Jabatan Profesional Muda – JPro

UPSR DIMANSUHKAN : SATU KEMAJUAN ATAU KEMUNDURAN DALAM PENDIDIKAN?

Hangat komen-komen di laman sosial setelah Menteri Pendidikan, Dr. Radzi Jidin mengumumkan tentang pemansuhan UPSR dan PT3 2021 dibatalkan. Adakah ia suatu tindakan yang baik untuk murid di Malaysia?
 
Mari kita lihat apakah tujuan asal pendidikan di Malaysia.
 
Sepertimana dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, ia telah menggariskan empat elemen penting dalam memastikan keseimbangan individu iaitu dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelektual.
 
Empat elemen itu masih kekal sejak tahun 1988 dan masih releven sehingga hari ini. Hanya pendekatan sahaja yang diubah.
Cuma apakah sebab kepada perubahan ini?
 
1. Walaupun 4 elemen ini telah lama wujud dan diimplemen dalam sekolah, namun kita masih tidak berjaya melahirkan ramai rakyat yang kekal mengamalkannya selepas meninggalkan sekolah.
 
Lihatlah betapa ramai rakyat Malaysia yang kian luntur budi bahasanya dan semangat kenegaraan semakin terhakis. Di sekolah terjaga kerana ada guru yang memantau. Habis sekolah, semua dilupakan. Nilai-nilai murni yang setiap hari diulang-ulang terus dilupakan. Maka, dari sudut emosi, mereka gagal.
 
2. Kita masih mempunyai minda exam-oriented. Bilangan A menjadi kayu ukur kepada kemenjadian murid. Hakikatnya ia hanya melahirkan murid yang pandai dalam pelajaran tetapi tidak semestinya baik dari sudut jasmani, emosi dan rohani. Intelektual semata-mata.
 
Setelah mereka tamat universiti, akhirnya gagal mendapatkan pekerjaan kerana tidak menguasai soft skills. Terlalu kejar A sampai lupa bahawa salah satu matlamat pendidikan ialah untuk membentuk modal insan yang akhirnya memberi manfaat kepada negara.
 
Maka, apabila UPSR telah digubal semula formatnya dan PT3 diwujudkan menggantikan PMR, tak lain tak bukan, tujuannya untuk mentaksir murid secara holistik. Dengan adanya PAJSK dan ujian psikometrik, ia dapat melihat kemenjadian murid secara keseluruhan.
 
Kita mahu pendidikan kita jadi seperti Belanda, Jepun dan Singapura tetapi kita masih kekal di takuk yang lama. Maka usaha ini menjadi sukar untuk direalisasikan kerana ibu bapa, guru, murid dan pentadbir tidak sehaluan.
 
Mari kita lihat pula bagaimana negara lain melahirkan murid yang lebih menjadi walaupun tidak ada peperiksaan besar di peringkat rendah.
Negara Belanda tergolong dalam Top 25 dalam PISA.
 
Di Belanda, “Eindtoets” diduduki oleh murid yang bakal meninggalkan sekolah rendah. Ujian ini bertujuan untuk menentukan jenis sekolah yang sesuai untuk dimasuki. Bukan untuk menunjukkan siapa yang paling pandai.
 
Apa subjek yang diuji?
 
Dutch literacy, numeracy (wajib) dan world orientation (pilihan) sahaja.
 
Walaubagaimanapun, tidak semua murid perlu menduduki peperiksaan ini. Ia ditentukan oleh pentadbiran sekolah. Terdapat beberapa pengecualian seperti:
 
– IQ bawah 75
– Ada masalah pembelajaran atau pelbagai kekurangan upaya
– Tinggal di Belanda kurang daripada 4 tahun dan tidak mahir bahasa Belanda
– Sudah buat keputusan untuk mengambil ‘Special Secondary Education’
Pada akhir persekolahan, mereka tidak menerima sebarang sijil tetapi hanya laporan berkaitan:
– Pembangunan sosial dan emosi murid
– Sikap untuk bekerja
– Keputusan dan prestasi
– Sokongan tambahan yang telah diterima
 
Jadi, adakah UPSR dan PT3 benar-benar perlu?
 
Jawapannya, kita perlu lihat kembali apakah tujuan asal ia diadakan. Berilah apa jua peperiksaan, tetapi sekiranya semua pihak masih melihat mendapat A itu penting, maka sistem pendidikan kita akan kekal mundur. Masih ada banyak cara untuk menilai murid itu selain daripada peperiksaan.
 
Mentaliti exam-oriented harus dibuang. Sebaliknya, kita perlu pupuk budaya menuntut ilmu untuk diaplikasi dalam kehidupan, bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan. Berjaya bukan diukur dengan kepandaian tetapi kemenjadian diri secara holistik.
 
Saya percaya, perkara ini mampu kita lakukan bersama sekiranya kita bekerjasama demi masa depan pendidikan anak-anak. Masih banyak perkara yang boleh diperbaiki dalam sistem penilaian dan pentaksiran sedia ada. Ayuh kurangkan kritikan yang tidak membina, sebaliknya teruskan memberi idea dan cadangan yang bernas.
 
 
=========================================
Rujukan:
1. European Commission (2020, December 29). Netherlands: Assessment in Primary Education.
2. Browes, N. (2018). SAWA World Atlas: The Netherlands, Reforming Schools Globally: A Multi-Scalar Analysis of Autonomy and Accountability Policies in the Education Sector (REFORMED).

Ditulis oleh

Alya Nadhirah binti Abdul Wahid,
Kluster Pendidikan,
Jabatan Profesional Muda, JPro
Penulis merupakan Timbalan Ketua Kluster Pendidikan, bekerja sebagai seorang guru dan sedang menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang Sosiologi Pendidikan.
 

29 April 2021