KEDAH KEKAL MENJADI TUMPUAN PELABURAN
Negeri Kedah, yang dahulu sinonim dengan gelaran jelapang padi negara, kini sedang melakar wajah baru sebagai pusat pelaburan berteknologi tinggi yang paling rancak berkembang di Malaysia. Dalam tempoh tiga tahun, prestasi pelaburan di negeri ini sangat memberangsangkan bukan sahaja dari segi jumlah modal yang masuk, tetapi juga dari segi strategi, kecekapan pentadbiran dan visi jangka panjang yang jelas.
Mengikut laporan rasmi, Kedah telah berjaya menarik lebih RM105 bilion pelaburan sepanjang 2021 hingga 2023, merangkumi sektor utama seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu, automasi, dan peranti perubatan. Bahkan untuk tahun 2024 sahaja, realisasi pelaburan yang telah berjalan setakat ini telah mencecah lebih RM20 bilion. Angka ini bukan sekadar statistik di atas kertas ia diterjemahkan melalui ribuan peluang pekerjaan yang dicipta serta pemindahan teknologi dan pembangunan ekosistem industri yang lebih kukuh.
JPro melihat perkembangan ini sebagai satu contoh bagaimana tadbir urus yang cekap, dasar yang konsisten dan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan boleh membuahkan hasil yang sangat positif. Kejayaan Kedah ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi lahir daripada pendekatan strategik dan tindakan pantas seperti pelaksanaan inisiatif FaCi@NCER, sokongan MIDA, dan pembangunan kawasan seperti Kulim HiTech Park (KHTP), Kedah Rubber City (KRC), dan Kedah Science and Technology Park (KSTP).
Kulim HiTech Park
Sumber: Kulim HiTech Park
Kedah Rubber City
Sumber: NCER
Selain itu, kerajaan negeri juga bijak memanfaatkan perubahan geopolitik dan peralihan rantaian bekalan global dengan menarik pelabur dari China, Eropah dan negara-negara Asia Timur lain. Lawatan rasmi dan rundingan strategik dengan lapan syarikat China yang berpotensi melabur hingga RM50 bilion misalnya, menunjukkan kesungguhan negeri ini untuk terus menjadi pemain utama dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.
Namun di sebalik perkembangan yang baik ini, kami juga ingin mengingatkan agar memastikan perkembangan ekonomi ini memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat. Sebagai contoh, Pusat pelaburan seperti KHTP memang penting, tetapi kita juga perlu pastikan kawasan luar bandar dan sektor tradisional seperti pertanian moden dan pelancongan turut menerima limpahan manfaat ekonomi.
Selain itu, pelaburan masa depan perlu bersifat lestari. Sektor tenaga hijau dan amalan mesra alam patut diperkasakan lagi sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang negeri. Di sinilah pentingnya indikator prestasi yang jelas seperti jejak karbon, kecekapan tenaga, dan pengurusan sisa industri yang bersistematik.
Kami juga mencadangkan agar laporan berkala dikeluarkan bukan sahaja tentang jumlah pelaburan yang diumumkan, tetapi juga status pelaksanaan projek, jumlah pekerjaan yang diwujudkan, dan impak kepada komuniti tempatan. Kami percaya maklumat ini sudah dilaporkan dari semasa ke semasa oleh kerajaan negeri melalui persidangan Dewan Undangan Negeri ataupun media rasmi kerajaan negeri yang lain. Tetapi maklumat ini tidak mudah didapati oleh orang awam secara langsung, terutamanya mereka yang berada di luar saluran politik atau pentadbiran.
Kami mencadangkan maklumat ini dilaporkan dalam bentuk visual serta interaktif seperti dashboard akan meningkatkan lagi ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan negeri. Ia juga boleh menjadi bahan rujukan berguna untuk pelabur sedia ada, pemain industri tempatan, penyelidik, pelajar, dan golongan profesional dalam merancang strategi masing-masing sejajar dengan arus pembangunan negeri.
Akhir sekali, kami menyarankan agar diwujudkan satu platform tetap antara kerajaan negeri dan persekutuan yang bebas dari politik yang khusus untuk menyelaraskan pelaksanaan projek projek strategik di Kedah. Ini akan membantu memastikan setiap pelaburan yang masuk benar benar sampai ke peringkat akar umbi, tanpa tersekat oleh birokrasi atau kekangan dasar.
Secara keseluruhan, kami menyokong penuh usaha kerajaan negeri dan persekutuan dalam menjadikan Kedah sebagai hab pelaburan berimpak tinggi. Kami percaya, dengan komitmen berterusan terhadap kecekapan, keterangkuman dan kelestarian, Kedah mampu menjadi model pembangunan ekonomi negeri yang bukan sahaja berjaya dari segi angka tetapi juga dari segi nilai kepada masyarakat dan negara.
Sebagai kluster kejuruteraan yang menghimpunkan tenaga profesional dari pelbagai bidang teknikal, kami percaya bahawa kelangsungan kejayaan ini sangat bergantung kepada penglibatan lebih ramai tenaga mahir dan berpengalaman dalam proses pembangunan negeri dan negara.
Oleh itu, kami ingin membuat satu seruan terbuka kepada semua ahli PAS yang terdiri daripada golongan profesional, jurutera, pakar teknologi, ahli akademik dan teknokrat marilah bersama kami di dalam JPro, sebuah platform yang menghimpunkan tenaga profesional untuk menyumbang secara terus kepada pembangunan dasar, pelaksanaan projek, dan penyampaian teknikal kepada kerajaan negeri dan persekutuan.
Jika lebih ramai profesional PAS yang tampil membantu, InsyaAllah ia akan memperkukuhkan lagi keupayaan kerajaan dalam merancang, melaksana dan menilai polisi serta projek strategik negara. INSYAALLAH.
Daftar keahlian JPro di sini.
Ditulis oleh
Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda (JPro)
14 Jun 2025