongan cemas, bahasa isyarat, pengendalian program, pengucapan awam dan sukan seperti memanah dan berenang. Kemahiran seperti ini mampu meningkatkan tahap seseorang siswa itu dan membantunya untuk menjadi seorang yang berbeza daripada orang lain. Sebagai tamsilan, seorang yang mengikuti kursus bahasa isyarat dapat membantu seorang cacat pendengaran untuk mencari jalan pulang ke rumahnya. Kemahiran ini juga boleh ditambah baik dengan mengikuti kelas-kelas tambahan di luar sana. Selain itu, pengalaman kehidupan juga banyak diperoleh pada zaman pengajian. Pengalaman seperti kepimpinan, pengurusan majlis, temu duga, penulisan dan lain-lain banyak didapati sewaktu di universiti. Pengalaman merupakan guru yang terbaik. Oleh itu, dalam menelusuri kehidupan yang kian mencabar, ilmu sahaja tidak memadai. Kemahiran dan pengalaman sangatlah membantu dalam membangunkan jati diri seseorang sekali gus meningkatkan daya usaha untuk membangunkan negara yang makmur ini.

Sebagai natijahnya, kemerdekaan akan dapat kita pelihara dengan adanya ilmu pengetahuan dan kemahiran. Sebagai mahasiswa, saya yakin dan percaya bahawa setiap daripada kami ada peranannya dalam pembangunan bumi bertuah Malaysia ini. Berbekalkan apa yang telah kami perolehi sewaktu belajar, Malaysia boleh terus bangun mengejar arus modenisasi dan globalisasi tanpa sempadan dalam membentuk satu negara bangsa yang disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat luar. Siswa siswi pemuda harapan negara haruslah tekadkan azam dan semangat untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu walau didatangi 1001 cabaran dan rintangan. Semoga kemerdekaan kali ini dapat sama-sama kita raikan dengan penuh kesyukuran dan semangat patriotik yang membara sebagai Keluarga Malaysia yang teguh bersama. Ayuh! Kibarkan bendera, bulatkan suara, kita jadi juara!

Ditulis oleh

Nik Muhammad Hakimi Bin Nik Puzlan
Penulis merupakan pemenang tempat ketiga dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan dan hari Malaysia anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

18 September 2022