TRAGEDI BAS UPSI: CADANGAN PENAMBAHBAIKAN KESELAMATAN PENGANGKUTAN AWAM
Setiap kali musim perayaan tiba, detik gembira rakyat Malaysia sering kali dicemari dengan berita menyayat hati: kemalangan ngeri yang meragut nyawa di jalan raya. Seolah-olah menjadi skrip berulang, tajuk utama akhbar memaparkan insiden melibatkan bas awam yang terbabas, terbalik, atau terbakar dan sering kali, yang menjadi mangsa adalah mereka yang tidak bersalah.
Salah satu tragedi paling memilukan yang masih segar dalam ingatan rakyat ialah insiden kemalangan sebuah bas universiti yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Bas tersebut dikatakan terbabas setelah cuba memotong di laluan berbahaya, lalu terbalik dan menghentam pembahagi jalan lalu mengorbankan 15 nyawa yang tidak berdosa. Mereka ialah anak-anak harapan negara dan keluarga, yang kini hanya tinggal nama.
Tragedi ini bukanlah yang pertama. Malah, ia juga mungkin bukan yang terakhir selagi kelemahan dalam sistem keselamatan pengangkutan awam tidak ditangani secara serius.
Teknologi Keselamatan: Dunia Sudah Maju, Malaysia Masih Di Takuk Lama?
Di peringkat global, teknologi keselamatan dalam pengangkutan berkembang pesat. Negara-negara maju seperti Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan sedang mewajibkan pemasangan sistem seperti Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) sistem yang membolehkan brek automatik, amaran keluar lorong, dan pengesanan pelanggaran dalam hampir semua jenis kenderaan.
Turut digunakan secara meluas ialah:
Namun di Malaysia, perkhidmatan bas awam masih belum dilengkapi dengan teknologi ini. Yang pasti, bas lama terus beroperasi tanpa sebarang naik taraf keselamatan. Dasar sedia ada hanya mewajibkan peranti penghad laju dan sistem GPS menjelang 2026.
Sistem pantauan pemandu
Sumber: Business Insider
GPS telematik masa sebenar
Sumber: Fuel Card Services
Penghad kelajuan berasaskan lokasi
Sumber: Engage Driving
Mengapa Tragedi Terus Berlaku?
Punca kemalangan selalunya berkait rapat dengan faktor manusia dan ralat teknikal sistematik seperti pemandu letih, memandu laju, cuai ketika memotong, atau masalah mekanikal. Namun, masalah sebenar ialah kelemahan sistemik dalam dasar dan penguatkuasaan.
Tiada mekanisme yang tuntas untuk memastikan semua bas awam memenuhi piawaian keselamatan. Tiada sistem pemantauan masa sebenar terhadap jadual kerja pemandu. Tiada insentif yang menarik untuk memastikan pengusaha bas awam melabur dalam teknologi keselamatan.
Apabila sistem gagal melindungi penumpang, siapa yang harus dipertanggungjawabkan?
Masa untuk Bertindak: Cadangan Pembaharuan Menyeluruh
Sudah tiba masanya Malaysia melaksanakan reformasi dasar keselamatan pengangkutan awam yang komprehensif dan proaktif. Antara langkah kritikal yang perlu diambil segera termasuk:
• Menjadikan ADAS dan Sistem Pemantauan Pemandu sebagai piawaian wajib untuk semua bas baharu, manakala untuk bas yang sudan lama wajib melalui program naik taraf berperingkat.
• Memperkenalkan logbook digital kini dikenali (D-log) bagi memantau tempoh kerja dan rehat pemandu mengelakkan keletihan melampau yang boleh membawa maut.
• Memberikan insentif seperti potongan cukai atau geran naik taraf kepada pengusaha pengangkutan awam agar mereka mampu melabur dalam peralatan keselamatan.
• Mewujudkan pangkalan data keselamatan nasional bagi merekodkan sejarah kemalangan, pematuhan SOP, dan skor keselamatan setiap pengendali — supaya pemilihan vendor tidak hanya berdasarkan tender terendah, tetapi juga rekod keselamatan.
Tanggungjawab Kolektif, Bukan Sekadar Simpati Bermusim
Keselamatan pengangkutan awam bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Ia memerlukan kerjasama semua Ahli Parlimen yang menggubal undang-undang, Kementerian Pengangkutan yang menguatkuasa dasar, Kementerian Pengajian Tinggi yang menjaga kebajikan pelajar, institusi pendidikan yang memilih vendor, dan syarikat bas yang menyediakan perkhidmatan.
Dalam masa terdekat, tindakan tegas harus diambil:
-Audit keselamatan menyeluruh ke atas semua perkhidmatan sewa bas khas pelajar.
-Penilaian terhadap jadual kerja pemandu untuk mengesan keletihan.
-Penubuhan pasukan petugas khas antara KPT dan MOT bagi menyemak SOP pemilihan vendor, prosedur perjalanan, dan pelan kecemasan.
Jangan Biarkan Nyawa Menjadi Statistik
Tragedi UPSI bukan sekadar angka dalam laporan. Ia adalah peringatan pahit bahawa sistem kita masih gagal. Setiap nyawa yang hilang adalah satu kehilangan besar buat keluarga, buat negara, dan buat masa depan kita semua.
Jangan tunggu tragedi seterusnya untuk bertindak. Jangan biar bas yang kita naiki menjadi kenderaan maut buat insan tersayang.
Malaysia harus berubah. Dan perubahan itu harus bermula sekarang demi keselamatan, demi nyawa, dan demi maruah negara.
Sumber: Bernama Radio
Ditulis oleh
Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda (JPro)
10 Jun 2025