Jabatan Profesional Muda – JPro

“Tolonglah Cari Jalan Atasi Ketagihan Dadah, Vape" - PMX Perlu Tunjuk Kesungguhan

Selama bertahun-tahun, para doktor, guru, dan NGO telah memberi amaran: vape bukan sesuatu yang selamat, terutamanya untuk golongan remaja.

Ramai doktor dan aktivis memperjuangkan dasar Generation End Game (GEG) iaitu satu polisi berani untuk melindungi mereka yang lahir selepas 2007 daripada ketagihan rokok dan vape. Mereka mencadangkan undang-undang, mengemukakan data dan memberi penyelesaian.

Tapi sebaliknya yang berlaku tentang dasar kerajaan dan anda berhak tahu!

Pada tahun 2023, nikotin dikeluarkan daripada Akta Racun menjadikannya sah untuk menjual vape bernikotin tanpa sebarang kawalan.

Tiada larangan umur. Tiada peraturan pemasaran. Tiada amaran kesihatan.

Undang-undang GEG? Tergantung. Dilemahkan. Dipolitikkan.

Hari ini, anda boleh beli vape perisa gula-gula di kedai berdekatan sekolah.

Dan kini PMX yang membuat kenyataan
Tolonglah Cari Jalan Atasi Ketagihan Dadah, Vape -PMX Serius la?

Ini adalah hipokrasi yang jelas. Kerajaan yang menghapuskan peraturan, mengabaikan amaran kesihatan awam, dan membenarkan industri tidak terkawal sasar anak-anak kita.

Kita tidak perlukan lebih banyak kenyataan tatakelola, wewenang dan ketimbang. Kita hanya perlukan tindakan dan kebertanggungjawaban.

Sumber: MalaysiaGazette

Kerajaan seharusnya segera meletakkan semula nikotin di bawah Akta Racun, meluluskan undang-undang Generation End Game (GEG) sepenuhnya tanpa sebarang kompromi, mengharamkan segala bentuk pemasaran yang menyasarkan kanak-kanak dan remaja, serta mendengar nasihat doktor, guru dan ibu bapa, bukannya tunduk kepada tekanan pelobi industri.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menilai semula kepimpinan yang ada. Adakah mereka benar-benar meletakkan kesihatan generasi muda sebagai keutamaan, mempunyai visi jangka panjang melebihi keuntungan segera, dan sanggup mendengar suara ibu bapa, guru serta pakar kesihatan, bukannya akur kepada tekanan pelobi industri?

Justeru, tindakan beberapa buah negeri yang telah mengumumkan larangan penjualan vape di negeri mereka patut dipuji.
– Johor: Tidak mengeluarkan lesen baharu sejak 1 Januari 2016
– Kelantan: Sejak 2016, vape diharamkan sepenuhnya di semua premis – tidak ada lesen dikeluarkan.
– Terengganu: Penjualan vape akan dihentikan sepenuhnya bermula 1 Ogos 2025; tiada lesen baharu dikeluarkan, dan tiada iklan dibenarkan bermula 1 Mei – 31 Julai 2025 sebagai tempoh peralihan.
– Perlis: Juga melaksanakan larangan penjualan vape bermula 1 Ogos 2025, selaras dengan fatwa negeri – tiada lesen premis dibenarkan
– Kedah: Tidak memperbaharui lesen penjualan vape bermula 2026, menuju larangan penuh

Vape bukan isu remeh; ia adalah bom jangka kesihatan awam, dan cara kita menangani isu ini hari ini akan menentukan bentuk masyarakat kita dalam 10 atau 20 tahun akan datang.

Ditulis oleh

Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda (JPro)

22 Jun 2025